Kemaskini Windows 10 masih lagi memberikan masalah luar jangka kepada sesetengah pengguna. Jika sebelum ini masalah melibatkan sambungan Bluetooth dan Wi-Fi, kali ini ianya melibatkan pencetak pula.

Menurut Windows Latest, masalah ini berpunca dari kemaskini Windows 10 KB5000802 Mac 2021. Kemaskini automatik ini telah mengakibatkan komputer pengguna tergendala apabila cuba mencetak menggunakan pencetak.

Oleh kerana, kemaskini ini dipasangkan secara automatik, pengguna tidak mempunyai pilihan lain untuk tidak memasangkannya.

Berdasarkan laporan, komputer yang tergendala ketika mencetak kebanyakannya melibatkan pencetak berjenama Kyocera. Pencetak jenama lain juga seperti Ricoh, Zebra dan lain-lain turut dilaporkan mempunyai masalah yang sama.

Pihak Microsoft telah mengambil maklum berkenaan isu ini dan telah mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membetulkan masalah.

Bagi anda yang terkesan dengan masalah PC tergendala ketika mencetak ini, salah satu tindakan yang boleh dilakukan adalah “rollback” kemaskini berkenaan.

Selain itu, anda juga boleh melakukan mengaktifkan arahan percetakan terus (direct printing) melalui Command Prompt. Atau anda juga boleh cuba melakukan langkah penyelesaian yang lebih mudah dengan mencetak menggunakan “Compatibility tool”.

Tinggalkan komentar