Utama Pencetak Canon Ulasan Canon Maxify GX1070; Pencetak serbaguna jimat kos dakwat

Ulasan Canon Maxify GX1070; Pencetak serbaguna jimat kos dakwat

44
0

Pencetak semua-dalam-satu (all-in-one, AIO) Canon Maxify GX1070 menawarkan prestasi percetakan yang lebih lasak dari Canon PIXMA G3770 yang pernah kami ulas sbeelum ini. Seperti model-model pencetak di dalam siri Maxify ini, model ini juga menawarkan tangki dakwat besar yang membolehkan kos isian semula dakwat menjadi lebih rendah.

Kelajuan mencetak, menguruskan kertas dan kos keseluruhan pengendaliannya sesuai bagi penggunaan percetakan bertahap sederhana dan berat untuk pejabat kecil atau pejabat di rumah. Ciri pengimbasnya pula yang hanya boleh digunakan pada flatbed di atasnya pula hanya sesuai bagi tugasan yang ringan.

Bagi anda yang inginkan pencetak berkos rendah dengan penggunaan imbasan dan fotokopi yang minimum, Canon Maxify GX1070 merupakan pilihan yang tepat.

Kelebihan dan Kekurangan

Kelebihan

  • Boleh mencetak, mengimbas dan menyalin
  • Dakwat dijual dalam bentuk botol
  • Pengurusan kertas yang bagus untuk kuantiti yang sedikit
  • Boleh mencetak secara dupleks (depan-belakang) secara automatik
  • Boleh mencetak dan mengimbas terus dari telefon pintar

Kekurangan

  • Hanya ada satu dulang kertas sahaja dan tiada dulang bypass
  • Imbasan hanya terhad untuk saiz A4 sahaja dan hanya satu helaian sahaja dalam satu-satu masa

Harga Pencetak All-in-One Canon Maxify GX1070

Anda boleh mendapatkan pencetak Canon Maxify GX1070 ini menerusi laman web rasmi Canon Malaysia pada harga RM1,650. Untuk dakwatnya pula, anda boleh mendapatkan botol-botol dakwat GI-75 mengikut warnanya sendiri pada harga setiap satu RM54 sebotol.

Rekabentuk

Canon GX1070 menawarkan tiga fungsi iaitu mencetak, mengimbas dan menyalin, namun fungsinya lebih mengutamakan percetakannya. Kekangan untuk imbasan dan salinannya lebih pada kaedah menguruskan kertas-kertas yang anda ingin imbas atau salin. Anda perlu meletakkan kertas tersebut satu-per-satu pada bahagian cermin pengimbas berkenaan.

Ia bersesuaian jika dokumen yang ingin diimbas atau disalin itu sedikit, namun jika helaiannya terlalu banyak dan ditambah lagi melibatkan cetakan depan dan belakang, tugas tersebut akan menjadi lebih renyah.

Pengurusan kertas untuk percetakan pula hanya melibatkan sebuah dulang sahaja yang hanya menerima kertas sehingga bersaiz A4. Ia juga menawarkan sokongan cetakan dupleks (depan-belakang) automatik.

Memandangkan hanya satu dulang sahaja yang disediakannya, anda perlu menukarkan kertas di dalam dulang tersebut jika ingin menggunakan kertas yang berlainan saiz. Dulang ini juga menyokong kapasiti sehingga 250 helai kertas.

Pemasangan secara fizikalnya mudah dilakukan sebagaimana kebanyakan pencetak Canon yang lain. Seberat kira-kira 7kg dengan berukuran 7.4 x 14.8 x 15-inci, pencetak ini boleh dikirakan agak mudah untuk dialihkan ke mana-mana tempat kerana ia lebih ringan jika dibandingkan dengan pencetak laser. Saiznya juga tidak terlalu besar untuk dimuatkan di atas meja kerja biasa.

Pengendaliannya juga mudah difahami melalui panel kawalan paparan sesentuh berwarna 2.7-inci yang dibantu oleh butang-butang fizikal di sekelilingnya. Setiap tangki-tangki dakwatnya ditanda dengan warna masing-masing cyan, yellow, magenta, dan black untuk mengelakkan anda tersilap mengisinya.

Penyambungan ke Peranti

Untuk pemasangan perisian, saya menggunakan sambungan secara Wi-Fi dengan menyambungkan ke penghala dengan mengikuti langkah-langkah yang diberitahu pada panel paparannya. Bagi pengguna PC Windows 11, anda boleh menyambungkan dengan menambah pencetak berkenaan pada “Control Panel” dan pastikan kedua-dua peranti berada di dalam sambungan rangkaian yang sama.

Sokongan penyambungannya juga turut ditawarkan dalam bentuk sambungan USB dan juga kabel rangkaian ethernet.

Anda juga boleh mencetak atau mengimbas menggunakan telefon pintar, anda boleh mengimbas kod QR yang disediakan melalui panel kawalannya. Bagaimanapun, kaedah ini mungkin agak memeningkan sedikit pada sesetengah pengguna. Cetakan dan imbasan menggunakan telefon pintar boleh juga dibuat dengan melalui aplikasi Canon yang boleh dimuat turun pengguna Android dan juga iOS.

Tarikan utama pencetak dengan tangki ini terletak pada kos rendah untuk isian semula dakwatnya berbanding dengan pencetak dakwat menggunakan katrij. Menurut Canon, GX1070 didatangkan dengan tangki yang cukup untuk mencetak 3,000 helaian cetakan mono dan 3,000 helaian cetakan berwarna. Setiap botolnya berharga RM54 dengan setiap botol boleh mencetak sehingga 3,000 helai muka surat.

Kepantasan dan kualiti cetakan

Dari segi kelajuan mencetak, GX1070 bukanlah antara yang terpantas di kalangan pencetak semua dalam satu. Untuk sehelai kertas yang mengandungi teks, ia berupaya mencetak dalam tempoh kira-kira 15 saat dan untuk cetakan yang mengandungi foto berwarna pula masa yang diambilnya sedikit panjang iaitu kira-kira 42 saat.

Kualiti teks pula dikira sebagai memuaskan dengan font-font yang kecil tidak begitu jitu pada sisi-sisinya. Untuk saiz font yang biasa digunakan untuk dokumen-dokumen rasmi pula, hasil cetakan pada teks dapat dibaca dengan jelas. Cetakan untuk teksnya juga kelihatan tidak menghasilkan kesan comot jika ditandakan dengan pen penyerlah (highlighter pen).

Melalui tetapan lalainya (default), cetakan grafik pada kertas biasa (plain) menghasilkan kualiti warna yang tumpat, berseri dengan gradien yang baik. Malah, garis halus pada warna latar belakang hitam juga dapat diuruskan dengan baik.

Warna-warna terang yang solid dapat dikendali dengan baik oleh pencetak ini, namun terdapat sedikit kesan jalur (banding) pada warna-warna yang melibatkan kelabu, hitam dan warna-warna gelap yang lain.

Kesimpulan

Canon Maxify GX1070 merupakan pencetak semua-dalam-satu yang sesuai untuk anda yang inginkan fungsi percetakan yang tidak melibatkan kertas bersaiz lebih besar dari saiz A4. Penyambungannya juga mudah dilakukan terutamanya secara nirwayar dan saiznya yang kompak memudahkan ia diletakkan di pejabat-pejabat kecil mahupun pejabat di rumah.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.