JEDEC, badan industri bertanggungjawab menentukan piawaian memori dan storan secara rasminya mengumumkan spesifikasi Universal Flash Storage (UFS) 5.0. Direka bentuk mengutamakan prestasi tinggi AI dan perkomputeran, piawaian baharu ini membawakan perubahan besar dari segi kelajuan dan kecekapan berbanding UFS 4.0 yang diperkenalkan pada 2022.

UFS 5.0 hampir menggandakan lebar jalur berjujukan, menawarkan kadar pemindahan data sehingga 10.8Gb/s berbanding setakat 5.8Gb/s sahaja untuk UFS 4.0 dan 4.1.

Menurut JEDEC, lonjakan lebar jalur ini membolehkannya:

  • memenuhi beban pertambahan permintaan AI
  • peranti mudah alih
  • sistem perkomputeran pinggiran

Kesemuanya memerlukan akses lebih pantas ke set-set data yang besar.

Selain penambahbaikan kelajuan, UFS 5.0 juga membawakan sejumlah penambahbaikan teknikal bagi tujuan kestabilan dan keboleh harapan. Ciri penyamaan pautan baharu membantu mengekalkan keutuhan signal ketika pemindahan berkelajuan tinggi.

Dalam pada masa yang sama landasan kuasa mengasingkan hingar antara lapisan isyarat dan memori, seterusnya menghasilkan penghantaran kuasa yang lebih bersih. Selain itu, cincangan dalam baris diperkenalkan bagi meningkatkan perlindungan data dan keselamatan keseluruhan.

Piawaian baharu ini juga masih serasi kebelakang dengan perkakasan UFS 4.x sedia ada bagi membolehkan pengeluar menyesuaikan teknologi tanpa pengubahsuaian semula besar-besaran. JEDEC juga menyatkaan senibina pengurusan kuasa diperhalusi akan menyumbang kepada kecekapan tenaga lebih baik.

Sungguhpun spesifikasinya telah dimuktamadkan, JEDEC masih belum menyediakan garis masa untuk penggunaan komersil. Pengeluar memerlukan masa untuk mengintegrasikan UFS 5.0 ke dalam telefon pintar dan peranti-peranti pengguna umum lain.

Tinggalkan komentar