Huawei baharu sahaja memperkenalkan tablet terkini keluarannya untuk tahun 2025 melalui MatePad 11.5 PaperMatte Edition 2025. Ia direka dengan paparan unik dengan kemasan matte berukuran 11.5-inci yang memberikan rasa seperti menulis di atas kartas selain mengurangkan kesan pantulan cahaya dan juga comot cap jari.
Bersama-sama bateri besar dan pemprosesan buatan Huawei yang baik, tablet peringkat menengah ini menawarkan prestasi yang amat berbaloi dengan harganya. Tapi sayang, kekurangan akses ke perkhidmatan Google mungkin merencatkan hajat sesetengah pengguna yang berhasrat memiliki tablet dengan sokonga pena stylus ini.
Harga Huawei MatePad 11.5 PaperMatte Edition 2025 di Malaysia
- Huawei MatePad 11.5 2025 PaperMatte Edition – RM1,599
Tablet ini didatangkan bersama-sama dengan Huawei Smart Keyboard dengan kotak pembungkusannya. Selain aksesori papan kekunci khasnya, tablet ini juga menyokong aksesori pena stylus khusus untuknya, Huawei M-Pencil 3rd-Gen yang dijual berasingan.
Anda boleh mendapatkan MatePad 11.5 2025 PaperMatte Edition melalui laman web rasmi Huawei Malaysia atau platform e-dagang Shopee dan Lazada.
Spesifikasi
Sistem operasi | Huawei HarmonyOS 4 |
Ukuran | 177.5 x 262.6 x 6.1 mm |
Berat | 515 gram |
Saiz skrin | 11.5-inci |
Resolusi skrin | 2,456 x 1,600 piksel |
CPU | Huawei Kirin T82B |
RAM | 8GB |
Kapasiti storan | 128GB/256 GB |
Bateri | 10,100 mAh |
Kamera | Belakang 13MP, hadapan 8MP |
Reka bentuk
Sekali imbas tidak banyak bezanya di antara MatePad 11.5 baru ini dengan MatePad 11.5 PaperMatte Edition tahun lepas. Anda mungkin akan perasan sedikit perubahan pada ketebalannya yang kini lebih nipis pada 6.1mm berbanding tahun lepas 6.8mm. Cuma beratnya sedikit bertambah kini 515 gram.
Ia masih lagi selesa dipegang dan digunakan selain boleh dimasukkan ke dalam beg galas seperti anda memasukkan buku-buku. Paparan berukuran 11.5-inci ditawarkannya boleh dianggap sebagai kompak dan sesuai digunakan di mana-mana sahaja.
MatePad tahun ini juga kelihatan bersih dan kemas dari segi rekaannya dengan garis antenanya tidak begitu kelihatan. Ini kerana Huawei menjadikan ruangan pada bahagian kamera belakangnya sebagai antena.
Untuk audio, tablet ini hadir dengan empat pembesar suara yang memberikan bunyi yang lantang dan jelas. Ia sesuai digunakan untuk mendengar di dalam bilik tanpa sebarang gangguan.
Tablet yang hadir dengan warna Space Grey dan Violet seperti unit ulasan yang kami terima ini juga menyediakan poin-poin penyambungan di bahagian belakangnya. Ia direka untuk disambungkan dengan Huawei Smart Keyboard yang boleh digunakan terus tanpa perlu menggunakan bateri berasingan.
Aksesori Huawei Smart Keyboard yang disediakan merupakan penambahan berguna untuk anda yang menggunakan tablet dengan serius seperti produktiviti pekerjaan atau pun pembelajaran sekolah. Penggunaan secara bersamanya menjadikan bentuk tablet ini seakan laptop. Ia juga boleh ditanggalkan papan kekuncinya sahaja tanpa perlu menanggalkan keseluruhan aksesori.
Bercakap tentang aksesori, pena stylus M Pencil turut disokong penggunaannya pada tablet ini. Pada saya ia amat serasi untuk digunakan bersama-sama paparan berpermukaan PaperMatte pada tablet ini dengan memberikan rasa menulis di atas kertas.
