Samsung telah menerbitkan beta Android 13 untuk sesetengah perantinya dalam sejak dari bulan lepas. Dalam pada masa yang sama, gergasi elektronik dari Korea Selatan ini dilaporkan sedang merancang untuk melancarkan kemaskini tersebut kepada semua penggunanya menjelang hujung tahun ini pada beberapa peranti terpilih.
Setakat ini Samsung telah menerbitkan beta Android 13 untuk siri Galaxy S22 dan Galaxy S21. Untuk Galaxy S22, ia kini telah pun diperingkat ketiga beta binaan sistem operasi tersebut.
Persoalannya, bilakah versi stabil Android 13 akan hadir ke peranti-peranti Samsung?
Seperti yang dijangkakan, Samsung pastinya akan menerbitkan kemaskini stabil pertama menjelang penghujung tahun ini. Berdasarkan apa yang pernah dilakukan pada tahun lepas, diramalkan kita akan melihat terbitan Android 13 untuk Galaxy S22, Galaxy S22+, dan Galaxy S22 Ultra sekitar Oktober ini.
Menurut laporan dari SamMobile, terbitan Android 13 dari Samsung dijangka akan hadir ke 11 peranti sebelum hujung tahun 2022.
Model apa yang terima kemaskini tersebut?
Telefon pintar mercu dan boleh lipat pastinya akan menerimanya terlebih dahulu. Tapi, dalam pada masa yang sama Samsung juga dilihat merancang untuk membawakan Android 13 ke Galaxy A53 5G juga menjelang akhir tahun ini. Ini adalah sesuatu yang baru untuk siri Galaxy A memandangkan Galaxy A52 dulu pun hanya menerima kemaskini Android 12 pada Januari tahun ini.
Senarai telefon pintar Samsung yang dijangka menerima Android 13 menjelang akhir 2022
- Samsung Galaxy S22
- Samsung Galaxy S22+
- Samsung Galaxy S22 Ultra
- Samsung Galaxy S21
- Samsung Galaxy S21+
- Samsung Galaxy S21 Ultra
- Samsung Galaxy Z Fold 4
- Samsung Galaxy Z Flip 4
- Samsung Galaxy Z Fold 3
- Samsung Galaxy Z Flip 3
- Samsung Galaxy A53
Samsung bagaimanapun tidak membuat kenyataan rasmi berhubung perkara ini dan dijangkakan Android 13 akan hadir ke telefon pintar Samsung seawal Oktober nanti.