Utama Android Honor Ulasan HONOR Magic5 Pro: Serlah Magik Fotografi Telefon Pintar

Ulasan HONOR Magic5 Pro: Serlah Magik Fotografi Telefon Pintar

325
0
HONOR Magic5 Pro Review

HONOR Magic5 Pro, sebuah lagi telefon pintar mercu khusus fotografi yang diperkenalkan ke pasaran global. Ia dijangka akan diingati kerana rekaan uniknya, perkakasan premium dan juga barisan kamera yang mantap.

Lagipun, selaku bekas jenama yang diwujudkan di bawah Huawei sebelum ini, siri HONOR Magic sering dianggap membawakan kelebihan dari siri Huawei P atau Mate dengan pakej lengkap Google dan sokongan rangkaian 5G.

Bersama-sama skrin OLED 6.81-inci dengan sokongan HDR10+, resolusi 1312p dan kadar penyegaran semula 120Hz, HONOR Magic5 Pro menggunakan pemprosesan mercu terkini Qualcomm, Snapdragon 8 Gen 2.

Spesifikasi HONOR Magic5 Pro

  • Badan: 162.9×76.7×8.8mm, 219g; Depan kaca, belakang kaca; kerintangan debu dan air IP68 (sehingga 1.5m untuk 30 min).
  • Skrin: 6.81″ LTPO OLED, 1B warna, 120Hz, HDR10+, 1800 nits (puncak), resolusi 1312×2848 piksel, nisbah aspek 19.54:9, 460ppi.
  • Pemprosesan: Qualcomm SM8550-AB Snapdragon 8 Gen 2 (4 nm): Octa-core (1×3.2 GHz Cortex-X3 & 2×2.8 GHz Cortex-A715 & 2×2.8 GHz Cortex-A710 & 3×2.0 GHz Cortex-A510); Adreno 740.
  • Memori: ROM 512GB RAM 16GB; UFS 4.0.
  • OS/Perisian: Android 13, MagicOS 7.1.
  • Kamera belakang: Lebar (utama): 50 MP, f/1.6, 23mm, 1/1.12″ 1.4µm, multi-directional PDAF, Laser AF, OIS; Telefoto: 50 MP, f/3.0, 90mm, PDAF, OIS, 3.5x zum optikal; sudut ultra lebar: 50 MP, f/2.0, 13mm, 122Ëš, 1/2.5″, AF; Berkedalaman: TOF 3D.
  • Kamera hadapan: Lebar (utama): 12 MP, f/2.4, 100Ëš, 1.22µm; Berkedalaman: TOF 3D.
  • Rakaman video: Kamera Belakang: 4K@30/60fps, 1080p@30/60fps, gyro-EIS, HDR10, 10-bit video; Kamera Hadapan: 4K@30fps, 1080p@60fps.
  • Bateri: 5100mAh; berwayar 66W, nirwayar dan nirwayar berbalik 50W, berwayar berbalik 5W.
  • Lain-lain: Pengimbas cap jari (bawah skrin, optikal); port Inframerah; pembesar suara stereo.

Menyahkotak HONOR Magic5 Pro

HONOR Magic5 Pro didatangkan di dalam kotak berwarna hitam bersama-sama pengecas 66W, kabel USB A-to-C 6A dan juga selongsong lutsinar silikon lembut khas untuk telefon pintar berkenaan.

Berbanding jenama pengeluar telefon pintar lain, HONOR masih lagi kekal menawarkan bersama-sama aksesori di dalam kotak pembungkusan telefon pintarnya. Untuk HONOR Magic5 Pro, di dalamnya mengandungi:

  • 1x Honor Magic5 Pro.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas 66W
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

Permukaan skrinnya juga dilapisi dengan pelindung skrin nipis yang dapat membantu pengguna untuk menjaga peranti ini dengan lebih baik.

Rekaan

HONOR Magic5 Pro mempunyai ciri yang hampir sama dengan Magic4 Pro melalui rekaan skrin melengkung dan permukaan berkaca. Paparan hadapan telefon pintar ini juga mempunyai ruangan berpenebuk lubang berbentuk pil, selain turut mempunyai kerintangan air dan debu IP68.

