Utama Android Honor Ulasan Honor Magic 7 Pro, Telefon Mercu dengan Paparan Padu, Prestasi Termaju

Ulasan Honor Magic 7 Pro, Telefon Mercu dengan Paparan Padu, Prestasi Termaju

124
0

Menjelang pelancaran rasminya di Malaysia pada 9 Januari yang lalu, kami telah berpeluang melihat dengan lebih dekat telefon pintar mercu baharu Honor Magic 7 Pro. Peranti yang berkesinambungan daripada Magic 6 Pro pada tahun lepas ini juga merupakan salah satu telefon pintar terawal yang menggunakan Snapdragon 8 Elite di pasaran Malaysia.

Honor Magic 7 Pro bukan hanya didatangkan dengan naik taraf prestasi yang diwajibkan ke atasnya. Ia turut dimuatkan bersama keupayaan kecerdasan buatan yang praktikal. Antaranya, ciri pengesanan AI Deepfake yang inovatif bersama-sama ciri-ciri AI lain yang telah diperluaskan daripada model terdahulu seperti Magic Portal 2.0 dan AI Translate.

Spesifikasi

Ukuran162.7 x 77.1 x 8.8mm
Berat223g
Paparan6.8-inci OLED quad-curve LTPO beresolusi 2,800 x 1,280 piksel, kadar penyegaran semula pintar 120Hz, kecerahan 5,000 nits (puncak), 453 ppi, Dolby Vision, persijilian TÜV Rheinland untuk bebas kerdipan, pemalapan PWM 4,320Hz
PemprosesanQualcomm Snapdragon 8 Elite
RAM12GB / 16GB
Storan512GB/1TB
OSMagicOS 9.0, berasaskan Android 15
Kamera belakangkamera utama: Super Dynamic Falcon 50MP, apertur boleh laras f/1.4 – f/2.0, OIS
kamera telefoto: Ultra 200MP 1/1.4″, f/2.6, zum optikal 3x, seamless zoom 6x, maksimum zum digital 100x.
kamera lebar: 50MP f/2.0, 122° FOV
Kamera hadapanKamera lebar 50MP + 3D ToF
Bateri5,850mAh (Silkon Karbon, SiC)
PengecasanBerwayar 100W, nirwayar 80W

Kelebihan dan kekurangan

Lebih

  • Kamera belakang yang cemerlang untuk tangkapan waktu siang dan juga malam
  • Prestasi cemerlang
  • AI Deepfake Detection untuk mengesan potensi scammer
  • Binaan yang lasak dan berkualiti
  • Bateri tahan lebih lama

Kurang

  • Sokongan sistem operasi 4 tahun dan kemaskini keselamatan 5 tahun boleh dipertingkatkan lagi
  • RAM maya yang tidak boleh ditutup atau diubah

Harga Honor Magic 7 Pro di Malaysia

Honor telah pun melancarkan telefon pintar mercu baharunya ini di pasaran tempatan dengan dua konfigurasi. Honor Magic 7 Pro kini telah dibuka pra-tempahannya sehingga 16 Januari 2025. Pembelian terawal ini bakal membuka peluang untuk anda mendapatkan hadiah percuma bernilai sehingga RM2,096.

Anda yang berminat boleh mendapatkannya di laman web rasmi Honor, kedai dalam talian rasmi di Shopee  TikTok Shop dan juga di Lazada pada harga:

  • Honor Magic 7 Pro, RAM 12GB + storan 512GB – RM4,599
  • Honor Magic 7 Pro, RAM 16GB + storan 1TB – RM5,199

Ciri-ciri

Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, Honor Magic 7 Pro ini dari segi luarannya hanya berbeza sedikit. Ia lebih sedikit panjagn, lebih sedikit lebar, lebih sedikit nipis dan lebih sedikit ringannya sebanyak 2g pada 223 gram berbanding HONOR Magic 6 Pro.

Kelasakannya juga telah dipertingkatkan dengan penarafan kerintangan debu dan air IP68/IP69 yang kini membolehkan model ini mampu bertahan apabila disembur dengan air bertekanan tinggi. Ciri kelasakannya ini mengingatkan kita dengan model Honor X9c 5G yang dilancarkan tidak lama dahulu pada tahun lepas.

Melengkapkan sifat kelasakannya, telefon pintar ini juga mampu bertahan di dalam air berkedalaman 1.5 meter dalam tempoh sehingga 30 minit.

Perlindungan pada kacanya masih lagi sama menggunakan Honor NanoCrystal Shield yang dikatakan 10 kali ganda lebih rintang jatuhan berbanding kaca konvensional. Ia juga mempunyai SGS Five Star Overall Glass Drop Resistance Ability Certification dalam pelbagai senario. Ini bermakna ia mempunyai peluang yang tinggi untuk bertahan apabila dijatuhkan pada ketinggian paras pinggang disamping kalis kesan calar.

