Utama Mobile Aplikasi TnG eWallet kenakan caj 1% untuk semua isian semula Kad Kredit atas...

TnG eWallet kenakan caj 1% untuk semua isian semula Kad Kredit atas RM1000/bulan bermula November

123
0
Topup Kad Touch n Go eWallet

Touch ‘n Go (TnG) eWallet telah mengumumkan perubahan baharu berkenaan isian semula menggunakan kad kredit. Pengguna kelak akan dikenakan caj bayaran pentadbiran 1% untuk semua isian semula atas RM1,000/bulan bermula November ini. Selain itu, pilihan untuk menjadikan sama ada isian semula melalui kad kredit boleh dipindahkan atau tidak boleh dipindahkan juga dihentikan.

Menerusi halaman terma dan syarat yang telah dikemaskini, TnG eWallet menjelaskan bermula 1 November 2023, semua isian semula melalui kad kredit akan dijadikan sebagai boleh dipindahkan.

Buat masa ini pengguna mempunyai pilihan untuk membuat isian semula sehingga RM1,000 dalam setiap bulan melalui kad kredit yang boleh dipindahkan tanpa sebarang bayaran. Sebarang isian semula melalui kad kredit melebihi amaun berkenaan akan dikenakan bayaran 1% jika ingin menjadikannya sebagai boleh dipindahkan.

Pengguna juga sebelum ini boleh membuat isian semula melalui kad kredit tanpa sebarang bayaran jika memilih untuk menjadikan baki berkenaan tidak boleh dipindahkan.

Pun begitu, syarat-syarat berkenaan akan berubah bermula bulan hadapan kerana kesemua isian semula secara kad kredit ditetapkan sebagai boleh dipindahkan. Pengguna hanya akan dikenakan caj bayaran pentadbiran 1% jika melepasi had RM1,000 dalam setiap bulan.

Terma dan syarat baharu ini juga menyatakan pengguna boleh menukar isian semula PIN dari tidak boleh dipindahkan kepada baki eWallet yang boleh dipindahkan dengan bayaran pentadbiran 1% akan dikenakan. Bagaimanapun, penukaran tersebut hanya dihadkan kepada “keadaan tertentu yang akan ditentukan oleh TNG Digital” yang bertujuan bagi mencegah aktiviti penipuan atau penggubahan wang haram.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.