Shopee baru-baru ini telah mengumumkan SPayLater telah menerima persijilan patuh syariah. Perkhidmatan Buy Now Pay Later (BNPL) ini telah mendapatkan persijilan tersebut dari Amani Advisors.

Berikutan penerimaan sijil pematuhan syariah tersebut, Shopee SPayLater telah mengubah struktur bagi pengguna yang membayar lewat di dalam perkhidmatan tersebut.

Hal ini kerana Mufti Wilayah Persekutuan telah menyatakan perkhidmatan ini mempunyai unsur-unsur riba yang diharamkan di dalam Islam. Ketika mula diperkenalkan pada Januari 2021, Shopee SPayLater mengenakan caj faedah lambat bayar sebanyak 1.5% untuk setiap transaksi.

Melalui perubahan terbaru ini, sebarang pembayaran yang lewat akan menyebabkan akaun pengguna dibekukan. Untuk menyahbekukan akaun tersebut, pengguna perlu melunaskan bayaran tertunggak tersebut dan dikenakan bayaran sebanyak RM10 sebagai caj perkhidmatan.

Selain itu, yuran pemprosesan ansuran juga telah ditingkatkan kepada 1.5% sebulan mengikut jumlah pembelian. Sebelum ini yuran yang dikenakan adalah 1.25% bagi setiap bulan.

 

Tinggalkan komentar