Awal minggu ini, sebuah telefon Yes percuma dari Program Jaringan Prihatin telah terbakar ketika seorang murid berusia sembilan tahun sedang mengikuti sesi PdPR.
Berikut insiden tersebut, Xiaomi Malaysia telah menghubungi keluarga mangsa bagi menyerahkan sumbangan dalam bentuk sebuah telefon pintar yang lebih baik spesifikasinya, Redmi Note 10 5G.
Perkara ini telah dikongsikan oleh ibu saudara murid terbabit, Puan Suryani menerusi sebuah hantaran di dalam Facebook. Beliau turut menyatakan rasa terima kasih atas sumbangan tersebut.
Tambah beliau lagi, tujuan beliau berkongsikan insiden kebakaran telefon tersebut bertujuan bagi memberi ingatan kepada pengguna lain mengenai potensi bahaya menggunakan telefon model tersebut kepada anak-anak yang mengikuti sesi pembelajaran dalam talian.
Redmi Note 10 5G sememangnya peranti yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Yes Altitud 3. Pada harga RM 799, telefon ini menampilkan skrin FHD+ yang lebih besar 6.5-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz. Telefon berkeupayaan 5G ini menggunakan cipset MediaTek Dimensity 700.
Dalam pada masa yang sama, pihak YTL Communications menyatakan pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung insiden ini. Yes Altitud 3 merupakan telefon yang dibangunkan secara bersama dengan China Mobile dengan sejumlah 4.5 juta unit telah dijual di seluruh dunia.