Utama Microsoft Kemaskini Microsoft Windows 11 dilapor boleh merosakkan sesetengah SSD

Kemaskini Microsoft Windows 11 dilapor boleh merosakkan sesetengah SSD

795
0

Beberapa minggu lepas, seorang pengguna X dari Jepun bernama I love cats (@Necoru_cat) berkongsikan tentang bagaimana kemaskini Windows 11 24H2 telah merosakkan SSD miliknya.

Berdasarkan pemerhatian beliau, kemaskini Windows 11 tersebut KB5063878 pada 15 Ogos lalu telah menyebabkan SSD miliknya bermasalah. Antaranya, tidak dapat diakses, dan gagal untuk membaca dan menulis apabila sedang melakukan operasi menulis yang berat pada SSD NVMe, terutamanya apabila saiz fail tersebut mencecah 50GB.

Malah, beliau juga mendapati apabila saiz menulis yang dikekalkan mencapai 60% penggunaan pengawal, terdapat kemungkinan fail menjadi korup ketika simptom-simptom kerosakan muncul.

Ini berdasarkan ujian yang dilakukan terhadap 21 SSD merangkumi NVMe dan SATA. Sejumlah jenama juga terkesan seperti WD, Corsair, SK Hynix, HP, dan Adata yang kesemuanya menggunakan alat pengawal Phison.

Dalam erti kata lain, pengawal SSD mengawal segala apa yang SSD tersebut lakukan. Untuk keadaan ini, ralat yang didakwa dari kemaskini Windows 11 24H2 memberi kesan terhadap model-model tanpa DRAM SSD tersebut. Phison telah memberikan maklumbas berkenaan isu tersebut dan mengeluarkan kenyataan kepada Neowin.

Phison baru-baru ini dimaklumkan tentang kesan menyeluruh dalam industri akibat kemas kini ‘KB5063878’ dan ‘KB5062660’ pada Windows 11 yang berpotensi menjejaskan beberapa peranti storan, termasuk sebahagiannya yang disokong oleh Phison. Kami memahami gangguan yang mungkin telah berlaku dan segera berhubung dengan pihak berkepentingan industri.

Kami teguh dalam komitmen terhadap integriti produk serta kejayaan rakan kongsi dan pengguna akhir kami. Pada masa ini, pengawal selia yang mungkin terjejas sedang disemak, dan kami sedang bekerjasama dengan rakan kongsi. Kami akan terus menyediakan maklumat terkini dan nasihat kepada rakan kongsi yang mungkin terkesan bagi memberikan sokongan serta memastikan sebarang tindakan pembetulan yang berkenaan dapat dilaksanakan.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana kesan kemaskini yang didakwa menjadi punca kerosakan perkakasan berkenaan. Sebagai langkah selamat, anda yang menggunakan Windows 11 boleh menangguhkan kemaskini buat sementara waktu sebelum kenyataan rasmi berhubung perkara ini diumumkan.

Tinggalkan komentar