Untuk pasaran global, telefon pintar ini hadir dengan pilihan warna Black dan juga Meadow Green seperti unit ulasan yang kami terima ini. Turut ditawarkan pilihan kemasan kulit eco berwarna jingga, namun ia hanya terhad di pasaran China sahaja.

Berukuran 76.7 x 162.9 x 8.77 mm dan berat 219g, HONOR Magic5 Pro masih lagi mengekalkan ciri rekaannya yang menarik sebagaimana Magic4 Pro sebelum ini. Sungguhpun kelihatan cantik dan menarik pada luarannya, saya berpandangan ia agak kurang praktikal kerana bahagian atasnya lebih berat berbanding bawahnya kerana modul-modul kameranya.

Berbalik pada ciri rekaan, panel hadapannya diperbuat daripada kaca dengan bucu sedikit melengkung pada sisinya. Bahagian belakang juga mempunyai bucu yang melengkung dengan modul-modul kamera belakangnya yang tersembul keluar. Kelilingnya pula mempunyai bingkai yang diperbuat daripada aluminium.

Kemasan matte diberikan sentuhan pada permukaan belakang telefon pintar ini dan ia dilihat mampu mengurangkan kesan cap jari dengan amat ketara.

Pada bahagian atas sebelah kiri skrin OLED 6.81-inci pada telefon pintar ini ditempatkan kamera hadapan 12MP di bahagian berpenebuk lubang berbentuk pilnya.

Bahagian sisinya pula seperti biasa menempatkan butang kuasa dan butang kawalan bunyi pada sebelah kanan. Manakala untuk dulang kad SIM pula ditempatkan pada sebelah bawah bersebelahan dengan port USB-C. Turut disediakan gril pembesar suara pada sebelah bawah dan juga sebelah atas, sesuai dengan kualiti stereo yang dibawakannya.

Skrin

HONOR Magic 5 Pro menggunakan skrin OLED LTPO 6.81-inci seperti yang digunakan pada Magic4 Pro. Atas sebab itu, ia masih menawarkan resolusi 1312 x 2848 piksel dengan kadar penyegaran semula skrin sehingga 120Hz.

Kecerahannya juga dipertingkatkan dari model terdahulu dengan menawarkan sehingga 1800 nits pada HDR penuh. Selain itu, ia juga mempunyai kadar kitaran pemalapan PWM 2160Hz. Teknologi ini digunakan bagi melaraskan tahap kecerahan dan kemalapan pencahayaan LED pada skrinnya.

Menurut HONOR, ciri ini juga dapat membantu mengurangkan beban pada mata pengguna selain dapat mengurangkan gangguan waktu tidur pengguna akibat terlalu lama memandang skrin. Pun begitu, saya tidak dapat menguji sejauh mana keberkesanannya memandangkan saya mempunyai tabiat mudah tertidur di mana-mana sahaja persis Nobita.

Kamera

Keupayaan fotografi HONOR Magic5 Pro diuar-uarkan sebagai antara yang terbaik di kalangan telefon pintar. Kenyataan tersebut dianggap mempunyai asasnya berdasarkan pengujian yang yang kami lakukan menerusi unit ulasan yang kami terima. Malah, DXOMARK juga meletakkan HONOR Magic5 Pro di tangga teratas bagi kedudukan fotografi telefon pintar terbaik 2023.

Sistem kamera di belakangnya mempunyai tiga kamera 50MP yang terdiri daripada

  • Lebar (utama): 50 MP, f/1.6, 23mm, 1/1.12″ 1.4µm, berbilang arah PDAF, Laser AF, OIS;
  • Telefoto: 50 MP, f/3.0, 90mm, PDAF, OIS, 3.5x zum optikal;
  • Ultra lebar: 50 MP, f/2.0, 13mm, 122Ëš, 1/2.5″, AF

Turut melengkapkan kamera-kamera berkenaan, sistem pemfokusan berlaser 8×8 dToF untuk autofokus dan pemetaan kedalaman. Ia juga mempunyai satu lampu flash LED, sensor flicker dan sensor warna berbilang spektrum.

