U Mobile telah memperkenalkan penawaran jalur lebar tanpa wayar 5G di rumah melalui U Hone 5G. Ini merupakan pakej jalur lebar 5G di rumah pertama yang ditawarkan tanpa kontrak di Malaysia.
Bersempena promosi pelancarannya, pelan ini ditawarkan pada harga hanya RM68 sebulan, RM10 lebih murah berbanding harga asalnya RM78 sebulan. Anda yang berminat boleh melanggannya tanpa sebarang kontrak.
Untuk RM68 sebulan, U Home 5G menawarkan kuota 5G dan 4G tanpa had dengan tiada had laju. Dari segi kelajuan, U Mobile menyatakan kelajuan minimum yang ditawarkannya adalah 100Mbps untuk muat turun melalui rangkaian 5G, berdasarkan jaminan oleh Digital Nasional Berhad. Manakala melalui rangkaian 4G pula, ia mampu menawarkan kelajuan purata 23Mbps mengikut ujian kelajuan Ookla.
U Home 5G ditawarkan secara tanpa kontrak dengan melalui pelan data SIM sahaja untuk kegunaan secara hotspot dan juga tanpa hotspot. Oleh itu, anda perlu menggunakan penghala (router) tanpa wayar 5G untuk menikmati pelan internet rumah 5G tersebut.
Menurut halaman soalan-soalan lazim yang disediakan, kelajuan pengguna akan disekat jika dikesan penggunaan yang terlampau tinggi melebihi 1000GB. Jika kelajuan mencecah had tersebut, pengguna akan dikenakan polisii penggunaan saksama (fair usage policy, FUP) dengan kelajuan akan dikurangkan kepada 512kbps.
Pengguna bagaimanapun boleh menambah kuota berkenaan sebanyak 1000GB lagi pada harga RM30.
U Mobile menerusi laman web rasminya turut mencadangkan pelanggannya menggunakan penghala ZTE MC801A1 (5G) yang berharga RM1,699 dan ZTE MC8020 (5G) yang berharga RM1,799. Memandangkan kad SIM untuk pelan ini menyokong penggunaan hotspot, anda juga mungkin boleh menggunakan mana-mana telefon pintar 5G anda yang sedia ada untuk dijadikan hotspot awam kegunaan isi rumah anda.
Maklumat lanjut, layari laman web rasmi U Home 5G di U Mobile dan semak sama ada kawasan anda menerima liputan 5G di sini. Anda yang berminat juga boleh mendaftarkan pelan ini secara dalam talian di U Mobile.