HONOR telah mengumumkan pelancaran HONOR Pad 10 di Malaysia, model baharu bagi melengkapkan barisan tablet HONOR bersempena statusnya selaku jenama tablet Android paling laris di Malaysia untuk 12 bulan berturut-turut.
Bermula dari 30 Mei 2025, HONOR Pad 10 meneruskan kesinambungan dariapda Pad 9 dengan menawarkan pemprosesan yang lebih pantas, bateri yang lebih besar, dan bersama-sama tawaran hadiah percuma bernilai RM1,097.
Harga HONOR Pad 10
HONOR Pad 10 hanya ditawarkan dalam satu pilihan konfigurasi sahaja yang menawarkan ketersambungan WiFi tanpa LTE atau 5G. Berikut adalah harga HONOR Pad 10 di Malaysia:
- Honor Pad 10 (WiFi, RAM 8GB + storan 256GB) – RM1,499
Turut ditawarkan hadiah percuma bernilai sehingga RM1,097 selagi stok masih ada berupa:
- Smart Bluetooth Keyboard
- Honor Choice Pencil
- Honor Choice Active Noise Cancelling Headphones Pro
Anda boleh mendapatkan HONOR Pad 10 menerusi laman web rasmi HONOR Malaysia, serta di Shopee dan Lazada.
Spesifikasi HONOR Pad 10
Warna | Cyan dan Gray |
Variasi | Wi-Fi |
Paparan | Paparan 12.1-inci 2.5K HONOR Eye Comfort
Nisbah Skrin-ke-badan 88% 1.07 billion warna Kadar penyegaran semula 120Hz Resolusi: 2560×1600 piksel Warna Gamut: AI Dynamic Display dengan DCI-P3 Color Gamut Nisbah kontras: 1500:1 Kecerahan: sehingga 500nits Skrin berbilang sentuhan 10-poin |
Eye Comfort | Teknologi HONOR Eye Protection
|
Bateri | Bateri berketumpatan tinggi 10,100mAh (tipikal) |
Audio | Enam Pembesar Suara
HONOR Sound HONOR Spatial Audio |
Memori | RAM 8GB + ROM 256GB |
Smart Features | HONOR Notes
Beautification, AI Formula Recognition HONOR Docs AI Writing Tools
Magic Portal Magic Capsule |
Sistem Operasi | MagicOS 9.0, berasaskan Android 15 |
Pemprosesan | Snapdragon® 7 Gen 3 |
Rekaan | Starlight Cloud Ring Camera Design
Berketebalan 6.29mm, berat 525g |
Kamera belakang | 8 MP |
Kamera hadapan | 8 MP |
Ketersambungan | Wi-Fi: 2.4GHz & 5GHz
Bluetooth 5.3 Type-C |
Reka bentuk, Kamera dan Paparan
Dari segi estetikanya, HONOR Pad 10 mempunyai ciri reka bentuk yang agak konvensional dengan badan yang diperbuat daripada aluminium. Ia mempunyai bucu yang membulat dan sisi-sisi yang rata.
Berbeza dengan HONOR Pad 9 yang menempatkan modul kameranya di tengah-tengah bahagian belakangnya, tablet kali ini meletakkannya pada penjuru kiri atas melalui rekaan yang dinamakan sebagia Starlight Cloud Ring. Kamera belakangnya ini berupaya merakamkan video pada resolusi 4K pada 30fps. Untuk fungsi fotografi, ia mampu mengambil foto yang baik dalam keadaan yang terang.
Tipikal bagi sesebuah tablet, kameranya ini hadir sekadar sokongan bagi kegunaan seperti persidangan video atau merekodkan dokumen jika diperlukan. Jauh kualitinya dengan modul kamera telefon pintar yang lebih memfokuskan pada kualiti foto dan video.
Direka bagi kegunaan orientasi lanskap, tablet ini mempunyai butang-butang kawalan pada sebelah atasnya yang terdiri dariapda butang kuasa dan butang kawalan audio.