Kualiti foto

Kamera utamanya menyimpan foto dalam resolusi 12MP secara lalai sungguhpun ia mempunyai kamera-kamera 50MP. Walaubagaimanapun, 12MP yang ditawarkan adalah antara yang terbaik di kalangan telefon pintar mercu hari ini.

Pemprosesan imejnya mantap dengan perincian halusnya juga menyerlah, sesuatu yang agak mencabar bagi sensor Quad-Bayer yang kecil. Pengolahan warnanya juga jitu, hampir sama seperti pandangan mata serta imbangan warna putihnya juga sempurna setakat pengujian kami.

Kontras pada foto-foto juga agak tinggi dengan julat dinamiknya juga bagus dan tidak berlebih-lebihan yang pada hemat kami sesuatu yang amat wajar.

Ciri Falcon Capture yang memfokuskan pada kepantasan pengatup (shutter) merupakan antara yang mencuri perhatian kerana ia membolehkan imej ditangkap dengan pantas. Ia amat sesuai digunakan untuk mengambil foto yang melibatkan subjek yang bergerak pantas seperti ketika aktiviti sukan atau mengambil foto haiwan peliharaan.

Bagi anda yang inginkan lebih perincian dan tidak kisah dengan saiz fail yang besar, anda boleh memilih foto 50MP. Hasilnya juga agak baik dengan perincian mencukupi dan setara dengan output 12MP dari segi warna, kontras dan julat dinamik. Hingar juga kelihatan pada sesetengah foto, namun ia tidaklah begitu ketara.

Kamera ultra-lebarnya pula menyimpan imej beresolusi 12.5MP dengan perincian yang bagus, ketajaman dan olahan keseluruhan yang seimbang. Bucu-bucu pada foto bangunan juga dilihat berada ditempat yang betul tanpa herotan yang aneh seperti kamera ultra-lebar sesetengah telefon pintar.

Untuk zum, secara lalainya HONOR Magic5 Pro menawarkan pilihan 3.5x dan 10x pada viewfinder. Namun, anda masih lagi boleh melaraskan tahap zum antara 3.5x hingga 10x mengikut kesesuaian anda. Tahap zumnya juga boleh dipertingkatkan sehingga ke tahap 100x.

Kualiti imej yang ditangkap menggunakan zum 3.5x setara kualitinya dengan kamera-kamera lain di dalam telefon pintar ini. Pemprosesan imejnya dilakukan dengan baik dan kesan yang dihasilkannya tidak begitu ketara hingga merosakkan kualiti imej.

Begitu juga dengan kualiti imej yang diambil melalui zum 10x yang mana turut memberikan hasil yang mantap. Tidak banyak telefon pintar yang berupaya memberikan kualiti foto dengan zum 10x sebaik HONOR Magic5 Pro. Kebiasaannya, pada tahap zum ini, imej yang diproses kelihatan ‘pecah’.

Kualiti imej yang dihasilkan melalui zum ini didapati mula kelihatan ‘pecah’ apabila larasnya melepasi paras 50x. Pada tahap ini, amat jarang bagi pengguna biasa seperti kita menggunakannya.

Rakaman video

HONOR Magic5 Pro mampu merakamkan video sehingga resolusi 4K pada kesemua kamera-kameranya. Untuk resolusi 4K 60 fps pula hanya terpada pada kamera utama dan zum sahaja. Selebihnya pada paras sehingga 4K 30 fps untuk rakaman video. Kamera hdapan pula menyokong rakaman sehingga 1080p pada 60fps.

Penstabil juga disediakan pada kesemua kamera dengan kamera hadapan dan ultra-lebar menggunakan EIS. Manakala kamera utamanya pula menggunakan OIS dan EIS, dengan telefoto pula hanya menggunakan OIS.

Rakaman beresolusi 4K dari kamera utamanya amat bagus dengan lebih perincian dan kejituan yang cemerlang. Warnanya juga nampak hidup, kontras yang tinggi dan julat dinamik yang amat bersesuaian selain turut bebas dari hingar.

