Tesla baru-baru ini mengumumkan keputusan strategik untuk menghentikan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) Model S dan Model X bermula pada suku tahun hadapan.

Pengumuman ini dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, semasa panggilan pendapatan syarikat bagi tahun fiskal 2025. Ia merupakan langkah untuk mengalihkan fokus syarikat ke arah automasi dan pembuatan robot.

Keputusan drastik ini didorong oleh visi jangka masa panjang syarikat untuk menceburi masa depan yang berteraskan autonomi.

Ruang pengeluaran yang kini digunakan untuk pemasangan kedua-dua model EV tersebut akan diambil alih untuk pembuatan robot humanoid syarikat, Optimus.

Tesla mensasarkan untuk menghasilkan satu juta unit robot Optimus menggunakan fasiliti sedia ada tersebut.

Tesla Model X (kiri) dan Model S.

Menurut Elon, “Sudah tiba masanya untuk menamatkan program Model S dan X dengan cara yang terhormat, kerana kita benar-benar sedang bergerak ke arah masa depan yang berasaskan autonomi.”

Walaupun pengeluaran akan dihentikan, Tesla menegaskan bahawa penjualan unit Model S dan Model X akan diteruskan selagi stok masih ada.

Sebaik sahaja inventori habis, kedua-dua model perintis ini tidak akan lagi ditawarkan di pasaran. Selain itu, Musk turut menyatakan perancangan untuk mula menjual robot Optimus seawal tahun hadapan. Setakat ini belum ada bukti visual keberkesanan robot tersebut di kilang-kilang dipertontonkan kepada orang ramai.

Langkah ini menandakan peralihan besar Tesla daripada sekadar pembuat kereta kepada entiti yang lebih memfokuskan robotik dan kecerdasan buatan

Tinggalkan komentar