Kira-kira 40,000 pekerja Samsung Electronics telah berhimpun di Korea Selatan pada Khamis minggu lalu untuk menuntut bahagian keuntungan syarikat yang lebih besar susulan pertumbuhan pesat sektor kecerdasan buatan (AI).
Kesatuan sekerja memberi amaran tentang potensi mogok selama 18 hari yang akan bermula pada 21 Mei sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi. Tindakan ini dijangka akan menjejaskan rantaian bekalan cip memori di seluruh dunia.
Bantahan ini tercetus selepas pekerja-pekerja menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cadangan pampasan dan struktur gaji yang ditawarkan oleh pihak pengurusan.
Saham Samsung telah melonjak hampir 300 peratus sepanjang tahun lalu berikutan permintaan luar biasa terhadap cip memori berkaitan AI. Bagaimanapun golongan pekerja berpendapat mereka tidak menikmati pulangan yang setimpal daripada keuntungan tersebut.
Menurut wakil kesatuan sekerja, pekerja di bahagian cip menerima jumlah bayaran bonus yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan pekerja yang memegang jawatan setara di syarikat pesaing utama mereka, SK Hynix.
Kesatuan mendesak syarikat memansuhkan had pembayaran bonus sedia ada yang kini ditetapkan pada kadar maksimum 50 peratus daripada gaji asas tahunan pekerja.
Pekerja memberi amaran bahawa jika mogok ini diteruskan, pemberhentian pengeluaran boleh mengakibatkan kerugian mencecah lebih 1 trilion won (kira-kira $700 juta) pada setiap hari operasi.
Samsung setakat ini telah menolak permintaan untuk memansuhkan had bonus tersebut. Namun berjanji untuk menyediakan pampasan tambahan bagi memastikan pekerja di bahagian memori meraih pendapatan yang lebih tinggi daripada pesaing pada tahun ini.
Sekiranya rundingan menemui jalan buntu, gangguan pengeluaran cip ini bakal memberi impak besar. Ini kerana industri secara amnya sangat bergantung kepada bekalan ini untuk terus memacu perkembangan teknologi AI.
Pengurusan Samsung menyatakan pihaknya akan terus berusaha untuk mencapai kata sepakat secepat mungkin terutamanya melibatkan perbincangan soal gaji yang masih berjalan ini demi mengelakkan sebarang krisis bekalan.






