HONOR merupakan jenama telefon pintar yang berkembang pantas baru-baru ini telah memperkenalkan siri HONOR 200. Barisan telefon pintar berkenaan menumpukan pada ciri fotografi dengan menyertakan bersama gaya yang unik pada harga yang wajar.
Siri ini dibarisi dengan HONOR 200 Lite, HONOR 200 dan HONOR 200 Pro yang ketiga-tiganya telah pun memasuki ke pasaran Malaysia sejak dari Jun lalu. Model HONOR 200 Pro telah pun kami ulas pada artikel yang lepas dan untuk artikel kali ini, saya akan mengulas model di tengah-tengah siri ini – HONOR 200.
Dibangunkan bersama dengan Studio Harcourt, siri telefon pintar ini mensasarkan untuk membawakan ciri tangkapan foto potret gaya profesional ke dalam poket anda. Studio yang popular di Paris juga sering menjadi pilihan selebriti terkenal dan juga individu kenamaan seperti Karl Lagerfeld dan Audrey Hepburn hinggalah ke Ratu Rania dari Jordan.
HONOR 200 bukan sekadar menawarkan fotografi potret gaya profesional semata-mata. Ia juga dilengkapkan dengan perkakasan yang baik untuk tujuan produktiviti, hiburan dan keperluan harian sesebuah telefon pintar masa kini.
Isi Kandungan
Spesifikasi, kelebihan dan keurangan HONOR 200
Saiz skrin | 6.7 inci |
---|---|
Resolusi | FHD+ 2664 x 1200 piksel |
Bateri | 5,100mAh |
Kamera | utama 50MP, telefoto 50MP, ultra-lebar 12MP, kamera depan 50MP |
Sistem operasi | Magic OS 8 berasaskan Android 14 |
Pemprosesan | Qualcomm Snapdragon 7 Gen 3 |
RAM | 8GB, 12GB |
Storan | 256GB, 512GB |
Kerintangan air dan debu | Tiada |
Berat | 187g |
Kelebihan
- Mod potrait AI yang cantik
- Bateri tahan lama
- Rekaan yang nipis dan elegan
Kekurangan
- Banyak aplikasi sarap
- Tiada penarafan kerintangan air dan debu
Rekabentuk dan Paparan
HONOR seperti biasa mampu menghasilkan telefon pintar dengan rekaan yang cantik dan HONOR 200 adalah manifestasi kepada keupayaan tersebut. Rekaannya tampak mewah dan penuh kehalusan bersama-sama lengkungan yang kemas dan perincian yang elegan melalui paten unik pada permukaan di belakangnya. Modul kameranya juga diperkemaskan dengan bingkai berglos mengelilingi ruangan yang menempatkannya.
Apa yang saya segera dapat rasakan adalah pada betapa nipisnya sebaik sahaja mengeluarkan ia dari kotak pembungkusannya. HONOR 200 hanya berketebalan 7.7mm dengan beratnya hanya 187 gram. Oleh itu, ia boleh menjadi antara telefon pintar yang paling nipis dan ringan di pasaran pada ketika ini walaupun mempunyai skrin sebesar 6.7-inci.
Skrinnya ini juga mempunyai bingkai yang amat nipis dengan bahagian berpenebuk lubang pada sebelah atasnya menempatkan sebuah kamera di tengah-tengahnya. Sama seperti model Pro, telefon pintar ini juga masih mempunyai paparan melengkung pada kedua-dua belah sisinya.
Sesuatu yang masih lagi dikekalkan walaupun pada ketika ini kebanyakan pengeluar telah mula beransur-ansur beralih ke paparan rata. Pada bahagian sisinya terdapat butang kawalan bunyi, butang kuasa dan di sebelah bawahnya pula, terdapat port USB-C tanpa lubang bicu audio 3.5mm disediakan.
HONOR 200 mempunyai skrin OLED 6.7-inci dengan resolusi FHD+ (2664 x 1200 piksel). Paparannya penuh seri warna dan jitu dengan kecerahan puncak 4,000 nits, ia mampu memaparkan kandungannya dengan baik walaupun di bawah sinar mentari.
Melalui kadar penyegaran skrin 120Hz, apa yang dipaparkannya amat lancar responnya dalam segenap segi. Ia juga amat memberikan manfaat kepada para pemain permua kerana respon yang pantas diberikannya.
Respon yang diberikan untuk menyahkuncinya juga pantas termasuk menggunakan pengimbas cap jari terbina bawah paparannya. Selain ciri biometrik imbasan cap jari, telefon pintar ini juga menyediakan sokongan imbasan pengecaman wajah untuk menyahkuncinya.
Cuma agak sedikit ralat dengan HONOR 200 kerana ia tidak mempunyai penarafan kerintangan air dan debu IP68 sebagaimana yang diterima oleh HONOR 200 Pro. Oleh yang demikian, anda perlu mengambil perhatian sewajarnya apabila mengendalikannya dalam persekitaran yang dibasahi air atau berdebu.
Kamera HONOR 200
‘Permata’ paling berharga HONOR 200 terletak pada kameranya. Gabungan perkakasan dan ciri pemprosesan kecerdasan buatan (AI) memberikan hasil foto yang menakjubkan bagi sesebuah telefon pintar yang berharga bawah RM2,000.
Sistem kameranya mengandungi kamera utama potret 50MP, kamera telefoto 50MP, kamera ultra lebar 12MP dan kamera swafoto 50MP. Ia kelihatan tidak berbeza dengan model Pro, namun dibezakan pada penggunaan jenis sensornya sahaja. Aplikasi kameranya juga mampu dijalankan dengan lancar baik ketika ia dibuka mahupun ketika mengambil gambar.
