Teksi pandu sendiri yang dikendalikan melalui perkhidmatan Baidu Apollo Go telah terjatuh ke dalam lubang tapak pembinaan di Chongqing, China ketika sedang membawa seorang penumpang wanita. Insiden yang berlaku pada 8 Ogos baru-baru ini dilaporkan oleh akhbar Southern Metropolis Daily dan Huashang Newspaper.
Penumpang berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah diselamatkan oleh orang ramai dengan menggunakan tangga kayu untuk mengeluarkan dari lubang tersebut.
Foto yang tersebar di media sosial China menunjukkan kenderaan berwarna putih dengan logo Baidu Apollo terperosok ke dalam dasar lubang tapak pembinaan. Pemilik kedai berhampiran memberitahu Huashang Newspaper, tapak tersebut telah meletakkan penghadang dan papan tanda amaran. Namun, tidak dapat dipastikan bagaimana kenderaan tersebut melepasinya.
Ini bukanlah kejadian berkaitan keselamatan yang pertama dikaitkan dengan Apollo Go. Awal tahun ini, Business Insider melaporkan salah sebuah teksi pandu sendiri berkenaan hampir kemalangan ketika sedang menawarkan perkhidmatan. Kejadian tersebut segera diselamatkan apabila kakitangan perkhidmatan tersebut mengendali secara manual dari jarak jauh dengan menghentikan kawalan automatik.
Satu lagi insiden pada bulan Julai lalu melibatkan pejalan kaki dilanggar oleh teksi pandu sendiri Apollo Go dan kejadian baharu ini telah mencetuskan perdebatan berkenaan tahap keselamatan operasi teksi pandu sendiri ini.
Baidu mengendalikan salah sebuah armada kenderaan pandu sendiri terbesar di China dengan menawarkan perkhidmatan teksi pandu sendiri komersil di beberapa bandar seperti Wuhan, Beijing, dan Chongqing. Syarikat berkenaan juga sedang dalam usaha memperluaskan perkhidmatannya ke pasaran antarabangsa. Antaranya dengan menjalinkan usahasama dengan platform e-hailing Amerika Syarikat, Uber dan Lyft. Turut dilaporkan, Baidu sedang mempertimbangkan Malaysia dan Singapura untuk memperluaskan pasaran Apollo Go di masa hadapan.