Utama Telco TM TM pindahkan IP Awam ke IP Peribadi untuk Pelanggan Unifi 100Mbps dan...

TM pindahkan IP Awam ke IP Peribadi untuk Pelanggan Unifi 100Mbps dan ke bawah

215
0

Pelanggan Unifi Broadband yang menggunakan IP awam akan berdepan dengan gangguan perkhidmatan tidak berapa lama lagi. Menurut TM, pihaknya akan melaksanakan migrasi sistem yang melibatkan IP awam IPv4 akan dipindahkan ke IP peribadi.

TM sedang melaksanakan Carrier-Grade NAT (CGNAT) untuk pelanggan-pelanggan Unifi 30Mbps, 50Mbps, dan 100Mbps. Antara perkhidmatan yang terkesan dari aktiviti ini termasuklah:

  • CCTV yang bukan berasaskan awanan
  • perkhidmatan pengehosan pelayan
  • permainan dalam talian (melibatkan kandungan yang dihoskan oleh pengguna berkenaan)
  • perkhidmatan perkongsian fail
  • FTP atau NAS yang menggunakan IP awam

Bagi kebanyakan pengguna biasa, penggunaan internet anda sepatutnya tidak terkesan dalam migrasi ke IP peribadi ini.

Menurut laman soalan lazim, pelaksanaan migrasi ini akan dijalankan secara berperingkat bermula dari pertengahan September 2021 sehingga Januari 2022 di antara jam 2 pagi hingga 4 pagi. Pengguna yang terkesan mungkin terputus sambungan dalam tempoh 2-5 minit.

TM memaklumkan pelaksanaan CGNAT ini adalah atas tujuan keselamatan bagi mencegah penceroboh dari mengesan IP awam yang ditetapkan pada seseorang pengguna. Pelaksanaan ini juga dilihat sebagai salah satu cara mengurangkan kebergantungan pada IPv4 yang kian menyusut bilangannya.

Sungguhpun memiliki IP awam memudahkan sesiapa sahaja bersambungan dengan peranti anda secara jarak jauh, ia sebenarnya turut mendedahkan anda kepada risiko keselamatan. Penjenayah siber mungkin menceroboh rangkaian dan peranti anda jika tidak dilindungi sebaiknya.

Migrasi IP ini hanya melibatkan pelanggan Unifi yang mempunyai dynamic IP. Jika anda pengguna Unifi untuk perusahaan yang memerlukan alamat IP tetap, TM mengenakan bayaran RM200/bulan untuk 1 IP tetap dan RM300/bulan untuk 5 IP tetap.

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.