Home Komputer Pelancar baharu Microsoft PowerToys Run untuk Windows 10 kini sedia untuk di...

Pelancar baharu Microsoft PowerToys Run untuk Windows 10 kini sedia untuk di Muat Turun

64
0

Microsoft hari ini telah memperkenalkan aplikasi pelancar mirip Apple Spotlight untuk Windows 10. Direka bagi menggantikan dan memodenkan kekunci pintar Win + R, pelancar baharu PowerToys Run ini turut menyertakan beberapa fungsi pautan pantas. Antaranya carian pantas aplikasi dan fail seluruh PC, pemalam seperti kalkulator dan keupayaan mencari proses yang sedang berjalan.

Versi awal ini akan menyokong tugasan carian asas yang biasanya diuruskan oleh fungsi carian menu Windows Start yang terbina dalam. Bagaimanapun, pelancar ini dirancang untuk dipertingkatkan keupayaannya untuk setara dengan Alfred pada macOS dan lebih kefungsian seperti carian Apple Spotlight.

Kefungsian Win + R buat masa ini hanya menawarkan secara asas sahaja dan digunakan oleh ‘power users’ Windows untuk membuka cmd prompts, regedit, powershell dan Control Panel.

Pelancar PowerToy Run baharu ini akan menyokong segala apa yang sama dengan yang boleh dilakukan oleh Run. Namun, melalui kerjasama Microsoft dengan komuniti sumber terbuka, fungsi tersebut mampu dipertingkatkan dengan lebih baik lagi.

Micrsosoft telah menjalinkan usaha sama dengan pembangun Wox dan WindowWalker bagi menjayakan PowerToys Run. Kehadiran versi awal pelancar ini pada hari ini bagaimanapun, tidak dapat lari dari masalah pepijat dan ralat-ralat yang timbul ketika menggunakannya.

Kelebihan menggunakan pelancar membolehkan penambahan fungsi pemalam dan juga carian web tersuai, coretan dan sebagainya. Menu Windows Start sedia ada yang menguruskan carian dari web buat masa ini akan memaksa pengguna menggunakan enjin carian Bing, serta akan membuka pelayar Edge untuk memaparkan keputusan carian. Sesetengah pengguna tidak begitu gemarkan kaedah ini.

Selain PowerToys Run, Microsoft turut melancarkan Keyboard Manager PowerToy pada hari ini. Ianya adalah fungsi pemetaan semula papan kekunci ringkat yang membolehkan pengguna Windows 10 menentukan semula kedudukan kekunci-kekunci pada papan kekunci. Keyboard Manager merupakan sebahagian dari terbitan terkini PowerToys 0.18 yang boleh didapati menerusi distro GitHub Microsoft.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.