Salah satu ciri yang amat dinanti-nantikan oleh majoriti pengguna WhatsApp adalah sokongan untuk melog masuk ke sejumlah peranti dalam satu-satu masa. Log masuk berbilang peranti sejak kebelakangan ini juga kian mudah apabila WhatsApp Web membenarkan pengguna chat di peranti lain tanpa memerlukan telefon pintar pengguna.
Baru-baru ini WhatsApp telah menambahbaik sokongan tersebut apabila mengumumkan pengguna untuk satu akaun WhatsApp boleh melog masuk ke lebih dari satu telefon pintar.
Menerusi hantaran blog terkini di platform Meta, ciri berbilang peranti ini kini membolehkan anda melog masuk ke WhatsApp sehingga ke empat peranti tambahan merangkumi telefon pintar, pelayar web, tablet dan juga desktop.
Setiap telefon pintar yang berhubungan juga akan bersambungan ke WhatsApp secara bebas juga. Ini bermakna kesemua teks, media dan panggilan yang dilakukan secara enkripsi dari hujung-ke-hujung. Jika telefon pintar utama anda didapati di luar talian untuk satu tempoh yang panjang, WhatsApp secara automatik akan melog keluar akaun berkenaan dari semua peranti sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurut WhatsApp, melalui ciri menghubungkan telefon-telefon sebagai peranti pendamping, ia akan menjadikan permesejan lebih mudah. Selain itu ia juga membolehkan pengguna bertukar-tukar antara telefon-telefon lain tanpa perlu melakukan log masuk dan log keluar setiap kali bertukar-tukar telefon.
Pemilik perniagaan kecil juga dapat memanfaatkan ciri ini kerana boleh memberikan respon secara terus kepada pelanggan dari telefon masing-masing yang menggunakan nombor WhatsApp Bussiness syarikat yang sama.
Ciri baharu ini telah pun mula diterbitkan untuk pengguna-pengguna di seluruh dunia dan dijangka tersedia di dalam aplikasi WhatsApp dalam tempoh beberapa minggu ini.
WhatsApp turut menyatakan kaedah lain untuk menghubungkan ke peranti pendamping akan hadir tidak lama lagi. Ia dijangka akan menggunakan kod satu-kali berbanding menggunakan imbasan kod QR.