Utama Android Samsung Pandang Pertama Galaxy A34 5G, Satu lagi Telefon Pintar Menengah Terkini dari...

Pandang Pertama Galaxy A34 5G, Satu lagi Telefon Pintar Menengah Terkini dari Samsung

463
0
Samsung Galaxy A34 5G Review First Impression

Galaxy A34 dan Galaxy A54 merupakan telefon pintar peringkat menengah terkini keluaran Samsung dan akan hadir ke pasaran Malaysia dalam minggu ini. Kami berpeluang menerima unit ulasan salah satu telefon berkenaan, Galaxy A34 untuk melihat dengan lebih dekat rekaan, spesifikasi dan juga penawaran kameranya.

Kedua-dua model baharu ini dari siri A ini mempunyai kerintangan air dan debu IP67, ketersambungan 5G, skrin Super AMOLED 120Hz, slot kad mikro SD dan juga OIS untuk kamera utama di belakangnya.

Apa bezanya dengan Galaxy A33?

Dari segi kedudukan ‘darjat’nya, Galaxy A34 5G ini berada di tengah-tengah antara Galaxy A14 (bawah), dengan Galaxy A54 (atas).

Rekaannya banyak diilhamkan ciri estetika minimalis siri Galaxy S23 dengan kemasan matte berwarna pastel selain mempunyai susun atur modul-modul kamera yang sama.

Berbanding Galaxy A33 5G yang dilancarkan pada tahun lepas, Galaxy A34 lebih berat dan besar sedikit. Ia juga mempunyai skrin yang sedikit besar 0.2-inci dengan kadar penyegaran semula yang lebih tinggi.

Kamera

Berbeza dengan telefon pintar peringkat menengah sesetengah jenama lain yang menggunakan penstabil imej elektronik atas faktor bajet, Galaxy A34 mempunyai perkakasan penstabil imej optikal (OIS) untuk kamera utamanya 48MP f/1.8.

Kamera tersebut bergandingan dengan kamera ultralebar 8MP f2.2 dan kamera makro 5MP f/2.4 yang membentuk tri-kameranya. Pada sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 13MP.

Contoh gambar di luar menggunakan Galaxy A34

Contoh gambar di dalam menggunakan Galaxy A34

Tangkapan gambar secara spontan dapat dilakukan dengan baik oleh kamera-kamera ini. Julat dinamik dan perincian pada imej dapat dikekalkan dengan baik.

Skrin

Samsung Galaxy A34 5G Review First Impression-1Rekaan Galaxy A34 kelihatan hampir sama dengan Galaxy S23 Plus, namun bagi pandangan mata yang cekap perbezaannya segera diketahui. Perbezaannya adalah Galaxy A34 mempunyai takuk pada bahagian sebelah atas skrin Super AMOLED yang menempatkan kamera hadapannya. Skrin telefon pintar ini juga menyokong fungsi imbasan cap jari terbina dalam paparannya.

Skrin hadapan berukuran 6.6-inci yang menawarkan kadar penyegaran semula skrin 120Hz ini juga dilindungi oleh kaca Gorilla Glass 5. Ia dipertingkatkan berbanding Galaxy A33 sebelum ini yang hanya menawarkan 90Hz. Untuk resolusi pula, ia masih lagi kekal dengan FHD+ iaitu 1080 x 2,340 piksel.

Telefon pintar ini hadir dengan pilihan warna yang teridir daripada Awesome Graphite, Awesome Silver, Awesome Violet dan juga Awesome Lime, seperti unit ulasan yang kami terima ini.

Permukaan belakangnya agak kalis cap jari dan sekali imbas kelihatan seperti diperbuat daripada kaca atau aluminium. Bagaimanapun, ia sebenarnya diperbuat daripada bahan polikarbonat yang dinamakan oleh Samsung sebagai ‘Glasstic’.

Sisi kanan telefon pintar ini sama seperti model keluaran Samsung lain yang menempatkan butang kawalan audio dan kuasa pada sisi tersebut. Bahagian bawah pula seperti biasa menempatkan port mengecas USB-C 2.0 bersama-sama corong pembesar suara stereonya. Untuk dulang kad SIM pula ia terletak di sisi atas yang boleh menempatkan dua kad SIM nano dengan salah satu slotnya boleh digunakan untuk meletakkan kad mikroSD.Samsung Galaxy A34 5G Review Hands On (1)

Galaxy A34 yang kami terima ini menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 1080 dengan perisiannya pula menggunakan Android 13 melalui antaramuka OneUI 5.1. Perkakasan telefon pintar ini juga digandingkan dengan storan 128GB dan RAM 6GB. Memori ini juga boleh dikembangkan secara maya melalui fungsi RAM Plus sehingga 6GB. Untuk ketersambungan pula, telefon pintar ini menyokong WiFi 5, dan Bluetooth 5.3.

Sebagaimana janji Samsung sebelum ini, Galaxy A34 juga akan menerima kemaskini Android selama 4 tahun dan kemaskini keselamatan 5 tahun serta waranti untuk 2 tahun.

Setakat ini Samsung masih lagi belum menyatakan harga Galaxy A34 secara rasminya di pasaran Malaysia. Anda yang berminat dengan telefon pintar ini boleh mengunjungi laman web rasmi Samsung Malaysia berkenaan Galaxy A34 untuk keterangan lanjut.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.