Syarikat induk TikTok ByteDance dilaporkan telah menamatkan perkhidmatan sejumlah pekerja-pekerjanya di Malaysia dengan ada yang mengatakan melibatkan lebih dari 700 orang terjejas.
[KEMASKINI 12 Oktober 2024, jam 5.34 petang] TikTok Malaysia memaklumkan seramai 481 orang pekerjanya telah diberhentikan.
Menurut The Malaysian Reserve, sumber rapat dengan cawangan di Malaysia mendedahkan pemberhentian tersebut dimaklumkan menerusi email yang dihantar oleh pihak syarikat. Kebanyakan yang terjejas dikatakan menjalankan tugas-tugas mengawal selia kandungan meliputi Asia Tenggara dan beberapa rantau lain.
TikTok sebagaimana platform media sosial lain menggunakan gabungan kecerdasan buatan (AI) dan manusia pengawal selia (moderator) bagi memastikan kandungan yang dimuat naik mematuhi polisi dan peraturan yang ditetapkannya.
Lebih kebergantungan terhadap teknologi
Manusia pengawal selia (human supervisor) memainkan peranan penting dalam aspek kawal selia sistem AI melalui satu proses yang dikenali sebagai “pembelajaran dikawal selia (supervised learning)”. Ia membolehkan AI belajar meningkatkan ketepatannya berdasarkan maklumbalas yang diterima dari manusia. Walaubagaimanapun, pemberhentian pekerja-pekerja manusia tersebut dilihat membawa ke arah lebih kebergantungan terhadap teknologi.
Ya betul. Parent company TikTok adalah Byt**dance. Now in Malaysia dia nak Ai dan BPO je yg control or moderate video. One of the company BPO ni company I kerja skrng. Mostly, yg kena layoff ni diaorg di beri option sama ada pampasan atau offer project lain.
— Miera Zulhari 🇲🇾🇵🇸 (@ItsMiera) October 10, 2024
Terdapat sumber tidak rasmi di media sosial yang mendakwa langkah yang diambil oleh ByteDance ini merupakan sebahagian daripada transisi ke arah automasi. Kawal selia kandungan berasaskan AI didakwa sebagai lebih cekap dan lebih kos efektif untuk jangka panjang.
Content moderation at ByteDance just got axed by automation. Major layoff tu. Ramai
Selama ni, secara langsung atau tak langsung staff tu semua buat data set annotation sambil sambil flag video TikTok.
Bila dah cukup written SOP, labeling apa semua. AI pun masuk. Jimat overhead
— Nurfaiz Foat 🐟 (@nurfaizfoat) October 10, 2024
Dakwaan tersebut bagaimanapun tidak dapat disahkan memandangkan TikTok Malaysia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut. Pun begitu, kebimbangan kebanyakan pengguna mengenai AI akan mengambil alih pekerjaan manusia wajar diketengahkan.
Ini bukanlah kali pertama ByteDance mengurangkan jumlah tenaga kerjanya di Asia Tenggara. Jun lalu, Bloooberg melaporkan syarikat berkenaan telah memberhentikan seramai 450 orang pekerjanya di Indonesia selepas mengambil alih firma e-dagang tempatan dan menggabungkannya dengan operasi TikTok di sana. Syarikat induk TikTok ini juga dilaporkan sedang menyusun semula tenaga kerjanya di seluruh dunia melibatkan pemberhentian sejumlah pekerja di pelbagai bahagian.
Menurut laporan CNN pada Mei lalu, penstrukturan semula TikTok di seluruh dunia dijangka akan melibatkan pemberhentian pekerja-pekerja di bahagian sokongan pengguna, pengurusan kandungan dan pemasaran. Pekerja-pekerja yang tidak diberhentikan pula akan ditempatkan ke bahagian-bahagian lain seperti keterjaminan dan keselamatan, pemasaran dan pembangunan produk.