Utama Android Honor Ulasan HONOR 200 Pro; Potret sebuah Telefon Pintar Moden

Ulasan HONOR 200 Pro; Potret sebuah Telefon Pintar Moden

50
0

Minggu ini menyaksikan pelancaran global telefon pintar HONOR 200 dan HONOR 200 Pro di pasaran antarabangsa. Sebelum ini telefon pintar peringkat menengah ini telah menemui pengguna-penggunanya di pasaran China dan kini tiba giliran pengguna di rantau lain di dunia termasuk Malaysia.

Berdasarkan penawarannya, HONOR 200 Pro bukanlah telefon pintar mercu dan pada harga RM2,699, ia hampir-hampir setara untuk menyaingi telefon pintar mercu lain seperti Samsung Galaxy S24 dan Google Pixel 8. Beberapa ciri yang terdapat padanya boleh diambil kira buat anda yang berhasrat mendapatkan ciri-ciri mercu pada sesebuah telefon pintar peringkat menengah.

Sekali pandang, HONOR 200 Pro mampu mencuri perhatian anda dengan reka bentuk belakangnya yang unik. Boleh didapati di dalam pilihan warna Ocean Cyan dan Moonlight White, rekaan dan warna pilihan warna berkenaan masing-masing diilhamkan dari suasana persisiran pantai dan sinar bulan purnama.

Bonggol kameranya pula diilhamkan reka bentuknya dari seni bina bangunan Casa Mila yang direka oleh arkitek Antoni Gaudi. Ia bersesuaian dengan pengkhususan telefon pintar yang diberikan jolokan sebagai “The Potrait Master”, hasil kerjasamanya dengan salah sebuah studio fotografi seni terkemuka di Paris, Studio Harcourt.

Popular dengan potrait berwarna hitam-putih, ia pernah digunakan untuk menghasilkan potret bintang-bintang terkemuka seperti Alain Delon, Brigitte Bardot, Marlene Dietrich, Salvador Dali, Marion Cotillard, Jean Dujardin, Zinedine Zidane, dan ramai lagi.

Berdasarkan maklumat dari Wikipedia, untuk sekeping potret dari Studio Harcourt ini harganya mampu mencecah sekitar RM20,000. Jadi, adakah HONOR 200 Pro ini mampu menghasilkan seni foto yang indah tanpa perlu anda membelanjakan sejumlah wang untuk ke mengambil foto di studio di Paris?

Kelebihan dan Kekurangan HONOR 200 Pro

Kelebihan

  • Rekaan bergaya dengan kualiti yang mantapStylish design, superb build quality
  • Kamera yang baik
  • Skrin yang cemerlang
  • Pengecasan pantas
  • Audio padu

Kekurangan

  • Harga yang agak tinggi berbanding spesifikasi

Spesifikasi

  • Ukuran: 163.3 x 75.2 x 8.2mm
  • Berat: 199g
  • Paparan: 6.78-inci AMOLED Quad-curved, 120Hz, 2700×1224 (437PPl), kecerahan puncak 4,000nits
  • Pemprosesan: Qualcomm Snapdragon 8s Gen 3
  • Perisian: MagicOS 8.0 berasaskan Android
  • Kamera: Sensor 1/1.3″ Kamera utama Portrait (OIS + EIS) 50MP (f/1.9) Super Dynamic H9000, Sensor kamera telefoto 50MP (f/2.2) (OIS+EIS) Sony IMX 856, Kamera ultra-lebar dan makro 12MP (f/2.2) (FOV 1120) dan Portrait Selfie Camera 50MP
  • Saiz bateri: 5,200mAh Silikon Karbon
  • Kelajuan pengecasan: HONOR Supercharge (berwayar) 100W, HONOR SuperCharge (nirwayar) 66W, sokongan pengecasan berbalik
  • Harga: RM2,699 (RAM 12GB, storan 512GB)

Reka bentuk

Telefon pintar keluaran lewat kebelakangan ini jarang sekali kelihatan unik. Namun, HONOR masih mampu memberikan sedikit karakter pada HONOR 200 Pro terutamanya pada bahagian bonggol kamera.

Rekaan simetri kameranya diilhamkan dari reka bentuk bangunan Casa Milà oleh arkitek terkemuka Antonio Gaudi. Menurut HONOR, rekaan luaran kamera ini merupakan homaj kepada tingkap-tingkap patio Casa Milà bagi menunjukkan adunan harmoni garis-garis geometri organik dengan naturalism.

