Samsung dilaporkan sedang merancang mengadakan acara Unpacked untuk pelancaran Galaxy S24 pada Januari tahun hadapan di San Francisco, California, Amerika Syarikat. Sumber tersebut dikatakan dipetik daripada ‘orang dalam’ industri di Korea Selatan.
Menurutnya, acara berkenaan akan diadakan di lokasi satu jam perjalanan dari ibu pejabat Apple di Cupertino. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana siri Galaxy S23 juga dilancarkan di sana. Sebelum ini Samsung juga mengadakan acara pelancarannya yang besar di Amerika Syarikat seperti Galaxy Z Flip 4 dan Galaxy Z Fold 4 yang diperkenalkan di New York.
Acara Unpacked yang paling terkini diadakan Korea Selatan bagi tujuan mempromosikan negara asalnya dan juga salah satu usaha membida Busan sebagai acara Expo 2030.
Untuk acara pada tahun hadapan tersebut, dijangkakan siri Galaxy S24 merangkumi Galaxy S24, Galaxy S24 Plus dan Galaxy S24 Ultra yang dikatakan akan menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3.