Infinix secara rasminya telah melancarkan Infinix Note 60 Pro untuk pasaran Malaysia pada 27 Februari. Peranti kelas pertengahan ditawarkan pada harga yang cukup kompetitif bermula daripada RM1,199.

Sebelum ini Infinix memberi bayangan akan melancarkan bersama model-model lain siri Note 60. Bagaimanapun hanya model Pro sahaja yang diumumkan secara rasmi semalam.

Telefon pintar yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 7s Gen 4 ini hadir dengan keunikan paparan Active Matrix pada bahagian bonggol kamera belakangnya. Paparan inovatif ini berfungsi untuk menghidupkan animasi seni piksel (pixel art). Ia juga boleh bertindak sebagai panel penyampai notifikasi yang interaktif kepada pengguna.

Selain itu, Infinix Note 60 Pro turut dilengkapkan dengan butang fizikal tambahan pada bahagian sisi kanan. Lebih tepat, di bawah butang kuasa dan pelaras suara. Rekaannya menyerupai fungsi butang Kawalan Kamera (Camera Control) pada iPhone.

Menurut kenyataan rasmi syarikat Infinix, peranti ini disokong oleh jaminan kemas kini perisian jangka panjang yang mampan; di mana pengguna dijanjikan tiga tahun kemas kini sistem operasi (OS) utama dan lima tahun sokongan tampalan keselamatan perisian (security patches).

Spesifikasi ringkas Infinix Note 60 Pro:

Ciri-ciri Spesifikasi
Skrin Paparan Panel AMOLED 1.5K bersaiz 6.78 inci, menyokong kadar penyegaran semula 144Hz
Cip Pemprosesan Qualcomm Snapdragon 7s Gen 4
Memori (RAM) Pilihan 8GB atau 12GB
Storan Dalaman 256GB (UFS 2.2)
Kamera Belakang Dwi-kamera: Lensa utama 50MP + Lensa sudut lebar (wide-angle) 8MP
Kamera Hadapan Lensa swafoto 13MP
Kapasiti Bateri 6,500 mAh
Pengecasan Pengecasan berwayar pantas 90W dan pengecasan nirwayar 30W
Sistem Operasi Android 16 dengan antaramuka XOS 16
Ciri Tambahan – Paparan Active Matrix di bonggol kamera (animasi seni piksel & notifikasi)
– Butang sisi kawalan kamera
– Penalaan audio JBL
– Penarafan IP64 (rintangan debu & percikan air)
– Sokongan kemas kini OS utama selama 3 tahun dan tampalan keselamatan selama 5 tahun

Infinix Note 60 Pro kini sudah mula dijual secara rasmi di pasaran Malaysia. Terdapat dua pilihan konfigurasi memori, ditawarkan iaitu varian RAM 8GB dan storan 256GB pada harga RM1,199. Manakala varian spesifikasi tertinggi RAM 12GB dan storan 256GB pula dijual pada harga RM1,399.

Setiap pembelian juga ditawarkan bersama promosi hadiah percuma berupa jam tangan pintar XWatch H5 Pro bernilai RM199, selagi stok masih ada.

Tinggalkan komentar