Ia seterusnya menjadikan rekaan telefon pintar ini kelihatan segar dan elegan. Terdapat tiga pilihan warna yang ditawarkannya iaitu Ocean Cyan, Black dan Moonlight White, seperti unit ulasan yang kami terima ini.

Penggunaan Pemprosesan Snapdragon 8s Gen 3

Kita tengok juga pada pemilihan penggunaan pemprosesan pada telefon pintar ini. HONOR 200 Pro didatangkan dengan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8s Gen 3. Berbeza dengan pengeluar-pengeluar lain, nama “S” yang digunakan bukan bermaksud naik taraf kitaran pertengahan seperti 8 Gen 3+. Makna kata, ia seakan 8 Gen 3 untuk pemprosesan peringkat menengah.

Walaupun prestasi teras tunggal untuk pemprosesan ini amat mirip dengan 8 Gen 2 yang dilancarkan pada tahun lepas, prestasi berbilang terasnya pula didapati lebih rendah. Oleh itu, ada beberapa fungsi yang memerlukan keupayaan tersebut tidak dapat dipenuhi oleh HONOR 200 Pro. Namun, untuk kegunaan harian prestasi telefon pintar ini lebih dari mencukupi.

Cari dan kongsi dengan Kecerdasan Buatan (AI)

HONOR meneruskan lagi penggunaan MagicOS yang berasaskan Android 14 pada HONOR 200 Pro. Telefon pintar ini akan menerima kemaskini perisian selama tiga tahun dan empat tahun kemaskini keselamatan. Walaupun sokongan yang diterimanya ini lebih pendek berbanding yang diterima pada telefon pintar lain seperti Galaxy S24, ia didatangkan bersama-sama perisian AI terkini daripada HONOR.

Alatan seperti ‘aplikasi atau tindakan yang disarankan’ seperti lazimnya dapat diketemukan di dalam telefon pintar baharu keluaran HONOR ini. Antaranya:

  • ‘AI Suggestions’ yang mencadangkan aplikasi yang mungkin anda akan gunakannya nanti.
  • Magic Capsule untuk menunjukkan notifikasi yang relevan
  • Togol yang dicadangkan AI untuk tetapan yang boleh anda akses dari Control Centre

Fungsi Magic Portal pula pada pandangan saya merupakan ciri yang paling banyak memanfaatkan kelebihan AI. Melaluinya anda boleh memilih teks atau imej untuk dileretkan masuk ke dalam aplikasi lain yang telah anda tetapkan pada bucu kiri atau kanan antara mukanya.

Sejumlah aplikasi bermanfaat disokong melalui ciri ini yang boleh digunakan bagi tujuan catatan nota, perkongsian di media sosial atau carian bersama dengan kandungan.

Bukan sekadar Penuras Foto

Menggandingkan perkakasan kamera dengan ciri-ciri sokongan berasaskan AI baharu dilihat seperti satu trend dikalangan pengeluar telefon pintar pada tahun ini. HONOR 200 Pro turut tidak terkecuali menawarkan fotografi mudah alih dengan kelebihan AI.

Ciri Motion Sensing yang sebelum ini terdapat pada telefon pintar mercu seperti HONOR Magic 5 Pro dan Magic 6 Pro turut diperkenalkan pada HONOR 200 Pro. Ia menawarkan anda pilihan untuk mengambil foto-foto yang sebaik mungkin untuk subjek-subjek yang sedang bergerak seperti ketika di dalam acara sukan atau foto anak-anak.

Sama seperti kebanyakan telefon pintar HONOR yang lain, kamera pada model baharu ini juga menawarkan warna yang lebih berseri dan menonjol di dalam foto-foto yang ditangkap. Ia juga menambahkan kontras yang tinggi pada foto yang diambil ketika ia diproses.

HONOR juga mengetengahkan ciri fotografi potret yang mantap pada telefon pintar ini. Bergandingan dengan Studio Harcourt untuk membawakan mod potret bertaraf seakan profesional yang mampu meningkatkan mutu seni fotografi potret anda.

