Allo, penyedia perkhidmatan internet yang dimiliki Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melancarkan tawaran masa terhad untuk perkhidmatan rangkaian fiber rumah. Tawaran untuk dua jenis pelan ini dibuka sehingga Mac 2025.
Promosi Gelombang Ungu menawarkawan pelan 100Mbps pada harga RM49 sebulan, lebih rendah berbanding harga asalnya iaitu RM69 sebulan. Turut ditawarkan pelan 1Gbps pada harga hanya RM139/bulan, jimat RM60 sebulan pada harga biasa. Bagaimanapun, pelan promosi ini didatangkan bersama-sama kontrak untuk tempoh 24 bulan, lebih panjang berbanding kontrak biasa yang ditawarkan untuk 12 bulan.
Kelajuan muat turun dan memuat naik untuk kesemua pelan-pelan yang ditawarkan oleh Allo ini adalah sama, kecuali untuk pelan 1Gbps. Lain-lain pelan Allo merangkumi pakej 300Mbps yang berharga RM99/bulan dan 500Mbps untuk RM139/bulan.
Kesemua pelan ini juga didatangkan dengan sebuah penghala (router) Wi-Fi 6 percuma dan untuk pelan 1Gbps pula, dua buah unit disediakan untuk pelanggannya. Penghala tambahan ini boleh dibeli pada harga RM249 setiap satu, khusus buat anda yang ingin memasang rangkaian mesh di rumah.