Menjelang pelancarannya ke pasaran Malaysia Ogos ini, Sony kini telah mula menerima pra-tempahan bagi Xperia 10 IV. Ketika diumumkan pada Mei lalu, Sony mendakwa model ini merupakan telefon pintar 5G paling ringan di pasaran kerana hanya seberat 161 gram dan berketebalan 8.3mm.
Sony Xperia 10 IV secara asasnya merupakan telefon pintar peringkat menengah melalui penggunaan cipset Qualcomm Snapdragon 695. Ia turut dilengkapkan dengan paparan OLED Full HD+ dengan nisbah aspek 21:9. Juga diperkenalkan teknologi Sony Triluminous sebelum sinonim dengan TV keluaran jenama Sony. Pun begitu, kadar penyegaran semula paparannya hanya sekadar 60Hz.
Pada bahagian fotografinya, Xperia 10 IV menampilkan sebuah tetapan tri-kamera yang menyertakan kamera utama 12MP f/1.8 Exmor R bersama-sama kamera ultra-lebar 8MP dan kamera telefoto 8MP yang juga menawarkan keupayaan zum hibrid sehingga 10x. Turut disediakan kamera hadapan 8MP yang juga boleh berperanan sebagai kamera swafoto.
Sungguhpun bicu audio 3.5mm kian jarang didapati pada telefon pintar keluaran kebelakangan ini, Xperia 10 IV masih lagi menawarkannya dengan turut melengkapkannya dengan keupayaan output Audio Hi-Res. Ciri Audio Hi-Res pada telefon pintar ini juga boleh digunakan pada fon kepala nirwayar melalui sokongan LDAC.
Telefon dengan penarafan kerintangan IP65/68 ini juga menampilkan bateri berkapasiti 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas USB PD. Walaupun Sony mencadangkan penggunaan Pengecas Pantas 30W XQZ-UC1 untuk digunakan pada telefon ini, ia tidak didatangkan bersekali dengan pembeliannya dan perlu dibeli secara berasingan.
Harga yang ditawarkan bagi Sony Xperia 10 IV bagi pasaran Malaysia adalah pada RM2,099 dan ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Hijau Pudina (Mint) dan Hitam (Black). Anda yang membuat pra-tempahan sehingga 31 Julai ini, anda bakal menerima fon telinga nirwayar sebenar WF-C500 secara percuma.