Kerajaan Negeri Johor telah mengumumkan inisiatif baharu WiFi Premium Maju Johor yang menawarkan hotspot Wi-Fi awam secara percuma di sekitar negeri Johor. Ia melibatkan sejumlah 63 buah hotspot di 23 lokasi bermula Julai ini.
Beberapa lokasi telah pun menerima hotspot berkenaan seperti di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim dan Kolej Yayasan Pelajar Johor yang akan menerima beberapa talian dengan kelajuan minimum 1Gbps pada setiap talian.
Selain tiu, empat buah hospital kerajaan juga akan terlibat di dalam inisiatif WiFi Premium Maju Johor ini meliputi di:
- Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru
- Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru
- Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat
- Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Maklumat Encik Aznan Tanin juga menyatakan pihak kerajaan negeri akan memasang hotspot berkenaan di:
- kaunter pendaftaran dan ruang menunggu di Pejabat Tanah Johor Bahru
- Pejabat Tanah dan Daerah Kulai
- Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Iskandar
- Terminal Bas Larkin
Sejumlah 25 hotspot di 13 buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Johor turut terlibat di dalam inisiatif ini juga dengan kelajuan 2Gbps bagi setiap hotspot. Pihak kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta bagi menjayakan projek ini.