JOHOR BAHRU, 19 Feb 2025 – UOB hari ini mengumumkan pelancaran Green Lane bersama Invest Johor, yang akan mempergiatkan pelaburan ke dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Inisiatif ini merupakan salah satu hasil daripada Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani bersama Invest Johor pada Persidangan ASEAN 2024 pada Ogos lalu.

Pelancaran Green Lane telah berlangsung semasa misi perniagaan Johor yang berlangsung di Sunway Hotel Big Box, dan dianjurkan oleh Singapore Business Federation (SBF) dengan sokongan bersama daripada UOB, Rajah & Tann, dan RSM Singapura. Di bawah perjanjian dengan Invest Johor, UOB akan menjalankan penilaian prakelayakan bagi permohonan pelanggan untuk mendapatkan kelulusan Super Lane Johor, berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Invest Johor. Ini akan mempercepatkan lagi tempoh pemprosesan permohonan tersebut.

Bagi mempermudahkan lagi proses ini, UOB turut memperkenalkan perkhidmatan Pembukaan Akaun Fast Lane untuk pelanggan di Singapura yang ingin berkembang ke dalam JS-SEZ, bagi memastikan pengalaman yang pantas dan tanpa kerumitan. Bank ini juga telah menubuhkan Meja JS-SEZ khusus di Johor dan Singapura untuk memberikan sokongan pantas dalam penyelesaian kewangan, pembukaan akaun dan kemasukan pasaran kepada pelanggan.

Majlis ini turut menyaksikan Gold Peak Technology Group (Gold Peak) sebagai pelanggan pertama UOB di bawah Green Lane. Encik Michael Lam, Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Gold Peak, secara rasmi menyerahkan sepucuk Surat Hasrat (Letter of Intent atau LOI) kepada Tuan Haji Natazha Hariss, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor. Penyerahan ini telah disaksikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor, YB Lee Ting Han, Ahli EXCO Kerajaan Johor bagi Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Encik Victor Lo, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Gold Peak, dan Encik Sam Cheong, Ketua Penasihat Pelaburan Langsung Asing Kumpulan, UOB.

YAB Dato’ Onn Hafiz berkata, “ “Sejak pemeteraian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, kami telah menyaksikan kemajuan luar biasa dalam usaha memperkukuh perdagangan rentas sempadan dan peluang pelaburan. Kerjasama kami dengan UOB telah memperoleh momentum yang kukuh, sekali gus mengukuhkan visi bersama kami untuk mewujudkan ekosistem pelaburan yang lancar dan berkembang maju dalam JS-SEZ. Kolaborasi ini adalah bukti komitmen kami untuk merealisasikan visi menjadi suatu kenyataan.

“Kami juga berbesar hati mengalu-alukan pelaburan Gold Peak Technology Group, yang membawa keupayaan pembuatan berteknologi tinggi, peluang pekerjaan berkualiti serta pertumbuhan ekonomi yang mampan ke Johor. Ini merupakan satu lagi pencapaian penting yang selaras dengan komitmen kami dalam merealisasikan visi Maju Johor 2030 – mentransformasikan Johor menjadi kuasa ekonomi global yang berdaya saing dan mampan. 

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus komited dalam menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi dan berorientasikan masa depan, yang akan terus mengukuhkan kedudukan JS-SEZ sebagai destinasi utama untuk inovasi, industri, dan pembangunan mampan.”

UOB akan menyokong kemasukan Gold Peak ke dalam JS-SEZ dengan menyediakan khidmat nasihat kemasukan pasaran, perkhidmatan perbankan rentas sempadan, dan penyelesaian kewangan selari dengan perkembangan operasi Gold Peak di rantau ini. Gold Peak merupakan peneraju global dalam teknologi bateri dan penyelesaian penyimpanan tenaga dan disenaraikan di papan utama Bursa Saham Hong Kong. Pelaburan Gold Peak yang dicadangkan dalam JS-SEZ dianggarkan bernilai RM670 juta (US$150 juta), yang melibatkan penubuhan fasiliti pembuatan berteknologi tinggi serta pusat penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan bateri dengan teknologi generasi baharu.

Puan Ng berkata, “Sejak menandatangani MOU dengan Invest Johor enam bulan lalu, UOB telah berusaha gigih untuk memenuhi komitmennya. Kami telah membawa masuk pelaburan ke dalam sektor yang disasarkan, menambah baik proses untuk mempercepatkan pelaburan ke dalam JS-SEZ, serta bekerjasama dengan Kerajaan Johor dan MIDA untuk melancarkan video promosi JS-SEZ. Kami berbangga kerana telah memainkan peranan penting dalam membawa potensi pelaburan daripada Gold Peak Technology Group. LOI ini amat bermakna kerana ia mencerminkan minat dan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur terhadap potensi JS-SEZ.”

Fasiliti Gold Peak yang bakal dibangunkan akan memberi tumpuan kepada pengeluaran teknologi bateri generasi baharu dan dijangka memainkan peranan penting dalam memajukan penyelesaian penyimpanan tenaga mampan, terutamanya untuk pusat data di seluruh Asia Tenggara. Pelaburan syarikat ini dijangka mewujudkan kira-kira 150 hingga 180 peluang pekerjaan, menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi rantau ini, mendorong inovasi dan membuka peluang baharu kepada tenaga kerja tempatan. Pelaburan ini juga termasuk dalam salah satu daripada 11 sektor utama yang dipromosikan oleh JS-SEZ.

Encik Lam menambah, “Kami amat berbesar hati menjadi pelanggan pertama UOB di bawah Green Lane. Gold Peak Technology Group, sebagai pengeluar bateri global terkemuka, komited terhadap kelestarian sebagai prinsip utama operasi kami. Kami berusaha untuk berada di barisan hadapan industri dalam pengeluaran hijau. Penyelesaian tenaga mampan merupakan inisiatif perniagaan utama kami, dan kami secara aktif melabur dalam penyelidikan dan pembangunan untuk memajukan teknologi inovatif dalam bidang ini.

“Ketika kami mengimbangi semula keupayaan pembuatan di rantau ini, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura menawarkan peluang strategik untuk kami mengembangkan jejak di Asia Tenggara. Dengan sokongan daripada UOB dan Invest Johor, fasiliti kami nanti akan menjadi hab inovasi dalam teknologi bateri dan penyimpanan tenaga, sekali gus mengukuhkan komitmen kami terhadap ‘Powering A Greener Tomorrow’. Kerjasama dengan UOB memainkan peranan penting dalam memastikan proses pelaburan yang lancar dan cekap, dan kami berharap dapat bekerjasama untuk merealisasikan visi ini.”

Tinggalkan komentar