Sejak POCO melancarkan telefon pintar Pocophone F1 pada Ogos 2018 untuk pasaran Malaysia, sebahagian pengguna ternanti-nantikan kemunculan versi terbarunya.
Tahun lalu, tiada sebarang khabar berita mengenai model telefon pintar berspesifikasi mercu pada harga mampu milik ini. Kini, POCO telah mendedahkan bakal memperkenalkan model terbaru keluarannya pada Februari tahun ini.
Perkara ini telah diumumkan oleh Pengurus Besar POCO India, Encik Manmohan Chandolu dalam satu temubual bersama akhbar India, Press Trust. Minggu lalu, Pengarah Urusan Xiaomi India merangkap Naib Presiden Xiaomi Global, Encik Manu Kumar telah mengumumkan POCO dibentuk sebagai jenamanya sendiri.
Encik Manmohan bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai telefon pintar terbaru ini. Berdasarkan iklan ejek terbaru yang diterbitkan, besar kemungkinan ianya bakal dikenali sebagai Poco X2. Terdapat juga kemungkinan Poco X2 ini merupakan Redmi K30 4G yang dijenamakan semula.
Perkembangan setakat ini dilihat POCO lebih menumpukan pada pasaran di India pada tahun 2020 dan tidak dapat dipastikan bila ianya akan diumumkan untuk pasaran global.
Sumber berita diperoleh dari Outlook India