Rekabentuk

Dari segi rekabentuk, Honor Magic 7 Pro mempunyai ciri estetika yang sama seperti modelnya yang terdahulu. Ini termasuk paparan OLED LTPO 6.8-inci dengan bahagian berpenebuk lubang berbentuk pil yang menempatkan kamera dengan sensor ToF 3D yang mampu membuat pengecaman wajah untuk menyahkunci walau di dalam keadaan gelap gelita.

Badannya juga mempunyai bahagian membulat pada sisinya seperti HONOR Magic 6 Pro sebelum ini. Ia dibezakan pada pilihan warna baharu serta ruangan yang menempatkan kameranya yang telah menerima sentuhan rekaan semula.

Di sisi kanannya pula menempatkan butang kuasa dan suara dengan sisi kiri seperti biasa tidak mempunyai apa-apa. Bahagian atas pula mempunyai corong untuk pembesar suara yang sepadan dengan sebelah bawahnya yang menjadikan ia sepasang pembesar suara stereo. Pada bahagian bawahnya ini juga disediakan satu port USB-C dan dulang dwi-kad nanoSIM.

Magic 7 Pro juga menampilkan ciri-ciri yang membuatkannya kelihatan premium seperti bingkai sisi yang sedikit melengkung menjadikan skrin paparannya lebih luas. Kotak pembungkusan telefon pintar mercu keluaran Honor baharu ini juga dilihat meriah. Ia masih menyertakan pengecas pantas 100W dan juga casing percuma. Turut disediakan kabel USB-C dan pin penolak dulang SIM seperti biasa.

Prestasi

Selaku telefon pintar mercu terkini keluaran Honor, Magic 7 Pro mempunyai perkakasan paling berkuasa di dalamnya melalui penggunaan pemprosesan Snapdragon 8 Elite. Ia juga didatangkan dengan perisian antaramuka terkini MagicOS 9.0 yang berasaskan Android 15.

Unit ulasan yang kami terima ini mempunyai RAM LPDDR5X 12GB dan storan dalaman UFS 4.1 512GB yang berkeupayaan menyokong RAM maya Turbo sehingga 12GB. Selain dari konfigurasi seperti unit yang kami terima, model ini juga hadir dengan konfigurasi RAM 16GB dan storan 1TB. Melengkapkan ciri ketersambungannya, ia juga menyokong 5G, Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4 dan NFC.

Berbeza dengan penggunaan RAM maya pada sesetengah model telefon, RAM maya 12GB pada model ini kelihatan diaktifkan secara kekal. Anda tidak dapat mematikannya, mahulun meningkatkan atau mengurangkan jumlah RAM yang telah ditetapkan. Ini mungkin boleh menimbulkan isu jika mengalami kekurangan ruang storan. Namun memandangkan storan yang disediakan sekurang-kurangnya 512GB, ia mungkin tidak begitu mendatangkan kebimbangan storan tidak mencukupi.

Sama seperti model sebelumnya, Honor Magic 7 Pro mempunyai empat tahun kemaskini sistem operasi dan lima tahun kemaskini keselamatan. Ini bermakna, telefon pintar ini boleh menerima naik taraf sistem operasi sehingga Android 19 dan kekal selamat sehingga 2030.

Prestasi keseluruhan Honor Magic 7 Pro melalui pemprosesan Snapdragon 8 Elite dilihat mampu mengendalikan apa jua tugasan diberikan kepadanya. Baik suntingan video hinggalah ke permainan mudah alih berkeperluan grafik tinggi seperti Genshin Impact. Suntingan video beresolusi 4K dengan menggunakan Capcut juga boleh diuruskannya.

Paparan

Skrin paparan OLED LTPO 6.8-inci yang disediakannya mempunyai kadar penyegaran semula skrin 120Hz, kecerahan puncak sehingga 5,000 nits mengikut keadaan dan warna gamut 100% DCI-P3. Warna-warna yang ditunjukkan kelihatan terang dan perinciannya jitu dengan kecerahan yang cemerlang walaupun ketika berada di luar.

Sungguhpun Honor Magic 7 Pro cemerlang dari segi paparannya, ia masih mengutamakan penjagaan mata melalui ciri pemalapan PWM 4,320Hz. Ia juga mempunyai sejumlah persijilan untuk penjagaan mata seperti TÜV Rheinland Full Care Display 4.0, TÜV Rheinland Circular Polarization dan TÜV Rheinland Flicker Free.

Ia juga mempunyai tetapan unik AI Defocus Eyecare yang membantu melegakan dan menyahfokus pandangan mata. Ia akan mengubah sedikit warna-warna pada penjuru untuk mengekalkan pandangan yang jelas. Honor mendakwa ciri ini dapat membantu mengurangkan risiko rabun dekat, cuma ia tidak dapat diuji oleh kami buat masa ini melainkan di dalam makmal.

