Utama Android Honor Pandang Pertama HONOR X8b

Pandang Pertama HONOR X8b

181
0

Jika anda ingin mendapatkan telefon pintar berharga bajet dengan storan sebesar 512GB, HONOR X8b mungkin menjadi pilihan anda. Minggu lalu HONOR Malaysia telah mengacah kehadirannya ke pasaran tempatan dan dalam pada yang sama kami berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat telefon pintar keluaran HONOR yang terkini ini.

Telefon pintar ini juga hadir tidak lama selepas HONOR X9b dilancarkan ke pasaran Malaysia. Berbeza dengan model berkenaan, HONOR X8b tidak menawarkan sokongan rangkaian 5G.

Buat masa ini ia mungkin tidak memberikan kesan bagi kebanyakan pengguna memandangkan liputan rangkaian 5G masih belum begitu meluas di Malaysia sebagaimana liputan rangkaian 4G.

Apa yang ada di dalam kotak?

Barangan yang disediakan di dalam kotak pembungkusan HONOR X8b adalah tipikal sebagiamana yang disediakan pada kebanyakan telefon pintar keluaran HONOR. Tidak seperti sesetengah pengeluar yang mengecilkan kotak pembungkusan dengan sekadar menyediakan telefon pintarnya bersama-sama kabel pengecasan, HONOR X8b didatangkan dengan:

  • 1 x HONOR X8b
  • 1 x kabel USB-C
  • 1 x silicon cover
  • 1 x pin penolak
  • 1 x kepala pengecas
  • 1 x fon telinga berwayar
  • 1 x adapter pengubah port USB-C kepada bicu audio 3.5mm

Memang meriah barangan yang disediakan bersama-sama telefon pintar ini. Siap dengan fon telinga berwayar dan adapternya sekali.

Sekilas pandang

Rekaan HONOR X8b mempunyai sisi-sisi yang rata di sekelilingnya dengan bucu skrinnya mempunyai lengkungan yang amat kecil. Pada sisi sebelah kiri telefon pintar ini disediakan dulang kad SIM dengan pada sisi kanannya pula menempatkan butang kawalan bunyi dan butang kuasa yang turut berperanan sebagai pengimbas cap jari.

Sisi sebelah bawahnya pula menempatkan pembesar suara dan juga port USB-C yang boleh digunakan bagi tujuan pengecasan dan pemindahan fail. Kapasiti storan dalamannya yang besar juga mungkin boleh digunakan sebagai tempat simpanan fail-fail pengguna. Selain itu, port USB-C berkenaan juga boleh digunakan bersama-sama adapter yang disediakan untuk memasang bicu audio 3.5mm.

Di belakangnya pula terdapat tri-kamera yang ditempatkan penjuru kiri atas telefon pintar ini. Ia diatur secara 2 x 2 dengan satu daripada bahagian bulatan tersebut menempatkan lampu flash.

Untuk ulasan kali ini, kami menerima unit HONOR X8b berwarna Glamorous Green yang mempunyai keunikan kemasan seakan-akan kulit dengan paten corak yang tersendiri pada permukaan belakangnya.

HONOR X8b juga dirasakan amat ringan apabila memegangnya dan bahagian sisinya yang rata tidak berasa kekok untuk dipegang kerana rekaannya yang nipis.

Kesimpulan

Secara keseluruhan saya tertarik dengan rekabentuk luaran telefon pintar yang unik jika dibandingkan dengan model keluaran lain yang seangkatan dengan harganya. Malah, kapasiti storannya sehingga 512GB juga wajar diberikan perhatian kerana saiz tersebut menyamai storan sesetengah laptop.

Selain itu, kuasa pemprosesan, kualiti kamera serta kelebihan skrinnya juga amat menarik untuk saya berkongsikannya pada artikel ulasan penuh mengenainya tidak lama lagi.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.