Apabila tidak digunakan, M Pencil ini boleh dilekapkan pada sisi atas tablet ini untuk tujuan penyimpanan dan juga pengecasan. Untuk generasi ketiga ini, ia menawarkan sensitiviti tekanan sehingga 10,000 tahap menjadikan ia amat peka dengan gaya melukis masing-masing. Sebagai perbandingan, kebiasaannya pena stylus melukis seperti Wacom menawarkan sensitiviti pada 8,192 tahap. Melalui sokongan tekonologi nirwayar NearLink yang meningkatkan isyarat dan mengurangkan kelewahan dan interferens, M Pencil mampu menyerlahkan bakat pelukis digital melalui MatePad 11.5 PaperMatte Edition.
Skrin
Menampilkan paparan LCD 11.5-inci beresolusi 2.5K, MatePad 11.5 tahun ditonjolkan dengan kelebihan skrinnya. Apa yang dipaparkan kelihatan jitu dan jelas dari ikon aplikasi hinggalah ke teks dan tentunya imej dan video juga. Kadar penyegaran semula 120Hz juga membantu menjadikan segalanya dirasakan lebih lancar dan responsif.
Penggunaan LCD berkualiti membolehkannya untuk memaparkan kandungan yang nampak hidup dengan warna yang menarik. Pun begitu, ia masih lagi tidak sama dengan paparan LED. Namun, ia masih tetap memuaskan.
Apa yang menjadikan MatePad 11.5 lebih menonjol, penggunaan kemasan matte pada paparannya menjadikan ia amat sesuai digunakan bersama-sama pena stylus Huawei M Pencil. Ia mensimulasikan pengalaman menulis di atas kertas yang pada saya dapat meningkatkan mutu produktiviti melalui penulisan nota dan juga menghasilkan karya seni digital menggunakan aplikasi Huawei Go Paint.
Kemasan matte pada paparannya ini juga mempunyai kelebihan dari segi mengurangkan kesan cap jari. Ia juga menjadikan pengalaman menatal halaman atau membaca kandungan buku digital seperti di dalam PDF atau e-book lebih menarik.
Penggunaan teknologi “nano-level anti-glare etching” mengurangkan kesan keletihan pada mata akibat silau dengan menjadikan ia hampir dengan skrin e-ink. Ia juga cuba menghasilkan pencahayaan semula jadi dengan menyertakan elemen seperti penuras cahaya biru, pemalapan DC dan polarisasi keliling. Hasilnya, pembacaan di dalam keadaan gelap lebih selesa dan kurang meletihkan mata.
Turut disediakan mod skrin e-reader khas untuk mengemulasikan pengalaman membaca menggunakan peranti e-reader. Penggunaannya tidaklah sama seperti menggunakan peranti e-reader khusus kerana paparan pada tablet dijadikan segalanya hitam-putih di dalam mod ini untuk meringankan beban keletihan mata.
Prestasi
Huawei menggunakan pemprosesan lapan teras buatannya sendiri Huawei Kirin T82B untuk tablet ini. Secara perbandingan kasar, prestasi pemprosesan ini menyamai pemprosesan peringkat menengah seperti Qualcomm Snapdragon 7 Gen 4.
Setakat penggunaan ketika pengujian, saya mendapati aplikasi-aplikasi di dalam tablet ini dapat dibuka dengan pantas bersama-sama animasinya yang lancar. Malah, aplikasi pelayar buatan Huawei yang penuh dengan iklan pun masih lagi dapat digunakan dengan pantas.
Malah ia juga menyokong produktiviti dengan penggunaan berbilang tugasan melalui sokongan dua aplikasi dibuka secara serentak dengan sebelah menyebelah. Pun begitu, tidak semua aplikasi dapat dijalankan dalam keadaan tersebut seperti aplikasi WPS Office 2.0.
Kekangan tablet ini bukan pada perkakasannya, sebaliknya ia lebih pada perisiannya.
Perisian
Kekangan perisian pada tablet ini lebih kepada ketiadaan akses secara terus ke Google Play Services. Ini bukanlah salah pada Huawei kerana ia berpunca daripada masalah geopolitik global yang mengheretnya sekali. Kesannya mungkin beberapa aplikasi yang ada di dalam Google Play masih belum ada lagi di Huawei App Gallery.
Carian aplikasi boleh dilakukan menerusi Petal Search untuk mendapatkan fail-fail APK untuk dipasangkan. Namun, aplikasi yang memerlukan kerangka kerja (framework) Google terutamanya sebilangan aplikasi dari Google sendiri tidak boleh dijalankan.
Sesetengah pengguna yang banyak bergantung dengan perkhidmatan Google mungkin merasakan ia agak renyah kerana perlu melakukan langkah-langkah tambahan untuk mendapatkan akses.
