Utama Android Xiaomi Xiaomi Mi 11 di pasaran Malaysia Mac ini; Harga dari RM2,799

Xiaomi Mi 11 di pasaran Malaysia Mac ini; Harga dari RM2,799

349
0

Xiaomi hari ini secara rasminya telah melancarkan telefon pintar mercunya Mi 11 di Malaysia. Pelancaran ini turut menandakan kemasukan secara rasmi Qualcomm Snapdragon 888 di pasaran tempatan memandangkan Mi 11 adalah telefon pintar pertama yang menggunakannya.

Mi 11 menyediakan paparan AMOLED WQHD+ 6.81-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan kadar pensampelan sesentuh 480Hz. Selain sokongan HDR 10+, tahap kecerahan paparan Mi 11 boleh mencapai setinggi 1500nits berserta kedalaman warna 10-bit dan liputan warna gamut DCI-P3.

Untuk kameranya, Mi 11 mengetengahkan kamera utamanya 108MP yang ditempatkan dibelakangnya bergandingan dengan kamera 13MP ultra-lebar, dan kamera telemakro 5MP. Pada hadapannya pula disediakan sebuah kamera swafoto 20MP.

Bagi meningkatkan kualiti audionya, telefon yang turut menyertakan sokongan Hi-Res Audio ini juga turut menerima penalaan khusus dari Harman Kardon untuk dwi-pembesar suaranya. Telefon yang dipra-pasang dengan Android 10 ini turut dilengkapkan dengan bateri berkapasti 4,600mAh.

Tidak ketinggalan, model Mi 11 di pasaran Malaysia turut didatangkan bersama-sama pengecas 55W GaN bagi setiap pembelian. Telefon berkeupayaan 5G dan Wi-Fi 6 ini menawarkan RAM 8GB sebagai standard. Bagi anda yang berminat boleh mendapatkannya menerusi kedai dalam talian rasmi Xiaomi di Lazada atau wakil jualan yang sah di seluruh negara bermula 13 Mac ini.

Bagaimanapun, hanya variasi 256GB sahaja yang akan dibuka pra-tempahannya bermula dari 25 Februari hingga 10 Mac ini. 1,500 pembeli pra-tempahan pertama berpeluang memenangi Mi Ai Purifier 3C secara percuma jika membuat pembelian melalui Lazada atau laman khusus pratempahan Mi 11. Xiaomi Mi 11 variasi 256GB dijual pada harga RM2,999.

Bagi Mi 11 dengan storan 128GB yang berharga RM2,799 pula akan mula dijual dalam masa yang terdekat ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.