Mod dengan sokongan ini membolehkan foto-foto yang dihasilkan mensimulasikan semula gaya dan kualiti fotografi dari Studio Harcourt. Anda boleh memilih dari tiga pilihan variasi yang ditawarkan iaitu:

  • Harcourt Vibrant
  • Harcourt Color
  • Harcourt Classic

Kesemua variasi mod tersebut menawarkan keunikan tersendiri pada penurasannya.

Pada pandangan saya, pilihan Harcourt Classic paling mencuri tumpuan dengan gaya fotografi hitam-putih ala noire yang dihasilkannya. Walaupun anda boleh menyunting foto-foto yang ditangkap kemudiannya, ada sesetengah pengguna yang lebih gemar jika ia dapat dihasilkan dengan segera dengan kualiti yang baik. Pun begitu, mod ini tidak disediakan pada kamera hadapannya. Pada pandangan saya, barangkali ia disebabkan oleh kesan estetika Studio Harcourt mungkin akan kelihatan agak canggung jika dikenakan pada swafoto.

Selain mod Portrait yang diketengahkan padanya, HONOR 200 Pro juga cemerlang dalam mengambil foto-foto lain menggunakan kamera utamanya.

Bateri

HONOR 200 Pro menampilkan bateri karbon-silikon 5,200mAh. Agak besar jika mengambil kira ketebalannya yang hanya 8.2mm dan seberat 199 gram. Ia mampu bertahan dalam sehari setengah bagi penggunaan yang berterusan dan boleh mencapai sehingga dua hari jika anda kurang menggodek telefon pintar anda.

Untuk pengecasannya pula, telefon pintar ini didatangkan dengan sokongan pengecasan pantas berwayar 100W dan 66W secara nirwayar. Sokongan pengecasan berbalik nirwayar juga disediakan untuk mengecas peranti-peranti sokongan pengecasan nirwayar lain seperti jam tangan pintar.

Hanya 45 minit sahaja masa yang diperlukan untuk HONOR 200 Pro dicaskan dari sifar sehingga penuh melalui pengecas yang disediakan bersama-sama dengan kotak pembungkusannya.

Kualiti Audio

Pembesar suara HONOR 200 Pro pada pendengaran saya menyamai kualiti yang dihasilkan oleh Magic 6 Pro. Seperti biasa, telefon pintar ini didatangkan dengan sepasang pembesar suara stereo yang mampu memberikan bunyi yang padat lengkap dengan bass.

Terdapat pilihan menaikkan suara sehingga 200% dengan 80db untuk anda mendengar dengan lebih jelas ketika di dalam suasana yang bising. Namun, pada mod ini bunyi yang dihasilkan ada sedikit pecah.

Memadai untuk anda mendengar pada 100% sahaja melalui pembesar suara atau boleh sahaja menyambungkannya dengan earbuds nirwayar memandangkan bicu audio 3.5mm tidak disediakan.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, penambahan Harcourt pada ciri fotografinya merupakan kelebihan unik yang ditawarkan pada HONOR 200 Pro dan imej yang dihasilkan sepadan dengan harga yang ditawarkannya.

HONOR 200 Pro merupakan telefon pintar peringkat menengah yang menghampiri sifat premium. Ia menawarkan sejumlah fungsi-fungsi yang biasa terdapat pada sesebuah telefon pintar peringkat menengah dengan beberapa ciri telefon pintar mercu seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) dan kamera mod portret dengan kesan penuras khas dari Studio Harcourt.

Justeru, buat anda yang ingin mendapatkan telefon pintar peringkat menengah dengan pengkhususan fotografi potret, mungkin HONOR 200 Pro pilihan tepat anda. Tidak banyak pilihan seumpamanya di pasaran pada harga tawaran yang sepertinya.

Harga HONOR 200 Pro

HONOR 200 Pro hanya ditawarkan dengan satu pilihan konfigurasi sahaja iaitu RAM 12GB dan storan 512GB pada harga RM2,699 di Malaysia. Pra-tempahan HONOR 200 Pro telah mula dibuka sejak semalam sehingga 27 Jun 2024 jam 3 petang.

  • HONOR 200 Pro (RAM 12GB dan storan 512GB) – RM2,699

Anda yang membuat pra-tempahan berpeluang untuk menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM1,078 yang meliputi sepasang HONOR Earbuds X6, penggantian kaca depan dan belakang yang retak untuk 365 hari dan rebat RM200.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.