Tidak sampai dua hari selepas Apple melabuhkan tirai pembentangan produk-produk terbarunya – iPhone 8 dan iPhone 8 Plus – syarikat-syarikat telco tempatan telah mula mengacah iklan telefon pintar berkenaan. Celcom, Digi dan U Mobile, kesemuanya telah menyenaraikan iPhone 8 akan hadir melalui laman sesawang masing-masing.
Bagaimanapun, tiada info lanjut didedahkan oleh syarikat-syarikat telco berkenaan melainkan hanya paparan imej iPhone 8 dan iPhone 8 Plus berserta teks yang tertera “coming soon”.
Apple secara rasminya telah melancarkan iPhone 8 lebih kurang sehari yang lepas di Steve Jobs Theater yang terletak di kampus terbarunya yang berbentuk seperti kapal angkasa. Telefon pintar model terbaru berkenaan menampilkan penambahbaikan yang ketara dari iPhone 7 dan iPhone 7 Plus sungguhpun ia masih lagi mengekalkan ciri reka bentuk luaran yang lebih kurang sama.
Cuma, apa yang membezakannya adalah kemasan gelas yang diberikan pada bahagian belakangnya berserta keupayaan pengecasan tanpa wayar. Apple turut menambah baik 4.7” iPhone 8 dan 5.5” iPhone 8 Plus dengan teknologi True Tone yang digunapakai pada iPad Pro.
Untuk spesifikasinya pula, chipset yang digunakan adalah A11 Bionic yang lebih berkuasa jika dibandingkan dengan chipset A10 Fusion yang digunakan pada iPhone 7 dan iPhone 7 Plus. Lain-lain seperti kameranya, ia telah dipertingkatkan kepada 12MP berserta mod ‘Potrait Lighting’ yang baru. Telefon pintar ini turut menyokong ARKit, pengecasan pantas dan banyak lagi ciri-ciri penambahbaikan baru.
iPhone 8 dan iPhone 8 Plus akan mula dibuka untuk pra-tempahan bermula 15 September 2017 di pasaran-pasaran tertentu dan mula dijual pada 22 September. Tidak seperti iPhone sebelum-sebelum ini, iPhone 8 dan iPhone 8 Plus hanya diberikan dua pilihan storan – 64GB dan 256GB.
Menurut Apple, telefon pintar model-model terkini ini akan terlebih dahulu tiba di negara-negara berikut iaitu Australia, Austria, Belgium, Kanada, China, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Hong Kong, Ireland, Itali, Japan, Luxembourg, Mexico, Belanda, New Zealand, Norway, Portugal, Puerto Rico, Singapura, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom, Amerika Syarikat, dan Kepulauan Virgin AS.
Malaysia bagaimanapun tidak tersenarai di dalam negara-negara terawal yang menerima telefon pintar Apple terbaru ini dan mungkin dijangkakan ia akan hadir bersama-sama ‘gelombang ketiga’ pelancaran iPhone 8 ini.