Hal-hal kecil begini mungkin boleh membuatkan sesetengah pengguna terlepas pandang kelebihan HarmonyOS yang pada saya antaramuka yang kemas, lancar dan mesra pengguna. Ia juga mempunyai beberapa elemen seakan-akan iOS yang dijangka dapat membantu memudahkan pengguna biasa menggunakan iPad sebelum ini.
Buat masa ini Huawei sedang giat menambahbaik kualiti perisiannya dengan merapatkan jurang ekosistem bagi pengguna yang sudah terbiasa dengan sistem mudah alih lain. Kemajuan pantas dalam perisian yang ditunjukkan Huawei dijangka dapat membuahkan hasil lumayan di masa hadapan.
Memandangkan produktiviti adalah fokus utama tablet ini, MatePad 11.5 2025 menyediakan sokongan aplikasi WPS Office suite yang mempunyai sejumlah aplikasi produktiviti percuma seperti Doc, Slides, dan Sheet. Ia juga mempunyai aplikasi PDF untuk membaca atau memasukkan nota bertulisan tangan ke dalam fail tersebut.
Anda yang beraspirasi untuk menjadi pelukis digital juga boleh memanfaatkan kelebihan tablet ini yang menyediakan aplikasi Huawei Go Paint secara percuma. Ia kaya dengan ciri-ciri yang memudahkan karya digital dihasilkan bersama-sama sejumlah lebih dari 150 berus praset dan tekstur-tekstur di dalamnya.
Boleh dikatakan ia boleh menjadi alternatif percuma kepada aplikasi ProCreate yang popular dikalangan pelukis digital di dalam Apple iPad atau Adobe Illustrator Draw yang berbayar.
Bateri
Hayat bateri juga merupakan kelebihan yang ada pada Huawei MatePad 11.5 tahun ini. Kapasitinya 10,100mAh adalah jauh lebih besar dari model tahun lepas yang mempunyai 7,700mAh.
Gabungan penggunaan pemprosesan yang bertenaga efisien dan skrin yang kompak, MatePad 11.5 dilihat mampu bertahan untuk satu jangka masa yang panjang. Tontonan video YouTube untuk jangka masa yang panjang hanya memakan tenaganya sekitar 8% sahaja. Menurut Huawei, tablet ini mampu memainkan video sehingga 14 jam tanpa henti.
Kamera
Seperti lazimnya, kamera pada tablet bukanlah sesuatu yang paling menonjol untuk diketengahkan. Ia sekadar ada untuk membantu fungsi sedia ada di dalam tablet dan bukan ‘beria sangat’ untuk fotografi berat.
Huawei MatePad 11.5 menyediakan sebuah kamera 13MP f/1.8 pada bahagian belakang dan sebuah kamera 8MP f/2.2 pada bahagian hadapan. Kualitinya sekadar biasa-biasa sahaja untuk kegunaan panggilan video atau untuk mengambil gambar dokumen. Pun begitu, ia masih mampu menyediakan kualiti rakaman video 4K pada 30fps untuk kamera belakang dan rakaman video 1080p pada 30fps untuk kamera hadapan.
Kesimpulan
Huawei MatePad 11.5 PaperMatte Edition 2025 hadir dengan reka bentuk rapi, paparan cantik dan stamina bateri menjadikannya antara pilihan tablet yang mantap untuk tahun ini. Sokongan pena stylus M Pencil padanya juga boleh menjadi tarikan buat para pelukis digital yang ingin mendapatkan peranti melukis digital serba boleh terutamanya melalui aplikasi Huawei Go Paint yang boleh menjadi alternatif kepada ProCreate di dalam Apple iPad.
Cuma sayangnya kekangan pada perisian terutama melibatkan integrasi Google boleh membantutkan hajat sesetengah pengguna untuk memilikinya. Beberapa kaedah (workaround) dengan perkhidmatan pihak ketiga (3rd party) boleh dilakukan untuk memanfaatkan sepenuhnya kelebihan tablet ini. Namun ia masih bergantung kepada kemahiran pengguna berkenaan.
Perkembangan ekosistem perisian mengambil masa untuk menjadikannya matang. Bagi tablet yang mempunyai perkakasan baik seperti MatePad 11.5 PaperMatte Edition 2025, memerlukan masa untuk menyerlahkan potensi sebenarnya yang cemerlang.