Utama Mobile Tarikh Penutupan Siaran TV Analog Malaysia diumumkan Pertengahan 2019

Tarikh Penutupan Siaran TV Analog Malaysia diumumkan Pertengahan 2019

1662
0

Selepas penangguhan yang agak lama, tarikh penutupan pemancaran siaran televisyen analog di Malaysia akan diumumkan tidak berapa lama lagi. Perkara ini telah disahkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Encik Gobind Singh Deo melalui maklumbalas pertanyaan pihak media selepas perasmian Simposium Penyiaran Digital Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik ke-15 (ABU) 2019.

Menurut beliau, “Peralihan ini akan menaik taraf kualiti perkhidmatan penyiaran yang diberikan kepada rakyat dan kita boleh wujudkan sistem OTT (Over-the-Top), iaitu pengguna boleh menonton program kesukaan mereka bila-bila masa dan bukan macam zaman dahulu yang memerlukan kita menunggu waktu siaran,”

Katanya, berdasarkan perbincangan yang diadakan sebelum ini, keperluan untuk menaik taraf sistem analog ke digital akan dilakukan secara berperingkat namun berharap keputusan mutakhir dapat dicapai dalam masa terdekat.

“Ada kemungkinan ia perlu dilakukan secara berperingkat, namun bagi saya kita harus memulakan usaha tanpa berdolak-dalih. Usaha perlu dilaksana untuk pastikan kita memulakannya (siaran) dan saya harap keputusan dapat dicapai agar kita maju ke hadapan,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Gobind berkata pertubuhan penyiaran dan media perlu segera melaksanakan penyelesaian digital dan melakukan transformasi diri untuk kekal relevan serta bersaing dengan kalangan gergasi teknologi seperti Netflix dan Amazon.

“Jika kita tidak membangunkan penyelesaian digital kita sendiri dan berhubung dengan audiens kita, pihak lain akan mengambil alih tempat kita. Sebab itulah rakan penyiar dari rantau ini perlu memanfaatkan acara dan forum seperti ini untuk belajar daripada pakar serta berganding bahu untuk sama-sama mencapai matlamat ini agar tidak ketinggalan.

“ABU sentiasa memberi sokongan kepada usaha yang dilaksanakan oleh anggota serta pihak industri, dan saya percaya sokongan akan terus diberi kepada mereka di masa depan,” katanya.

Simposium Penyiaran Digital ABU yang berlangsung empat hari bermula semalam di sebuah hotel di sini disertai 48 pempamer termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Media Prima Berhad. Ia merupakan persidangan antarabangsa, bengkel terfokus dan pameran industri yang mempamerkan teknologi serta perkhidmatan terkini dari seluruh dunia.

Sumber berita diperoleh dari Bernama, Imej dari Fandom

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.