Jarang saya terlepas syot-syot yang ingin saya dapatkan apabila menggunakan mod ‘Photo’ biasa. Namun, untuk menggunakan mod ‘Portrait’ subjek yang anda ingin tangkap di dalam gambar tersebut perlu dipastikan tidak bergerak supaya tidak menghasilkan imej yang kabur.
Foto-foto yang diambil menggunakan telefon pintar ini jelas, terang dan sebahagiannya layak diabadikan di dalam profil Instagram. Beberapa imej mungkin kelihatan terlebih tumpat pada warnanya dan nampak tidak realistik. Ia tidak mengapa kerana gaya imej yang diprosesnya ini pada pandangan saya kelihatan lebih bertenaga.
Mod Portrait merupakan kekuatan utama HONOR 200. Menggunakan mod Portrait Harcourt yang dikuasakan oleh AI, foto-foto individu yang diambil menggunakannya kelihatan seperti gaya profesional ditangkap di dalam studio. Sama seperti pada model Pro, hanya kamera belakang sahaja yang menyediakan mod tersebut.
Bagi anda yang sering mengambil imej-imej portrait menggunakan telefon pintar, HONOR 200 mungkin mampu memberikan kepuasan buat anda. Tidak pasti bagaimana mod Portrait Studio Harcourt ini dapat membantu dalam mengambil gambar-gambar kenangan harian anda, namun ia membantu anda mengambil momen-momen indah anda bersama insan-insan tersayang.
Antara yang membezakan HONOR 200 dengan telefon-telefon pintar yang seangkatan harganya adalah terletak pada zum optikal 2.5x yang disediakannya. Ia mungkin nampak biasa, akan tetapi dengan manfaat zum optikal ini, anda mampu mendapatkan lebih daya kreativiti fotografi melaluinya.
Contoh foto-foto yang diambil menggunakan HONOR 200
Berikut foto-foto yang diambil menggunakan HONOR 200:
Prestasi dan Bateri HONOR 200
HONOR 200 dikuasakan oleh pemprosesan Qualcomm Snapdragon 7 Gen 3 bersama-sama pilihan RAM 8GB atau 12GB dan juga pilihan storan 256GB atau 512GB. Hasilnya ia mampu mengendalikan hampir apa sahaja aplikasi yang dijalankannya dengan lancar tanpa kesan pemanasan.
Bercakap tentang peranti menjadi panas ini, apa yang saya perasan ia akan menjadi sedikit panas apabila digunakan di bawah cahaya matahari dalam sesuatu tempoh yang panjang.
Oleh kerana baterinya berkapasiti 5,100mAh dengan pemprosesan dan perisian yang berkecekapan tenaga, HONOR 200 mampu bertahan bagi penggunaan seharian sebelum perlu dicaskannya pada pagi esok, bergantung pada tahap penggunaan.
HONOR 200 juga menyokong HONOR SuperCharge 100W dan menggunakan pengecas yang disediakan bersama-sama kotak pembungkusannya, anda boleh mengecaskannya dari 0 sehingga 100% dalam tempoh sekitar setengah jam.
Perisian HONOR 200
MagicOS 8 digunakan bagi mengoperasikan HONOR 200 dengan berasaskan Android 14 dan seperti biasa, ia amat mudah dikendalikan bagi anda yang sudah biasa menggunakan peranti Android.
Seperti yang dijangkakan, anda boleh memilih untuk menelusuri sistemnya menggunakan kaedah gestur atau melalui kawalan tiga butang. Aplikasi-apliaksi yang kerap anda gunakan juga akan disimpan di dalam folder mudah dicapai pada paparan skrin utama.
Beberapa folder membenarkan anda terus mengetik pada ikon aplikasinya tanpa perlu melalui foldernya terlebih dahulu. Berbeza dengan kebanyakan peranti Android, tiada laci (drawer) aplikasi untuk melihat semua aplikasi di satu tempat.
Apa yang sedikit kurang menyenangkan adalah pada aplikasi-aplikasi sarap yang mungkin tidak diperlukan bagi kebanyakan pengguna. Aplikasi tersebut bagaimanapun masih boleh dibuang oleh pengguna jika tidak memerlukannya. Cuma ia mungkin sedikit leceh kerana perlu membuangnya satu-persatu.
Dari segi sokongan perisian, HONOR menjanjikan sokonga kemaskini perisian selama tiga tahun dan empat tahun sokongan keselamatan untuk semua siri HONOR 200. Ia sudah menjadi satu kebiasaan bagi peranti-peranti Android walaupun ada sesetengah pengeluar yang memberikan sokongan yang lebih panjang.
Kesimpulan
HONOR 200 membuktikan anda tidak perlu berhabis wang untuk mendapatkan prestasi terbaik dari sesebuah telefon pintar pada 2024. Telefon pintar ini mempunyai rekaan yang cantik, pantas dan mampu mengambil foto yang cantik.
Bagaimanapun, ketiadaan penarafan kerintangan air dan debu (IPxx) pada telefon pintar ini memerlukan pengguna berhati-hati ketika mengendalikannya dalam persekitaran tertentu.
Harga HONOR 200 di Malaysia
HONOR 200 tersedia dalam dua konfigurasi storan, iaitu 12GB RAM+512GB (RM2,199) dan 12GB RAM+256GB (RM1,899) dengan tiga warna pilihan iaitu Coral Pink, Moonlight White dan Black.
Untuk maklumat lanjut mengenai Siri HONOR 200, layari laman web rasmi HONOR Malaysia di https://www.honor.com/my/