Seramai 35 individu di timur China dilaporkan telah dijangkiti oleh virus baharu yang sama keluarganya dengan virus membawa maut seperti Nipah dan Hendra. Setakat ini tiada bukti kajian yang menunjukkan virus berkenaan mampu menjangkiti dari manusia-ke-manusia.
Virus berkenaan dinamakan sebagai Langya henipavirus atau LayV telah diketemukan menerusi sistem pengesanan awal yang menjejaki individu yang demam selepas terdedah dengan haiwan di timur China.
Pesakit-pesakit berkenaan yang majoritinya petani turut dilaporkan mengalami kelesuan, batuk, hilang selera makan, dan sakit-sakit sendi. Sebahagian yang lain pula mengalami keganjilan pada sel-sel darah dan petanda mengalami kerosakan hati dan buah pinggang. Kesemua pesakit-pesakit berkenaan kini telah pulih.
Dari 35 pesakit, 26 daripadanya dijangkiti hanya dengan LayV menurut sebuah laporan yang diterbitkan oleh New England Journal of Medicine. Tiada bukti yang menunjukkan mereka mempunyai kontak rapat atau pernah terdedah sebelum ini. Menurut penyelidik, jangkitan antara manusia berkemungkinan berlaku secara sporadik.
Ujian mengesan virus berkenaan terdapat pada 27% cencurut. Haiwan berkenaan juga dikenalpasti sebagai vektor untuk henipavirus yang sama. Kajian yang lebih terperinci diperlukan bagi memahami cara jangkitan menurut pakar-pakar penyelidik dari Beijing, Singapura dan Australia. Pusat Kawalan Penyakit Taiwan menyatakan pihaknya kini sedang mengambil perhatian serius terhadap laporan tersebut dan merancang untuk memulakan pemantauan virus berkenaan.
Jangkitan kuman dari haiwan kepada manusia, atau dikenali sebagai zoonosis agak kerap berlaku dengan enam dari 10 jangkitan penyakit berpunca daripadanya, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat.
Pada kebiasaannya, pesakit tidak menjangkiti dan boleh pulih tanpa meninggalkan kesan yang mendalam. Sistem pemantauan penyakit kini telah lebih ke hadapan selepas penularan wabak pandemik di seluruh dunia pada penghujung 2019.