Samsung telah mula memberikan bayangan mengenai telefon pintar boleh lipat (foldable) generasi baharunya, iaitu Galaxy Z Flip 8, Galaxy Z Fold 8, dan Galaxy Z Fold 8 Ultra.

Walaupun syarikat teknologi tersebut belum mengumumkan tarikh pelancaran secara rasmi, maklumat tersebut nampaknya telah didedahkan secara tidak sengaja melalui bahan promosi tempatan.

Promosi E-Baucar Dedah Tarikh

Tawaran Promosi Galaxy Z Flip 8, Z Fold 8, dan Z Fold 8 Ultra – Sumber Imej dari HiTechCentury

Berdasarkan butiran promosi yang dilaporkan oleh Hitech Century, satu e-baucar istimewa bernilai RM700 ditawarkan kepada pelanggan yang membuat prapendaftaran untuk membeli peranti boleh lipat tersebut.

Bahan promosi itu menetapkan e-baucar berkenaan hanya boleh ditebus sekali bermula 22 Julai 2026 hingga 4 Oktober 2026, dan tidak boleh digabungkan dengan baucar lain.

Ia memberi petunjuk Samsung merancang untuk memulakan jualan telefon siri baharunya di Malaysia pada 22 Julai 2026, bertepatan dengan tarikh baucar mula sah digunakan.

Acara Galaxy Unpacked 2026

Susulan pendedahan tarikh e-baucar tersebut, Samsung dijangka akan mengadakan acara global Galaxy Unpacked 2026 pada 22 Julai 2026 di London, United Kingdom.

Selain memperkenalkan siri telefon pintar boleh lipat baharu, turut dijangka dilancarkan peranti boleh pakai generasi baharu iaitu Galaxy Watch 9 dan Galaxy Watch Ultra 2.

Spesifikasi dan Teknologi Pemproses

Bagi model Galaxy Z Flip 8, peranti ini dijangka akan dikuasakan oleh pemproses cip Exynos 2600 di pasaran terpilih serta menampilkan bezel (bingkai skrin paparan) yang lebih nipis.

Model Galaxy Z Fold 8 pula dilaporkan akan mempunyai reka bentuk fizikal yang lebih lebar berbanding model terdahulu, iaitu Galaxy Z Fold 7.

Sementara itu, varian paling premium iaitu Galaxy Z Fold 8 Ultra dijangka akan dilengkapi dengan bateri berkapasiti 5,000mAh yang lebih besar berserta lensa kamera sudut ultra lebar (ultrawide) yang telah dinaik taraf.

Pemprosesan kedua-dua model Z Fold berkenaan pula dijangka mungkin akan menggunakan Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy.

Tinggalkan komentar