Utama Komputer SSD NVMe PCIe 5.0 berkelajuan 16GBps disasar akan dilancarkan pada 2022

SSD NVMe PCIe 5.0 berkelajuan 16GBps disasar akan dilancarkan pada 2022

455
0

Rasa bagaikan seperti semalam SSD PCIe 4.0 yang berkelajuan baca dan tulus 5,000+ MB/s dilancarkan sungguhpun ia sebenarnya telah diperkenalkan dua tahun lalu.

Pada ketika itu PCIe 4.0 pertama kali diperkenalkan ke platform PC pengguna melalui AMD Zen 2 dengan cipset X570 dan sejak itu SSD telah mencapai peningkatan kelajuan dari tahun ke tahun. Hari ini, kelajuan SSD PCIe 4.0 telah mencapai kelajuan bacaan berjujukan 7GB/s.

Menjelang kemunculan platform Intel Alder Lake, tumpuan kini beralih pada antaramuka generasi berikutnya PCIe 5.0 dan manfaat kelajuan yang ditawarkannya kelak. TrendForce memberi petunjuk SSD PCIe 5.0 pertama akan muncul pada 2022 dan mampu memberi lonjakan besar pada prestasi storan.

Intel dan AMD dijangka memulakan pengeluaran besar-besaran Eagle Stream dan CPU-CPU Genoa pada pertengahan tahun 2022. Berdasarkan analisis dari TrendForce mendapati pembekal NAND Flash mempercepatkan pengeluaran SSD PCIe G5 sebagai respon kepada pengeluaran Eagle Stream. Pemacu-pemacu SSD ini dijangka memasuki ke pasaran sekitar suku kedua 2022 dan suku ketiga 2022.

Perlu diambil maklum bahawa antara muka PCIe 4.0 x4 mempunyai lebar jalur maksimum secara teorinya pada 8GB/s. SSD seperti Patriot Viper VP4300 telah pun menghampiri had antaramuka x4 dengan kelajuan membaca berjujukan maksimum 7.4GB/s. Antaramuka PCIe 5.0 x4 disasarkan akan menggandakan kelajuan maksimum secara teorinya dari 8GB/s kepada 16GB/s.

Antara syarikat-syarikat yang merintis alat pengawal SSD PCIe 5.0 termasuklah Marvell. Lewat Mei lalu, Marvell mengumumkan alat pengawal SSD Bravera SC5, yang menyokong PCIe 5.0 dan NVMe 1.4b.

Alat pengawal ini dijangka boleh didapati dalam kedua-dua versi 8 dan 16 saluran dengan kelajuan membaca dan menulis berjujukan maksimum masing-masing 14GB/s dan 9GB/s. Turut dijangkakan syarikat-syarikat seperti Samsung, Silicon Motion, dan Phison sedang mengusahakan alat pengawal PCIe 5.0 masing-masing.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.