Pun begitu rakaman video 4K ini hanya terhad untuk 15 minit sahaja dan ini bakal mengecewakan sesetengah pembikin kandungan video. Mungkin ia disebabkan oleh had pada saiz fail atau sistem failnya sendiri.

Perisian dan Prestasi

HONOR Magic5 Pro menggunakan antaramuka MagicOS 7.1 yang berasaskan Android 13 yang menawarkan sejumlah pilihan pemperibadian mengikut citarasa pengguna.

Bagi anda yang biasa menggunakan peranti Huawei sebelum ini, anda mungkin mendapati antaramuka ini mirip dengan EMUI. Cuma bezanya memandangkan HONOR tidak lagi duduk sebumbung dengan Huawei, MagicOS 7.1 membawakan pelbagai pembaharuan, namun masih mengekalkan akar yang sama walaupun HONOR mempunyai kelebihan akses ke perkhidmatan-perkhidmatan Google.

Prestasi

Bagi anda yang gemar bermain permainan video mudah alih, prestasi yang ditawarkan oleh pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 amat cemerlang selain agak stabil.

Permainan juga boleh dimainkan pada Kadar Bingkai Tinggi (High Frame Rate) mengikut judul-judul permainan yang menyokongnya. Justeru, anda tidak boleh mendapatkan pengalaman grafik bergred A melalui telefon pintar ini.

Untuk pasaran Malaysia, HONOR Magic5 Pro hanya ditawarkan dengan pilihan RAM LPDDR5X 12GB dan storan UFS 4.0 512GB. Kapasiti ini dianggap agak besar untuk sesebuah telefon pintar kerana menyamai kapasiti storan sesetengah laptop dengan SSD.

Berdasarkan pengukuran melalui perkhidmatan penanda aras Geekbench, telefon pintar mencatatkan markah 1411 untuk teras tunggal, dan untuk berbilang teras pula ia mencatatkan 4,584 markah.

Secara kasar, angka ini sedikit rendah daripada Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy yang digunakan pada Galaxy S23 Ultra. Sebagai perbandingan ukuran prestasi teras tunggal bagi Galaxy S23 Ultra mencatatkan markah sekitar 1,534 dengan markah untuk berbilang teras pula 5,009.

Tidak jauh beza sebenarnya antara kedua-dua telefon pintar ini kerana kedua-duanya cemerlang dalam menjalankan apa jua aplikasi di dalam gedung Play Store.

Malah, saya juga berkesempatan memainkan permainan Genshin Impact dan Fortnite pada HONOR Magic5 Pro pada tetapan grafik tinggi tanpa sebarang masalah. Cuma rasa sedikit panas pada telefon pintar itu tetap ada, namun ia tidaklah begitu mengganggu.

Kesimpulan

Berdasarkan pengujian yang dilakukan, kami berpendapat HONOR Magic5 Pro berpeluang cerah untuk menjadi antara telefon pintar terbaik keluaran 2023.

Paling menarik pastinya pada keupayaan kameranya selain spesifikasi premiumnya yang dapat diterjemahkan kepada prestasi yang mantap.

Pun begitu, harganya di pasaran Malaysia buat masa ini masih lagi menjadi tanda tanya. Untuk pasaran Eropah, harga jualannya adalah €1,200 (~RM5,700) ketika diumumkan. Berdasarkan situasi ekonomi semasa, harga ini boleh dikatakan agak tinggi dan mungkin harga yang akan ditawarkan ke pasaran Malaysia kelak tidak sama dengan harga di pasaran Eropah.

Artikel sebelum iniDombbit – Teknologi Inovatif Seterusnya dalam Pasaran Mata Wang Kripto
Artikel seterusnyaPandang Pertama Galaxy A34 5G, Satu lagi Telefon Pintar Menengah Terkini dari Samsung
Penulis berpengalaman di dalam bidang teknologi maklumat selama 12 tahun dan kerap mengikuti perkembangan teknologi semasa baik di dalam Malaysia mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.