Utama Komputer Sistem di Hospital Sungai Buloh terganggu akibat masalah Pelayan

Sistem di Hospital Sungai Buloh terganggu akibat masalah Pelayan

1631
0

Teknologi boleh digunakan untuk mempercepatkan proses kerja dan perkhidmatan kesihatan merupakan diantara yang dapat memanfaatkan penggunaan teknologi. Namun, adakalanya ia tidak mampu mencapai apa yang telah dihasratkan jika timbul sebarang masalah padanya.

Akhbar The Star melaporkan pelayan (server) utama Hospital Sungai Buloh telah mengalami masalah sejak dari hari Jumaat lepas. Sejak dari itu, pihak hospital telah menggunakan pelayan sandaran (backup server) sebagai langkah pembaikan sementara. Pegawai-pegawai kesihatan hospital terpaksa menjejak dan mengemaskini maklumat pesakit secara manual dan ini telah mengakibatkan proses kerja menjadi terganggu.

Selain itu, pelayan yang digunakan di Hospital Sungai Buloh dilaporkan kerap kali mengalami masalah tergendala menurut akhbar The Star. Cuma untuk kali ini masalah ini dilihat sudah berlarutan untuk tempoh yang agak panjang.

Terdapat kemungkinan masalah ini disebabkan ruangan storan yang terhad atau penggunaan sistem operasi versi lama. Selain dari masalah perisian, masalah penyelenggaraan perkakasan juga boleh menjadi punca kepada masalah pelayan tergendala. Lebih teruk lagi jika kedua-duanya juga bermasalah dan langkah menaik taraf adalah sesuatu yang perlu dilakukan pada kadar segera.

Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr. Kuldip Kaur memaklumkan bahawa sistem yang digunakan iaitu Total Hospital Information System pada ketika ini sedang mengalami masalah teknikal. Maklumat lanjut mengenai punca masalah berkenaan bagaimanapun masih lagi belum dimaklumkan.

Sebelum ini di KLIA dan KLIA2 pernah dilaporkan mengalami masalah gangguan rangkaian hingga menyebabkan sistem perkhidmatannya tergendala. Berdasarkan laporan media, masalah tersebut berpunca dari kerosakan pada suis rangkaian yang digunakan. Masalah tersebut selesai setelah suis rangkaian yang uzur berkenaan telah digantikan dengan yang baru kerana suis rangkaian berkenaan tidak pernah digantikan sejak KLIA mula beroperasi sejak tahun 1998.

Sumber berita diperoleh dari The Star dan The Malaysian Reserve

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.