Pada sisi dan juga bawahnya terdapat satu set enam pembesar suara yang dipertingkatkan dengan HONOR Sound dan HONOR Spatial Audio untuk audio yang lebih jitu dan jelas.
Terdapat satu port USB-C yang digunakan untuk mengecaskan baterinya berkapasiti 10,100mAh dan mempunyai sokongan pengecasan pantas berwayar 35W. Kapasitinya ini lebih besar berbanding HONOR Pad 9 yang sebelum ini 8,500mAh, namun tidak menjadikan ia lebih tebal dan berat. Malah dengan ukuran ketebalan 6.29mm, dan berat 525g, ia lebih nipis dan ringan dari HONOR Pad 9 yang mempunyai tebal 6.96mm dan berat 555g.
Pada sebelah hadapannya, HONOR Pad 10 menampilkan paparan LCD IPS 12.1-inci beresolusi 2.5K dengan HONOR Eye Comfort dan kadar penyegaran semula 120Hz.
Walaupun bezelnya kelihatan agak tebal, ia mempunyai nisbah kadar skrin-ke-badan 88% dengan ruangan yang mencukupi untuk membuka dua aplikasi atau dokumen secara sebelah menyebelah. Paparannya ini juga menampilkan sokongan HDR10 dan Dolby Vision yang amat berguna untuk mengendalikan kandungan berdefinisi tinggi.
Paparannya ini juga mempunyai dua persijilan TÜV Rheinland iaitu Low Blue Light dan Flicker Free yang menjadikan ia selesa pada mata anda untuk kegunaan yang lebih panjang. Tidak cukup dengan itu, ia juga menampilkan ciri-ciri membantu mengurangkan keletihan mata seperti Circadian Night Display, Dynamic Dimming, dan AI Dynamic Display.
HONOR Pad 10 dibina dengan teguh dan kemas sungguhpun tiada sokongan persijilan kerintangan debu dan air IP. Paparannya juga tidak mempunyai perlindungan khas seperti Gorilla Glass bagi meningkatkan kelasakannya. Namun, ia masih lagi boleh dipertimbangkan kewajarannya apabila mengambil kira soal harga dan juga penawaran-penawaran lainnya.
Pena stylus yang ditawarkan secara percuma sebagai promosi, HONOR Choice Pencil tampil kemas dari segi rekabentuknya. Ia mempunyai butang di tengah-tengahnya dan juga satu port USB-C yang digunakan untuk mengecaskannya. Dari segi kepenggunaannya, mata penanya dirasakan agak keras dan tidak begitu sesuai untuk membuat lukisan digital pada pandangan saya. Namun, untuk kegunaan menulis nota ia boleh digunakan dengan baik.
Papan kunci pintar (Smart Bluetooth Keyboard) yang merupakan aksesori khusus tablet ini mempunyai tekstur mirip kulit pada permukaannya. Ia boleh dilekapkan dengan mudah dan erat pada HONOR Pad 10 bagi meningkatkan perlindungannya. Anda boleh menyambungkan papan kekunci ini menerusi Bluetooth dan perlu dicaskan secara berasingan menerusi port USB-C di sebelah tepinya bersama-sama butang kuasa.
Prestasi
Tablet berharga mampu milik pada kebiasaannya mengurangkan prestasi untuk menjadikan harga lebih kompetitif. Bagaimanapun, HONOR Pad 10 mampu mengekalkan keseimbangan antara prestasi dan harga dengan perkakasan yang lebih dari mencukupi untuk peranannya sebagai tablet kegunaan am berharga mampu milik.
Ia dikuasakan oleh pemprosesan Snapdragon 7 Gen 3 yang menawarkan penambahbaikan 50% dari segi prestasi GPU, 15% kuasa CPU, dan 20% kecekapan kuasa berbanding model sebelumnya. Pemprosesan ini sememangnya disasarkan untuk kegunaan kuasa pemproses menengah untuk peranti-peranti peringkat menengah. Selain daripada tablet ini, pemprosesan yang sama juga digunakan pada HONOR 200 yang baharu sahaja dilancarkan.
