Xiaomi secara rasminya telah memperkenalkan telefon pintar mercu baharunya, Xiaomi 15 Ultra menerusi sebuah acara pelancaran khas di Barcelona, menjelang Kongres Mudah Alih Sedunia (Mobile World Congress, MWC) 2025. Direka dengan keutamaan fotografi bertaraf profesional dan pengalaman mudah alih generasi berikut, model mercu ini menawarkan paparan dan perkakasan yang dinaiktaraf, bersama-sama sistem pengimejan termaju yang dijuruterakan bersama Leica.
Xiaomi 15 Ultra menyerlahkan rekabentuk yang diperhalusi dengan bahan premium menampilkan kerangka aluminium berketeguhan tinggi bersama-sama Xiaomi Shield Glass 2.0 bagi meningkatkan kekuatan ketahanannya apabila dijatuhkan. Corning Gorilla Glass 7i pula memperkukuhkan lagi modul kameranya dari kesan penggunaan yang lasak setiap hari.
Telefon pintar mercu ini hadir dengan pilihan Black, White dan Silver Chrome dengan warna Silver Chrome ini diinspirasikan dari estetika klasik kamera Leica. Ia juga mengintegrasikan kaca gentian bertaraf industri aeroangkasa supaya ketahanannya dapat dipertingkatkan tanpa perlu menambah berat keseluruhannya. Bersama-sama kemasan kulit poliurethane (PU), telefon pintar mercu baharu keluaran Xiaomi ini dilihat mengambil ilham dari kamera tradisional.
Paparannya pula merupakan AMOLED WQHD+ 6.73-inci beresolusi 3200 x 1440 piksel, 522 ppi dan kecerahan puncak 3,200 nits. Xiaomi turut mengintegrasikan sensor cap jari ultrasonic yang dinaik taraf untuk nyahkunci yang lebih pantas dan tuntas termasuk dalam keadaan cap jari kotor atau basah.
Inovasi penyejukan Xiaomi IceLoop
Pemprosesan Snapdragon 8 Elite digunakan oleh Xiaomi 15 Ultra bersama-sama RAM LPDDR5X 16GB dan storan UFS 4.1 sehingga 1TB untuk prestasi lancar. Sistem penyejukan Xiaomi IceLoop meningkatkan kecekapan termalnya disamping mengekalkan kestabilan prestasinya ketika melaksanakan tugasan intensif seperti permainan video, rakaman video dan pemprosesan AI.
Dilengkapkan dengan bateri 5,410mAh, Xiaomi 15 Ultra memastikan ia boleh digunakan sepanjang hari. Baterinya memanfaatkan komposisi silikon-karbaid berketumpatan tinggi 10% untuk menambah kapasiti tanpa menjadikannya lebih tebal. Ia juga menyokong pengecasan berwayar 90W dan nirwayar HyperCharge 80W, menawarkan kelajuan pengecasan yang pantas untuk penggunaan tanpa gangguan.
Selain itu, ia juga menyertakan pengalaman audio yang dinaiktaraf dengan pembesar suara stereo dipertingkatkan. Tidak ketinggalan, telefon pintar ini juga mempunyai sistem suapan balik (feedback) haptik termaju dan pilihan ketersambungan komprehensif termasuk Wi-Fi 7 dan Bluetooth 5.4.
Xiaomi 15 Ultra yang menggunakan antaramuka HyperOS 2.0 ini juga mempunyai integrasi Google Gemini AI melalui HyperAI. Ia membawakan alatan produktiviti termaju seperti penulisan terbantu AI, pengecaman pertuturan dan pemprosesan imej. Ia juga mempunyai penaik imej seperti AI Image Expansion, AI Reflection Removal, dan AI Magic Sky. Sokongan untuk perisian telefon pintar ini juga disediakan selama empat tahun bagi Android dan lima tahun bagi kemaskini keselamatan.
Sistem kamera yang lebih maju dengan Leica
Sesuai dengan fokusnya terhadap fotografi, telefon pintar ini dilengkapkan dengan sistem kuad-kamera yang dibangunkan secara bersama dengan Leica. Kamera utamanya menampilkan sensor Sony LYT-900 1-inci 50MP dengan lensa Leica Summilux, menawarkan apertur boleh laras f/1.63-inci dan julat dinamik 14EV untuk prestasi pencahayaan rendah yang lebih padu.
Kamera telefoto terapung 70mm 50MP padanya pula menyediakan keupayaan potret dipertingkatkan bersama-sama fotografi makro pada jarak serapat 10cm. Kamera teleskopik berperiskop 100mm 50MP pula membolehkan zum optikal dipanjangkan lagi sehingga 200mm dengan teknologi zum dalam sensor. Melengkapkan sistem kameranya, kamera ultra-lebar 14mm 50MP pula menyediakan tangkapan lebih meluas dengan herotan minimal. Tidak dilupakan kamera dihadapannya pula hadir dengan 32MP.
Rakaman video sinematiknya termasuk rakaman gerak perlahan (slow-mo) 4K 120fps untuk kamera utama dan kamera telefoto berperiskop, bersama-sama Optical Image Stabilization (OIS) dan Electronic Image Stabilization (EIS) untuk tangkapan yang lebih stabil. Telefon pintar ini juga menyokong rakaman Dolby Vision pada 4K 60fps dan video Log 10-bit dalam semua jarak fokal. Tatasusunan 4-Mic berintegrasi padanya pula membolehkan rakaman audio termaju dengan mod berarah dan omni-berarah (omni-directional) untuk menangkap bunyi pada mutu profesional.
Xiaomi 15 Ultra Photography Kit Legend Edition turut diperkenalkan dan dijual secara berasingan untuk para peminat yang ingin mempertingkatkan pengalaman fotografi mudah alih.
Ia menampilkan pegangan (grip) boleh tanggal dengan butang pengatup, gegelung adapter penuras 67mm, dan bateri berintegrasi 2,000mAh untuk menambah tempoh penggunaan ketika sesi fotografi. Rekaan kit ini diinspirasikan dari kamera tradisional dengan menggabungkan peningkatan ergonomik dan intuitf.
Harga Xiaomi 15 Ultra di Malaysia
Harga untuk Xiaomi 15 Ultra di pasaran Malaysia dijual bermula dari RM5,199 untuk konfigurasi RAM 16GB dan storan 512GB. Manakala konfigurasi 16GB dan 1TB pula harganya RM5,699. Untuk Ultra Photography Kit Legend Edition yang dijual secara berasingan, harganya adalah RM799.
Pra-tempahan kini telah pun bermula sehingga 7 Mac ini menerusi kedai dalam talian rasmi, Shopee, Lazada dan juga kedai fizikal rasmi Xiaomi.
Bagi pembeli terawal, anda berpeluang menerima hadiah premium berupa
- waranti lanjutan 1 tahun
- penggantian skrin dalam tempoh enam bulan
- satu pembaikan di luar tempoh jaminan percuma dalam masa satu tahun
- layanan pelanggan VIP
- langganan Google One untuk enam bulan
- langganan Spotify untuk empat bulan
- akses ke Airport Premium Lounge (Dragon Pass)
- Percuma Ultra Photography Kit Legend Edition
- Rebat pra-tempahan RM100
Kunjungi laman web rasmi Xiaomi Malaysia untuk maklumat lanjut.