Samsung telah mengesahkan acara Galaxy Unpacked berikutnya akan berlangsung pada 9 Julai 2025, jam 10 malam waktu Malaysia secara langsung dari Brooklyn, New York. Tema “the next evolution of Galaxy AI” turut diacah bersama-sama penambahan ekosistem baharunya tersebut dan akan distrimkan menerusi laman web rasminya, Samsung Newsroom dan YouTube rasminya.
Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, acara Unpacked kali kedua untuk 2025 ini memfokuskan pada telefon pintar boleh lipat generasi berikutnya. Samsung dijangka akan memperkenalkan Galaxy Z Fold 7 dan Galaxy Z Flip 7 bersama-sama siri baharu Galaxy Watch.
Maklumat tertiris dan juga yang diacahkan turut membayangkan kedua-dua telefon pintar berkenaan menampilkan rekaan yang lebih nipis dengan Z Flip 7 pula dijangka menampilkan paparan luaran yang lebih besar. Galaxy Watch 8 pula dikatakan akan menampilkan rekaan badan yang lebih bersudut walaupun paparannya masih lagi berbentuk bulat.
Exynos pada Foldable
Terdapat juga ura-ura yang mengatakan pemprosesan baharu yang akan digunakan pada kedua-dua telefon pintar boleh lipat. Samsung Exynos 2500 yang baharu sahaja dilancarkan didakwa akan digunakan di dalam Galaxy Z Flip 7, menggantikan Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy. Peranti-peranti ini juga berkemungkinan akan menjadi telefon pintar Samsung pertama yang didatangkan dengan One UI 8 yang berasaskan Android 16.
Selain telefon pintar mercu boleh lipat, Samsung juga dijangka akan memberikan lebih banyak kejutan. Terdapat desas-desus yang mendakwa terdapat varian Ultra untuk Fold 7 dan juga versi FE untuk Flip 7, serta bayangan Galaxy S25 FE menjelang pelancaran rasminya pada tahun ini.
Jangkaan juga semakin memuncak pada kemungkinan Samsung akan mempertontonkan prototaip telefon pintar tri-lipatan keluarannya, selain lebih banyak maklumat mengenai set kepala Android XR yang dibangunkan secara bersama dengan Google dan dijangka akan dilancarkan pada tahun ini.
Bersempena acara Unpacked baharu ini, Samsung Malaysia turut menawarkan manfaat pendaftaran awal. Bemrula dari 24 Jun 2025 sehingga 9 Julai 2025 jam 9.59 PM, anda boleh mendaftarkan minat berpeluang menerima baucar RM50 untuk pra-tempahan mana-mana peranti Galaxy baharu di dalam acara tersebut.
Bagi anda yang melengkapkan pendaftaran juga akan layak untuk membeli baucar Samsung Reservation+ pada harga RM10 untuk menikmati kod baucar RM210 yang boleh digunakan dalam sepanjang tempoh promosi.