Samsung Malaysia secara rasmi mengesahkan perancangan untuk melancarkan pengalaman kamera baharu yang dikuasakan oleh sistem Galaxy AI untuk telefon pintar siri Galaxy pada 26 Februari 2026.

Ciri baharu ini berkemungkinan akan membuat penampilan sulungnya bersama pelancaran siri peranti mercu Galaxy S26 yang bakal tiba tidak lama lagi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Samsung Malaysia (@samsungmalaysia)


Ciri teknologi baharu yang masih belum dinamakan ini direka untuk mengubah telefon pintar menjadi sebuah studio kreatif yang komprehensif.

Ia bertujuan menyatukan keupayaan kreatif lanjutan untuk proses merakam, menyunting, dan berkongsi media di bawah satu platform tunggal, sekali gus memberi petunjuk bahawa ia mungkin dilancarkan sebagai sebuah aplikasi mandiri (standalone app) oleh Samsung.

Teknologi ini juga akan dibina berteraskan “sistem kamera Galaxy paling terang” sebagai asas utamanya. Ia mewakili evolusi seterusnya dalam arena kamera peranti pintar mudah alih.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Samsung Malaysia (@samsungmalaysia)


Menurut Samsung, ciri ini menghapuskan halangan teknikal dan membolehkan sesiapa sahaja mencipta video sinematik tanpa memerlukan sebarang kemahiran atau pengalaman.

Ciri-ciri utama

Berikut adalah antara keupayaan dan ciri utama yang bakal ditawarkan:

  • Transformasi Suasana: Keupayaan menukar suasana foto daripada waktu siang kepada keadaan malam.
  • Cantuman Pintar: Kebolehan mencantumkan beberapa keping gambar berbeza menjadi satu imej yang seragam dan padu.
  • Pemulihan Imej Berasaskan Teks: Memulihkan atau menambah bahagian objek yang hilang dalam imej (contohnya menambah kesan gigitan pada kek cawan) dalam masa beberapa minit, hanya dengan memberikan penerangan teks.
  • Generative Edit (Suntingan Generatif): Membolehkan pengguna melukis sebarang butiran tambahan terus ke atas imej, dan membiarkan sistem AI mengambil alih untuk melengkapkan dan mengisi ruang kosong tersebut secara realistik.
  • Pelekat Janaan AI: Mengubah apa sahaja objek dalam gambar (seperti haiwan peliharaan) menjadi pelekat (sticker) janaan AI, walaupun keserasiannya untuk digunakan bersama aplikasi pemesejan pihak ketiga masih belum dipastikan.

Setakat ini, Samsung masih belum mendedahkan secara terperinci sejauh mana potensi penuh keupayaan ciri baharu ini atau impak ketaranya terhadap lanskap fotografi dan videografi mudah alih masa kini.

Walau bagaimanapun, lebih banyak maklumat penting dijangka akan dikongsi oleh gergasi teknologi tersebut menjelang atau tepat pada tarikh pelancaran yang telah dijanjikan.

Tinggalkan komentar