Utama Mobile Aplikasi TnG eWallet akan kenakan Caj 1% untuk Semua Isian Semula Kad Kredit...

TnG eWallet akan kenakan Caj 1% untuk Semua Isian Semula Kad Kredit bermula 23 Februari 2024

335
0

TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital) telah mengumumkan bayaran caj 1% untuk semua isian semula melalui kad kredit pada TnG eWallet bermula 23 Februari 2024. Tindakan ini dibuat sebagai salah satu usaha mengurangkan aktiviti pengeluaran baki kad kredit ke akaun bank. Ia juga bagi menampung kos isian semula melalui kad kredit yang selama ini ditanggung sejak ia mula diperkenalkan.

Sebelum ini TNG Digital telah mula melaksanakan caj 1% untuk isian semula kad kredit secara manual bagi nilai melebihi RM1,000 pada November tahun lalu. Kini melalui pengumuman baharu tersebut, caj tersebut akan meliputi semua nilai isian semula.

Di dalam kenyataan media yang dikeluarkan, Ketua Pegawai Eksekutif Alan Ni menyatakan kad kredit masih lagi kekal menjadi salah satu saluran isian semula yang disediakan oleh TnG eWallet. Bagaimanapun, beliau menggesa pengguna memanfaatkan kaedah isian semula melalui DuitNow atau kad debit yang akan terus ditawarkan secara percuma.

TNG Digital juga menekankan pemindahan bank melalui DuitNow akan dipertingkatkan ciri keselamatannya seperti pengesahan biometrik dan pempautan peranti bagi mengelakkan penipuan.

Kesemua pengguna akan diberikan dengan nombor akaun DuitNow masing-masing apabila membuka akaun eWallet dan ia boleh didapati di dalam bahagian Profile aplikasi berkenaan.

Untuk membuat isian semula dari akaun bank masing-masing ke dalam TnG eWallet:

  • Log masuk ke dalam aplikasi bank berkenaan atau laman webnya.
  • Seterusnya, pilih “other banks” atau “eWallet” di bawah fungsi Transfer
  • Pilih “Touch ‘n Go eWallet” sebagai akaun destinasi
  • Masukkan nombor akaun DuitNow TnG eWallet
  • Selesaikan langkah berikutnya seperti pindahan ke akaun bank biasa

Pihak TnG Digital juga menasihatkan pengguna untuk menyimpan transaksi ini sebagai “favourite” bagi memudahkan isian semula di masa akan datang. Sebagai alternatif, pengguna juga boleh menetapkan aktiviti isian semula ini sebagai transaksi berulang.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.