Samsung telah melancarkan peranti boleh lipat Galaxy Z generasi berikutnya pada 10 Ogos lalu. Sama seperti tahun lalu, Galaxy Z Fold 4 dan Flip 4 turut membawakan perubahan baharu pada One UI melalui kemaskini One UI 4.1.1 yang berasaskan Android 12 dan 12L.
Pada tahun lepas, gergasi teknologi dari Korea Selatan ini ini telah membawakan perisian One UI 3.1.1 berasaskan Android 11 pada peranti-peranti boleh lipat lama. Dalam pada masa yang sama, beberapa model Galaxy Note, S dan A turut menerima kemaskini One UI 3.1.1, cuma nombor versinya sahaja yang kekal dengan One UI 3.1.
Berdasarkan laporan, kemaskini One UI 4.1 akan diperluaskan ke peranti-peranti Galaxy yang layak sepanjang September ini. Samsung juga kini telah memulakan program One UI 5 Beta yang berasaskan Android 13 untuk peranti Galaxy sejak dari bulan lepas.
Samsung juga telah memperkenalkan One UI 4.1.1 bersama-sama Galaxy Z Fold 4 dan Galaxy Z Flip 4 ketika pelancarannya. Pun begitu, anda boleh membuat semakan sama ada peranti anda layak menerima kemaskini One UI 4.1.1 berdasarkan senarai berikut:
Isi Kandungan
Peranti Samsung disahkan yang layak menerima kemaskini One UI 4.1.1 (Android 12L)
- Galaxy Tab S8 series
- Galaxy Tab S7 series
- Galaxy Tab S7 FE
- Galaxy Tab S6
- Galaxy Tab S6 Lite
- Galaxy Tab Active 3
- Galaxy Z Fold 3
Kemaskini ini membawakan pelbagai penambahbaikan pada sistem operasi di dalam peranti antaranya:
Fungsi berbilang tugasan yang lebih mudah menerusi Taskbar
Taskbar diperkenalkan di dalam One UI 4.1.1 bagi memudahkan anda memanfaatkan fungsi berbilang tugasan di dalam peranti Galaxy. Anda boleh mengubahsuai Taskbar dengan memasukkan aplikasi kegemaran dan saling menukar mana-mana aplikasi bagi mempercepatkan tugasan dan aktiviti anda.
Ingin melihat sejumlah aplikasi secara serentak? Seret dan letak dua atau tiga aplikasi dari taskbar untuk membahagikan skrin kepada beberapa bahagian untuk memaparkan aplikasi berkenaan secara serentak sebelah menyebelah.
Anda juga boleh menggunakan ciri skrin terbahagi dengan mengaktifkan pilihan ‘Swipe for Split Screen’ menerusi Galaxy Labs.
Caranya adalah dengan pergi ke Settings > Advanced Features > Labs > pilih pada “Swipe for split screen”
Ciri ini membolehkan anda membelah dua skrin anda dengan meletakkan dua jari anda dari hujung kiri atau kanan, atas atau bawah dan menyeretkannya ke seluruh skrin. Untuk kembali semula ke skrin utama, ketik sahaja pada butang ‘home’ di dalam Taskbar.
Memaksimakan potensi Skrin Terbahagi di dalam Skrin Besar seperti di dalam Galaxy Tab S8
Kemaskini One UI 4.1.1 (Android 12L) ini benar-benar memanfaatkan skrin besar pada peranti seperti siri Galaxy Tab S8. Anda boleh membuka aplikasi terus dari notifikasi tanpa mengganggu aplikasi sedia ada yang sedang anda buka selain boleh membukannya di dalam Split Screen View (paparan skrin terbelah)
Anda juga boleh menggunakan Taskbar untuk menyimpan sejumlah aktiviti dengan menyimpan App Pair di dalam satu folder.
Untuk melakukan App Pair, ketik pada tiga titik pada bahagian tengah skrin terbelah > klik pada simbol Favourite (berbentuk bintang) > Tambahkan gabungan aplikasi (app pair) berkenaan ke dalam Taskbar.
Split Screen View juga membolehkan anda melakukan pelbagai tugasan dengan membuka tiga aplikasi secara serentak. Anda juga boleh menyusun, dan mengubah saiz aplikasi yang dipaparkan mengikut kesesuaian anda.
Ciri intai-lalu (peek-through) dengan pop-over pandangan tembus (see-through)
Anda kini boleh melihat sekilas pandang sesuatu maklumat tanpa membuka secara keseluruhannya. Melalui kemaskini ini anda boleh mengintai sekali lalu pop-over berkenaan dengan menyentuh dan memegang skrin pada kawasan di sekitarnya.
Satu pop-over lutsinar sementara akan muncul yang menunjukkan maklumat berkenaan sambil tidak menutup keseluruhan aplikasi di belakangnya. Ia akan hilang sebaik sahaja anda mengangkat jari anda. Selain Calendar, ciri ini turut boleh digunakan pada aplikasi Clock dan Reminder.
Cara untuk menggunakannya adalah dengan, buka Samsung Calendar/Clock/Reminder > masukkan rancangan anda di dalam pop-over > Sentuh dan pegang skrin di sekitar pop-over untuk mengintai-lalu.
Lebih banyak aplikasi dioptimasikan untuk Split Screen
Android 12L turut memperluaskan aplikasi pihak ketiga yang disokong oleh siri Galaxy Tab S8 dengan membolehkan semua aplikasi dibuka dalam pandangan pop-up atau Split Screen View. Ia bagi memastikan aplikasi-aplikasi berkenaan disesuaikan mengikut skrin yang lebih besar.
Antara aplikasi yang kini dioptimasikan bagi skrin besar termasuklah Samsung Notes dan Google Meet. Anda juga boleh mengoptimasikan aplikasi-aplikasi untuk disesuaikan dengan paparan yang besar melalui tetapan berikut:
Pergi ke Settings > Advanced Features > Labs > Hidupkan “Multi window for all apps”