Sony Xperia 1 III dan Xperia 5 III telah diumumkan pada April lalu, dengan kedua-duanya merupakan kesinambungan dari Xperia 1 II dan Xperia 5 II. Kini, kedua-dua telefon pintar baharu Sony ini telah muncul di laman web rasmi Sony Malaysia.
Berdasarkan harga yang tertera, Xperia 1 III akan dijual pada harga RM 5,799, lebih tinggi jika dibandingkan dengan model yang terdahulu. Xperia 1 III menawarkan paparan OLED 4K HDR 6.5-inci 21:9 dengan kadar penyegaran semula 120Hz.
Di dalamnya, telefon ini menggunakan cipset Snapdragon 888, RAM 12GB, dan storan dalaman 256GB. Ia juga mempunyai bateri berkapasiti 4,500mAh yang menyokong pengecasan pantas 30W melalui kabel USB-C. Pengecasan Xperia 1 III turut menyokong pengecasan nirwayar Qi.
Untuk kameranya pula, telefon pintar Sony ini mempunyai konfigurasi kuad-kamera. Ia terdiri daripada satu sensor utama 12MP, sensor ultra-luas 12MP, sensor telefoto 12MP dengan Dwi-Pixel PDAF, OIS, dan sebuah lensa berkedalaman TOF 0.3MP. Di hadapannya pula disediakan sensor 8MP.
Manakala Xperia 5 III pula, telefon ini dijual dengan harga pasaran di Malaysia RM 4,599. Spesifikasinya adalah lebih kurang sama dengan Xperia 1 III, cuma dibezakan pada paparan yang sedikit kecil 6.1-inci 21:9, RAM 8GB dan tiada pengecasan nirwayar Qi.
Buat masa ini Sony Malaysia masih belum mengumumkan tarikh kemasukan Xperia 1 III dan Xperia 5 III ke pasaran tempatan. Untuk Xperia 1 III, telefon ini dijangka akan dilancarkan ke Malaysia dalam masa yang terdekat ini. Manakala untuk Xperia 5 III pula dijangkakan akan hadir sekitar September ini.
Kunjungi laman web rasmi Sony Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai Xperia 1 III dan Xperia 5 III.