Aplikasi permesejan popular, Telegram akan diharamkan di Brazil selepas menerima perintah dari Mahkamah Agung Brazil. Dilaporkan, aplikasi berkenaan didapati tidak mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dalam mengekang penyebaran berita palsu.
Kesan dari perintah mahkamah tersebut bakal menyebabkan Telegram akan dikeluarkan dari senarai Apple App Store, Google Play Store dan platform-platform digital lain di Brazil.
Keputusan ini pada Jumaat lalu mengarahkan supaya penyedia perkhidmatan dan platform digital di Brazil mengambil langkah sewajarnya dalam menghentikan perkhidmatan Telegram di negara berkenaan.
ANATEL, badan penguatkuasaan komunikasi Brazil kini memaklumkan kepada syarikat-syarikat terlibat supaya mematuhi keputusan Mahkamah Agung Brazil tersebut. Mana-mana pihak yang didapati melanggar perintah tersebut akan dikenakan denda sebanyak R$100,000 (~RM83,860) sehari. Arahan ini turut melibatkan syarikat seperti Google dan Apple kerana aplikasi Telegram boleh dimuat turun melalui platform gedung aplikasi masing-masing.
Sebab kenapa Telegram diharamkan di Brazil
Telegram sudah agak lama dibawah pengawasan di Brazil kerana aplikasi berkenaan digunakan oleh ahli-ahli politik di Brazil untuk berkongsikan berita palsu. Terdapat juga laporan sebilangan sindiket jenayah menggunakan fungsi kumpulan (group) dan saluran (channel) di dalam Telegram untuk menjalankan kegiatan jenayah.
Pihak Polis Persekutuan Brazil sebelum ini pernah meminta Telegram untuk menutup kumpulan dan saluran kegiatan jenayah tersebut serta meminta data pengguna-pengguna yang menyertainya.
Telegram bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklumbalas terhadap permintaa tersebut. Undang-undang Brazil ada menyatakan syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan dalam talian di dalam negara tersebut perlu mematuhi arahan mahkamah apabila diminta.
Sebelum ini Telegram telah beberapa kali dihubungi oleh pihak berkuasa Brazil berhubung jalinan kerjasama dalam perkara ini, namun tidak diendahkan.
Buat masa ini Telegram masih lagi beroperasi di Brazil. Aksesnya akan ditutup dalam masa terdekat ini melainkan pihak Telegram memutuskan untuk memberikan kerjasama dengan pihak Mahkamah.