Utama Ulasan Produk Ulasan Xiaomi Buds 5; Earbuds “semi-in-ear” dengan sokongan ANC

Ulasan Xiaomi Buds 5; Earbuds “semi-in-ear” dengan sokongan ANC

241
0

Produk-produk keluaran Xiaomi kini merangkumi pelbagai peranti dari telefon pintar dan penjejak kesihatan hinggalah tablet, peralatan kelengkapan rumah, dan skuter elektrik. Tidak terkecuali, earbuds turut dihasilkan oleh jenama peranti popular dari China ini.

Xiaomi Buds 5 merupakan earbuds terkini keluarannya yang diperkenalkan bersama-sama pelancaran siri Xiaomi 14T baru-baru ini. Earbuds nirwayar ini menampilkan Hi-Res Audio, pembangan hingar aktif (active noise cancellation, ANC) dan juga sokongan kecerdasan buatan (AI). Ia juga merupakan alternatif yang lebih mampu milik untuk pengguna yang mementingkan bajet.

Spesifikasi

Pemacu11mm
Pembatal aktif hingarAda
Hayat bateri6.5 jam (putik telinga) 39 jam (bekas)
Berat45g
KetersambunganBluetooth 5.4
Julat frekuensi16Hz – 40kHz
Kalis airTiada

Harga Xiaomi Buds 5 di Malaysia

Xiaomi Buds 5 dijual di Malaysia pada harga RM459 dan didatangkan dengan tiga pilihan warna. Anda boleh mendapatkannya menerusi kedai dalam talian Xiaomi Malaysia di Shopee, Lazada dan juga wakil-wakil pengedar yang sah di seluruh negara.

Reka bentuk

Walaupun ia menawarkan kualiti bunyi yang bagus, ia mungkin kurang digemari oleh sesetengah pengguna yang sudah biasa dengan putik telinga silikon yang boleh disumbatkan ke dalam lubang telinga. Selain itu, ia mungkin lebih mudah dirasakan untuk terjatuh apabila dipakai ketika melakukan aktiviti seperti berjogging atau ketika melompat.

Reka bentuknya diiklankan sebagai “semi-in-ear” yang tidak memerlukan anda menyumbat ke dalam lubang telinga dan lebih mirip seperti memakai fon telinga luar lubang telinga. Berdasarkan pilihan masing-masing, rekaan ini boleh menjadi pilihan buat pengguna yang berasa kurang selesa apabila telinga disumbatkan dengan putik silikon.

Xiaomi menumpukan pada ciri ergonomik earbuds nirwayar ini yang menurutnya direka berdasrkan lengkungan pada bahagian dalam cuping telinga manusia bagi memastikan ia tidak terlalu menekan pada lubang telinga.

Kualiti binaan earbuds serta bekas pengecasnya juga baik dengan magnet yang melekapkan earbuds tersebut pada bahagian dalamannya memastikan ia dapat disimpan rapi. Terdapat satu butang reset pada bahagian bawah bekas pengecasnya serta lampu petunjuk LED berwarna pula ditempatkan pada bahagian hadapannya.

Kualiti bunyi yang padu

Dari segi kualiti bunyi, ia mampu memberikan hasil yang amat baik dan keseimbangan audio yang menarik terutamanya pada bunyi bass tanpa menenggelamkan bunyi treble dan mid. Ia mantap, padu dan sedap didengari.

Muzik yang dihasilkannya juga berkualiti tinggi hasil sokongan daripada beberapa codec-codec yang ada padannya. Antaranya sokongan codec Bluetooth beresolusi tinggi (24 bit/48kHz) dan main semula spatial untuk kandungan audio.

Selain dari Qualcomm aptX Lossless, earbuds nirwayar ini juga boleh digunakan bersama-sama  dengan codec LC3 dan aptX Adaptive. Penalaan Harman Kardon membantu anda menikmati muzik anda dengan lebih lazat. Cuma, jika dibandingkan dengan earbuds rekaan “in-ear” dan putik silikon, muzik daripada earbuds ini dirasakan kurang menyengat disebabkan oleh rekabentuknya.

Lain-lain ciri yang disediakannya juga tidak kurang hebatnya seperti ciri rakaman audio yang boleh anda gunakan terus dari telinga. Kawalan gestur yang disokongnya juga mudah digunakan.

Ketersambungan dan aplikasi

Xiaomi Buds 5 boleh disambungkan melalui Bluetooth 5.4 dan boleh menyambungkan pada sehingga dua buah peranti seperti ujian yang kami lakukan menggunakan Samsung Galaxy S24 FE dan Redmi 14C.

Penetapan pemasangannya buat pertama kali dengan peranti boleh dilakukan secara terus dengan mudah tanpa perlu memuat turun sebarang aplikasi tambahan seperti sesetengah pengeluar.

Xiaomi Buds 5 juga menyokong pengesanan di dalam lubang telinga dengan membuat kiraan struktur lubang telinga anda pada masa nyata menggunakan pekali imbangan berfrekuensi rendah dan melaraskan output audio sewajarnya. Secara teorinya, pengguna boleh menikmati output bass dinamik terus dari earbuds berkenaan.

Hayat bateri

Setiap putik Xiaomi Buds 5 mempunyai bateri 45mAh yang menurut Xiaomi mampu digunakan sehingga 6.5 jam tanpa menghidupkan ANC. Bersama-sama bekas pengecasannya ia boleh digunakan untuk tempoh selama 39 jam. Bekas pengecasnya ini juga boleh dicaskan melalui port USB-C dan mempunyai bateri berkapasiti 480mAh.

Kesimpulan

Xiaomi Buds 5 menawarkan pakej yang menarik bagi sesebuah earbuds yang berharga RM500 ke bawah terutamanya apabila melibatkan codec audio beresolusi tinggi yang ditawarkannya selain turut selesa dipakai oleh pengguna yang gemarkan jenis “semi-in-ear”.

Tidak semua pengguna gemarkan earbuds jenis putik silikon kerana ada sesetengahnya berasa kurang selesa dan terasa seperti “tersumbat”.

Apa pun ia bergantung pada kesesuaian dan penerimaan masing-masing kerana rekabentuk earbuds ini baik jenis silikon atau “semi in-ear” mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.