Sokongan Kecerdasan Buatan (AI)

Selain dari penambahbaikan perkakasan dan prestasi, Honor turut menambahkan sejumlah ciri-ciri berkuasa kecerdasan buatan (AI) ke dalam Magic 7 Pro. Justeru, kehadiran Google Gemini Assistant sebagai pembantu suara tetapan lalai dan Circle to Search with Google semestinya wajib ada. Ciri Circle to Search yang boleh digunakan bagi tujuan carian secara terus dari skrin turut diperluaskan fungsinya untuk hantaran dan perkongsian dengan aplikasi dan pengguna lain.

Honor Magic 7 Pro juga masih mengekalkan AI Eraser yang membantu membuang objek atau individiu yang tidak diingini di dalam gambar. AI Translate juga dikekalkan dan anda boleh menggunakannya untuk menterjemahkan teks yang ditranskripsi. Seterusnya, terjemahan dua hala dalam masa nyata sama ada secara bersemuka atau dengan mesej berteks boleh dibuat melalui ciri tersebut.

Pempengaruh media sosial popular HANN sedang menguji fungsi terjemahan Bahasa Jerman menggunakan fungsi AI Translate di dalam Honor Magic 7 Pro

Apa yang menariknya, ciri AI Translate ini sesuai digunakan di dalam konteks setempat untuk Malaysia melalui sokongan Bahasa Melayu secara natif dan juga Bahasa Kantonis.

Magic Portal 2.0, Magic Avatar, dan AI Deepfake Detection

Ciri Magic Portal 2.0 juga telah dipertingkatkan penggunaannya untuk berkongsikan teks dan imej ke lebih banyak aplikasi yang bersesuaian. Ia kini boleh digunakan secara bersama untuk carian melalui TikTok, Facebook, YouTube dan juga seperti biasa, Google. Menurut Honor, Magic Portal 2.0 akan menambah sokongan interaktif untuk Grab, Lazada dan Shopee untuk membolehkan pengguna menggunakan ciri ‘leret dan letak’ ke aplikasi-aplikasi berkenaan untuk carian produk atau alamat.

Seterusnya Magic Avatar menawarkan ciri pemperibadian tambahan dengan membolehkan anda mewujudkan persona maya mengikut citarasa yang dirasakan mewakili diri anda. Anda boleh melaraskan bentuk wajah, gaya, pakaian avatar tersebut serta latar belakangnya. Latar tersebut juga telah dipra-animasikan mengikut masa anda mengakses ke Magic 7 Pro anda.

Ciri ini lebih kepada santai-santai sahaja untuk anda lebih menikmati kelebihan telefon pintar anda. Fungsi AI juga boleh dimanfaatkan untuk mengesan penipuan dalam talian yang kini boleh memanipulasi mangsa dengan panggilan video.

Dalam usaha mendepani cabaran scammer di dunia maya masa kini, ciri algoritma AI Deepfake Detection turut diperkenalkan. Panggilan video menerusi aplikasi seperti WhatsApp, dan Facebook misalnya boleh dikesan sama ada individu tersebut adalah palsu atau yang sebenarnya menerusi ciri yang terbina di dalam Magic 7 Pro ini. Justeru pengguna dapat mengurangkan risiko penipuan dalam talian dengan bantuan ciri yang pertama seumpamanya di dunia ini.

Pun begitu, akal budi pengguna secara amnya masih lagi diperlukan dalam menangani cabaran aktiviti scammer yang berleluasa kebelakangan ini.

Kamera

Honor Magic 7 Pro telah menambahbaik keupayaan tri-kamera di belakangnya dengan AI yang dipertingkatkan. Antaranya AI Super Zoom yang membantu mempertingkatkan hasil imej yang ditangkap menggunakan zum kamera telefoto.

Sungguhpun masih mengekalkan tetapan tri-kamera yang sama seperti modelnya yang terdahulu, Magic 7 Pro memperlihatkan hasil yang telah ditambahbaik. Kamera telefoto 200MP Ultra mempunyai sensor 1/1.4-inci dengan zum optikal 3x, zum seamless 6x dengan pemangkasan (cropping) sensor dan zum digital sehingga 100x.

Turut disediakan kamera 50MP dengan apertur boleh laras dari f/1.4 – f/2.0 bersama-sama penstabil imej optikal, serta kamera bersudut ultra-lebar 50MP f/2.0.

Walaupun mempunyai spesifikasi perkakasan kamera belakang yang padu, Honor masih lagi memilih jalan selamat dengan mengehadkan resolusi maksimum rakaman video hanya pada 4K 60fps. Tidak ketinggalan, kamera hadapannya pula merupakan lensa bersudut luas 50MP dengan sokongan rakaman video 4K 60fps.