Bergandingan dengan pemprosesan ini, tablet ini mempunyai RAM LPDDR4 8GB yang boleh ditambah secara maya sebanyak 8GB lagi menerusi fungsi RAM Turbo. Ia juga mempunyai storan dalaman 256GB, namun tidak didatangkan slot kad mikroSD.
Dari segi sokongan permainan pula, HONOR Pad 10 mampu mengendalikannya dengan amat baik, termasuk permainan berkeperluan tinggi seperti Genshin Impact. Cuma dalam tetapan antara rendah dan menengah dengan kelancaran paparan menghampiri 60FPS. Pastinya judul-judul permua lain boleh dikendalikan dengan baik mengambil kira kuasa pemprosesannya yang disokong dengan pelepasan thermal dalaman yang baik.
Sudah tentu jika sesebuah peranti mampu menguruskan permua, aplikasi-aplikasi dan ciri-ciri produktiviti lain dapat dikendalikan dengan lebih sempurna. Menguatkan lagi keupayaannya, tablet ini turut didatangkan dengan ciri-ciri sokongan berasaskan AI.
Ciri-ciri Produktiviti Diperkaya AI untuk Tugasan Harian
Untuk tugasan berbilang dan produktiviti, HONOR Pad 10 cekap dalam menguruskan kerja-kerja menulis dengan mod skrin terbelah yang besar untuk membolehkan dua aplikasi berbeza dijalankan secara serentak.
Menampilkan aplikasi-aplikasi berkuasa AI yang dioptimasikan untuk aliran kerja harian, HONOR Pad 10 didatangkan bersama-sama HONOR Notes & HONOR Docs, Smart Summary, AI Writing Tools, AI Translation, Magic Portal, dan juga Magic Capsule.
Aplikasi HONOR Notes mampu membuat pengecaman penutur berdasarkan jenis suara dan dengan segera menukarkan kandungan pertuturan ke dalam bentuk teks. Selain itu, ia boleh dijadikan sebagai terjemahan berbilang suara, membuat rumusan, memformatkan secara automatik, dan pengecaman tulisan tangan digital untuk memperkemaskan nota dan pengubahan teks.
Untuk HONOR Docs pula, pengguna boleh mewujud dan menyunting dokumen, lembaran kerja dan slaid. Anda juga boleh mengubah dokumen dan foto yang diimbas ke dalam bentuk PDF.
Selain daripada itu, tablet ini juga mempunyai keupayaan penulisan AI yang membantu dari segi pembetulan tatabahasa, penghasilan kandungan, dan terjemahan berbilang bahasa. Fungsi-fungsi ini amat berguna terutamanya buat para pelajar.
Bersama-sama aksesori papan kekunci dan Pencil khususnya, tablet ini mampu menjalankan urusan produktiviti melibatkan penyediaan dokumen, lembaran kerja dan juga mencatatkan nota-nota kuliah. Pendek kata, ia memberikan pengalaman kepenggunaan ibarat sebuah PC.
Kesimpulan
HONOR Pad 10 membawakan sifat sesebuah tablet yang seimbang dari segi penawaran harganya terutama melibatkan produktiviti mudah alih. Ia juga mempunyai paparan yang terang, bateri yang lebih tahan lama, dan integrasi AI yang pintar.
Pengguna yang mementingkan produktiviti, baik pelajar mahupun profesional dapat memanfaatkan kelebihan tablet ini terutamanya apabila menggunakannya bersama-sama aksesori seperti Smart Bluetooth Keyboard dan pena stylus Honor Choice Pencil.
Tablet yang menawarkan pilihan sambungan secara Wi-Fi tanpa sambungan 5G atau LTE ini dijual pada harga mampu milik dan dianggap sebagai antara pembelian yang berbaloi. HONOR Pad 10 merupakan tablet yang elegan, berkuasa dan dilengkapkan dengan ciri-cir AI yang menjadikannya unik.