Siri Redmi K kini boleh dianggap sebagai telefon pintar berspesifikasi tinggi pada harga yang amat berbaloi. Baru-baru ini Redmi telah mengumumkan siri terbarunya K40 dengan tiga buah model diperkenalkan, Redmi K40, K40 Pro, dan K40 Pro Plus.
Ketiga-tiga model telefon baharu ini menampilkan paparan skrin OLED 6.67-inci 120Hz FHD+ (HDR10+). Salah satu daripadanya, Redmi K40 Pro telah menerima penarafan A+ daripada firma pengujian DisplayMate.
Kesemuanya turut dilengkapkan dengan bateri berkapasiti 4,520mAh dengan kuasa mengecas berwayar 33W, dan mampu dicaskan sepenuhnya dalam tempoh 52 minit. Tidak ketinggalan, siri ini menawarkan kamera swafoto 20MP untuk ketiga-tiga model. Serta tiga mikrofon dengan keupayaan zum audio, dwi pembesar suara stereo, NFC, pemancar infra-merah, dan ketahanan percikan IP53. Malahan, ketiga-tiganya juga berkongsikan pilihan warna yang sama iaitu hitam, putih dan Fantasy.
Jika semuanya sama sahaja, apa yang bezanya? Untuk lebih mudah membuat perbandingan, mari kita teliti jadual berikut:
| Spesifikasi | Redmi K40 | Redmi K40 Pro | Redmi K40 Pro Plus |
|---|---|---|---|
| Paparan | Skrin OLED 6.67-inci FHD+ Kadar penyegaran semula 120Hz |
Skrin OLED 6.67-inci FHD+ Kadar penyegaran semula 120Hz |
Skrin OLED 6.67-inci FHD+ Kadar penyegaran semula 120Hz |
| Cipset | Qualcomm Snapdragon 870 Adreno 650 GPU |
Qualcomm Snapdragon 888 Adreno 660 GPU |
Qualcomm Snapdragon 888 Adreno 660 GPU |
| RAM | 6/8/12GB LPDDR5 |
6/8GB LPDDR5 |
12GB LPDDR5 |
| Storan | 128/256GB UFS 3.1 |
128/256GB UFS 3.1 |
256GB UFS 3.1 |
| Kamera | Belakang: Kamera utama 48MP Ultra lebar 8MP Telefoto makro 5MP Depan: 20MP |
Belakang: Kamera utama 64MP Ultra lebar 8MP Telefoto makro 5MP Depan: 20MP |
Belakang: Kamera utama 108MP Ultra lebar 8MP Telefoto makro 5MP Depan: 20MP |
| Batteri | 4,520mAh Pengecasan pantas 33W |
4,520mAh Pengecasan pantas 33W |
4,520mAh Pengecasan pantas 33W |
| Ketersambungan | Pemancar IR NFC Wi-Fi 6 |
Pemancar IR NFC Wi-Fi 6E |
Pemancar IR NFC Wi-Fi 6E |
| Warna | Hitam Fantasy Putih |
Hitam Fantasy Putih |
Hitam Fantasy Putih |
Redmi K40 Pro dan Pro Plus
Kelebihan pada Redmi K40 Pro dan Pro Plus adalah penggunaan cipset Qualcomm Snapdragon 888. Bagi anda yang inginkan prestasi yang lebih padu, model berkenaan mungkin lebih sesuai buat anda. Kedua-dua telefon ini juga menyokong sambungan Wi-Fi 6E.
Spesifikasi tertinggi di dalam siri ini, K40 Pro Plus turut menyediakan kamera 108MP sebagai kamera utamanya yang ditempatkan di belakang. Kamera 108MP berkenaan, Isocell Bright HM2 menyokong fungsi nona-binning. Unutk K40 Pro pula, kamera utamanya adalah 64MP (IMX686) yang digandingkan dengan dua lagi kamera di bahagian belakangnya.
Ada apa dengan adik bongsu Redmi K40?
Redmi K40 adalah berbeza dengan dua lagi model di dalam siri ini kerana menggunakan cipset yang agak kurang berkuasa iaitu Qualcomm Snapdragon 870. Sungguhpun ia bukanlah cipset paling terkini, ianya mampu menyokong hampir segala permua serta boleh memberikan pengalaman penggunaan yang lancar.
Kamera model ini juga berbeza kerana menawarkan kamera 48MP (IMX582) sebagai kamera utamanya yang ditempatkan pada bahagian belakangnya. Dua lagi kamera di dalam tetapan kamera belakangnya adalah sama dengan model-model lain di dalam siri ini.
Harga siri Redmi K40
Siri telefon pintar ini telah mula dijual di pasaran China. Bagi Redmi K40, ianya dijual pada harga RMB2,000 (~RM1,252) untuk pilihan 6/128GB, RMB2,200 (~RM1,377) untuk pilihan 8/128GB, dan RMB2,500 (~RM1,565) untuk pilihan 8/256GB.
Manakala K40 Pro pula, harganya adalah RMB2,800 (~RM1,753) untuk 6/128GB, RMB3,000 (~RM1,878) untuk 8/128GB dan RMB3,300 (~RM2,066) untuk 8/256GB.
Seterusnya K40 Pro Plus, ianya ditawarkan dengan satu pilihan sahaja iaitu 12/256GB, yang dijual pada harga RMB3,700 (~RM2,316).