Mod potret unik pada telefon pintar Honor dengan kerjasama Studio Harcourt seperti yang mula diperkenalkan pada siri Honor 200 turut disertakan bersama. Ia mampu menjadikan foto yang anda ambil kelihatan lebih bermakna dan mempunyai lebih daripada 1000 cerita di dalamnya.

Rakaman aksi yang dipertingkatkan

Honor Magic 7 Pro juga didatangkan dengan mod HD Burst Shot baharu yang boleh mengambil foto-foto pantas secara berturut-turut sehingga 30 keping. Ia amat berguna untuk mengambil gambar-gambar aksi seperti aktiviti sukan, haiwan atau apa sahaja aktiviti-aktiviti yang memerlukan ketangkasan merakamkan momen. AI Motion Sensing Capture yang diperkenalkan pada tahun lepas juga masih ada dan mampu membantu merakamkan aksi-aksi pantas dengan cemerlang.

Tangkapan gambar pada waktu siang melalui kamera belakangnya amat cemerlang dengan perincian yang halus dan warna yang tampak hidup dengan zum nirugi (lossless) sehingga 6x.

Lebih dari had zum berkenaan, imej yang dihasilkan dibantu dengan janaan AI Super Zoom bagi memastikan imejnya kekal jelas dan terperinci sehingga ke tahap zum 30x. Untuk zum sehingga 100x, imej yang dihasilkan walaupun tidak begitu jelas, perinciannya masih lagi dapat dikenalpasti.

Untuk imej pada waktu malam pula dapat dirakamkan pada kualiti yang bagus dengan julat dinamik yang baik. Perincian dalam keadaan rendah pencahayaan di kawasan bandar pula kelihatan baik untuk zum sehingga 6x. Cuma untuk keadaan yang amat kurang pencahayaannya, anda perlu mengaktifkan mod malam di dalam fotografi untuk mendapatkan hasil foto yang lebih baik.

Bunyi dan Bateri

Sesuai dengan tarafnya selaku telefon pintar mercu, Honor Magic 7 Pro mempunyai sepasang pembesar suara stereo dengan ruangan bunyi yang besar untuk hasil yang lebih padu. Selain menawarkan sokongan audio spatial untuk kandungan bersesuaian dan persijilan SGS untuk prestasi audio, telefon pintar ini juga dengan beraninya menawarkan sokongan Honor Surround Subwoofer untuk pembesar suaranya.

Bunyi-bunyi akustik yang dihasilkannya juga merupakan antara yang terbaik dengan perinciannya. Audio untuk filem, muzik dan permainan dari outputnya juga memberikan hasil yang mantap untuk dinikmati pada halwa telinga anda. Begitu juga lontaran suara vokal dapat didengari dengan jelas tanpa dirasa ditenggelamkan oleh bunyi-bunyian lain.

Hayat baterinya pula cemerlang melalui kapasiti 5,850mAh untuk bateri karbon silikon yang disediakannya dengan mampu menawarkan tempoh penggunaan secara berterusan sekitar 15 jam 10 minit. Secara umumnya, bagi penggunaan biasa ia mampu bertahan untuk sehari suntuk.

Pengecas 100W yang didatangkan bersama-sama dengannya juga boleh mengecaskan Honor Magic 7 Pro dari sifar sehingga penuh dalam tempoh sekitar 44 minit. Ia juga mempunyai sokongan pengecasan nirwayar pantas pada 80W.

Kesimpulan

Honor Magic 7 Pro didatangkan dengan pemprosesan bertaraf mercu termaju, paparan LTPO OLED yang mantap disamping menjaga mata, serta hayat bateri yang panjang dan kamera yang cemerlang. Tidak cukup dengan itu, kerangkanya juga amat tahan lasak untuk bertahan dari kesan akibat jatuh dan juga calar.

Buat masa ini tiada lagi telefon pintar di pasaran yang menawarkan keupayaan algoritma pengesanan AI Deepfake selain daripada Honor Magic 7 Pro ini. Selain keupayaan AI tersebut, manfaat teknologi AI turut diperluaskan pada sokongan Google Gemini, terjemahan masa nyata, Magic Eraser, Magic Portal dan sebagainya.

Pada keseluruhannya, Magic 7 Pro merupakan telefon pintar mercu yang mantap yang menawarkan prestasi cemerlang, kamera yang hebat, bateri tahan lama dan sejumlah ciri-ciri sokongan AI terbina di dalamnya. Secara tidak langsung, menjadikan telefon pintar baharu keluaran Honor ini antara pilihan telefon pintar terbaik di Malaysia keluaran 2025.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.