KUALA LUMPUR, 28 Mei 2024 – Berikutan pengumuman terkini oleh YAB Perdana Menteri mengenai rasionalisasi subsidi diesel dan kesannya terhadap sektor pembangunan hartanah, TH Properties Sdn. Bhd. (TH Prop), anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji ingin menjelaskan pendiriannya dan meyakinkan pihak berkepentingan mengenai kebingkasan syarikat dalam perkembangan ini.
Mendepani cabaran akibat peningkatan kos bahan binaan dan rasionalisasi subsidi bahan api, TH Properties menyatakan kenyakinan untuk terus mempertahankan margin keuntungannya kerana TH Properties dan kontraktor yang dilantik memperoleh diesel tidak bersubsidi pada kadar komersial untuk operasinya, yang tidak dipengaruhi oleh subsidi kerajaan. Pendekatan ini mengurangkan kebergantungan kepada bahan api bersubsidi dan melindungi syarikat daripada perubahan harganya.
TH Properties Sdn. Bhd. memuji langkah proaktif kerajaan untuk mengoptimumkan pengagihan subsidi dan mempromosikan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Sebagai sebahagian daripada Lembaga Tabung Haji, pihak syarikat komited untuk menyokong inisiatif yang meningkatkan pembangunan negara dan yakin bahawa mekanisme rasionalisasi tidak akan menjejaskan operasi syarikat sebagai pemaju hartanah.
Syarikat ini juga terus berdedikasi dalam menyokong dasar kerajaan yang menggalakkan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi, membulatkan tekad terhadap matlamat pembangunan negara.












