Time secara rasminya telah mengumumkan penawaran langganan jalur lebar fiber 2Gbps untuk pengguna bermula esok 7 Oktober 2022.
Ini merupakan pelaksanaan pertama teknologi 10G PON secara komersil di Malaysia yang membolehkan kelajuan jalur lebar fiber yang lebih tinggi sehingga 10Gbps.
Pelan jalur lebar fiber 2Gbps ini berharga RM379 sebulan yang menawarkan kelajuan memuat turun 2Gbps dan memuat naik 500Mbps.
Time turut menyertakan penghala (router) Wi-Fi 6 Huawei HN8245X6 yang menyokong sambungan 2Gbps dan dua nod mesh Wi-Fi 6 Huawei HG8145X6 bagi menyediakan liputan nirwayar yang lebih luas di rumah anda. Perkhidmatan ini juga turut didatangkan dengan Time Voice Home Basic yang menyediakan panggilan suara berdasarkan bayaran setiap penggunaan.
Menurut Time, pelan 2Gbps ini boleh didapati bangunan-bangunan terpilih di tiga lokasi iaitu:
- Mont Kiara
- Segambut
- Desa Park City
Penyediaan akses capaian 2Gbps ini dilaksanakan secara berfasa dan akan merangkumi lebih banyak kawasan dalam beberapa bulan lagi.
Berbeza dengan pelan 2Gbps di Singapura yang menawarkan sambungan 2x 1Gbps, pelanggan jalur lebar fiber 2Gbps Times akan menikmati sambungan 2Gbps sebenar. Menurutnya lagi, pelanggan mampu melihat sekurang-kurangnya 90% dari kelajuan yang dilanggan apabila melakukan ujian kelajuan.
Bagaimanapun, pengguna perlu memastikan peranti yang digunakan mampu menyokong kelajuan 2Gbps untuk memanfaatkannya. Penghala Huawei HN8245X6 WiFi 6 2Gbps yang ditawarkan bersama dengan pelan ini mempunyai empat port LAN termasuk salah satunya menyokong 2.5Gbps.
Harga semasa Pelan Time 100Mbps, 500Mbps dan 1Gbps
Harga untuk langganan pelan-pelan berkelajuan lain masih lagi sama iaitu:
- RM99 sebulan untuk 100Mbps
- RM139 sebulan untuk 500Mbps
- RM199 sebulan untuk 1Gbps’
Jika anda mendaftar secara dalam talian, Time menawarkan kredit tambahan RM200 Touch ‘n Go jika anda mendaftar pelan 2Gbps ini di laman web rasmi Time bermula dari esok.
Selain memperkenalkan pelan baharu ini, Time juga memperkenalkan logo baharu jenamanya. Menurut garis panduan jenamanya, muka taip baharu ini menunjukkan identiti yang lebih mesra selain perincian di dalamnya merujuk pada muka jam.
Sebagai salah satu usaha ke arah kecemerlangan, Time kini menawarkan perkhidmatan pemasangan pada hari yang sama bagi kebanyakan pelanggan yang tinggal di kawasan liputan yang mendaftar langganan sebelum jam 10 pagi.
Pada November ini, Time akan melancarkan Pakej MyKabel yang mensasarkan premis dengan kadar penembusan jalur lebar berkelajuan tinggi dan stabil yang rendah. Pakej ini disasarkan untuk menyediakan internet gigabit kepada lebih ramai rakyat Malaysia.