Selepas memperkenalkan siri Note 60 di pasaran antarabangsa, Infinix mengesahkan akan membawa siri telefon pintar baharu tersebut ke pasaran Malaysia.
Pelancaran rasmi untuk siri peranti ini dijadualkan berlangsung kira-kira seminggu dari sekarang, iaitu pada 27 Februari 2026.
Tumpuan pelancaran lebih menjurus kepada model Note 60 Pro yang diangkat sebagai peranti peneraju bagi barisan siri ini. Spesifikasi peranti untuk pasaran tempatan dilaporkan akan kekal sama tanpa banyak perubahan berbanding versi pasaran global.
Antara ciri paling unik yang ditawarkan pada siri ini ialah Active Matrix Display. Ia merupakan antara muka paparan LED interaktif yang tersembunyi.
Fungsinya untuk memaparkan notifikasi, haiwan peliharaan piksel animasi (pixel pets), serta permainan mini. Selain itu, perbezaan utama siri ini juga terletak pemprosesan yang digunakannya. Model Pro merupakan satu-satunya varian yang menggunakan cipset siri Snapdragon.
View this post on Instagram
Maklumat lanjut mengenai Note 60 Ultra, model paling tinggi yang direka oleh firma reka bentuk Pininfarina buat masa ini masih terhad. Di platform media sosial Infinix, varian Note 60 Ultra sekadar disahkan “akan tiba tidak lama lagi”.
Tidak dapat dipastikan sama ada model tersebut akan diperkenalkan bersama-sama pelancaran pada Jumaat minggu ini.
Sementara menantikan pelancaran rasminya di pasaran Malaysia pada minggu ini, beberapa maklumat yang tertiris telah dihimpunkan kami ke dalam jadual seperti berikut:
| Ciri Spesifikasi | Infinix Note 60 Pro | Infinix Note 60 |
|---|---|---|
| Cip Pemprosesan (SoC) | Snapdragon 7s Gen 4 | MediaTek Dimensity 7400 Ultimate |
| Kapasiti Bateri | 6,500mAh | 6,500mAh |
| Pengecasan Berwayar | Sokongan 90W | Sokongan 45W |
| Pengecasan Tanpa Wayar | Sokongan 30W | Tiada sokongan |
| Paparan Utama | AMOLED 1.5K 6.78 inci, 144Hz, kecerahan 4,500 nits | Berkongsi spesifikasi asas yang sama dengan Pro |
| Perlindungan Skrin | Kaca Corning Gorilla Glass 7i | Tidak dinyatakan secara khusus |
| Kamera Belakang | 50MP dengan Penstabilan Imej Optikal (OIS) & lensa ultra-lebar 8MP | Lensa tunggal 50MP |
| Paparan Antara Muka Belakang | Dilengkapkan dengan Active Matrix Display (LED interaktif) | Tidak dilengkapkan dengan Active Matrix Display |
Spesifikasi pernuhnya ini masih lagi belum lengkap dan benar-benar sahih. Kita perlu menunggu sehingga pengumuman rasmi dari pihak Infinix yang dijadualkan akan dibuat pada petang 27 Februari 2026.











